Tajuk : Perang Moro Dalam Sejarah Awal Filipina
PHILIPINES atau Filipina sebagaimana juga negara-negara
di sekitar Nusantara punya pra-sejarah yang sama. Manusia Negrito adalah
penghuni awal, kemudian Melayu-Proto adalah yang menghuni kepualauan Filipina
setelah itu. Masyarakat Negrito dipercayai telah menghuni kepulauan Filipina
sejak 30,000 tahun yang lampau semenjak Zaman Ais lagi.
Pada 1500-an, Islam
telah pun berada di Pulau Luzon. Para pedagang Arab-Islam dipercayai adalah
pembawa Agama Islam di seluruh kepulauan Filipina.
Pada 1565 telah wujud Bandar
Amanillah (Mendapat keamanan Allah) yang dikenali Manila pada hari ini.
Sejarah
telah membuktikan pada kita, Raja Sulaiman (Kerabat Kesultanan Brunei) adalah
yang berkuasa di situ sekurang-kurangya sebelum kedatangan Spanyol sekitar
1600. Sistem masyarakat ditadbir secara Islam dengan para Datu yang mengetuai
setiap kawasan Barangay. Tentunya bahasa Melayu adalah sebahagian bahasa
pertuturan di Manila di sebabkan kesultanannya adalah dari kerabat Kesultanan Brunei
yang sememangnya adalah orang Melayu. Manakala di bahagian selatan ketika itu,
Mindanao dan kepuluan Sulu juga menerima kedatangan Islam lebih awal.
Sebahagian ahli sejarah percaya Islam telah pun sampai di selatan Filipina pada
1380–1400an di sana berdasarkan pada bukti-bukti berupa kubur-kubur dan
sebagainya.
Pada 16 Mac 1521, penjelajah terkenal Spanyol, Ferdinand Magellan
(1480-1521) telah mendarat di Cebu ketika dalam misinya mengelilingi dunia di
samping mencari tanah jajahan. Tanah Pulau Cebu telah dimasukkan sebagai
wilayah baru hak milik Raja Charles 1 di Spanyol. Sebulan kemudian Ferdinand
Magellan telah dibunuh dalam satu pertempuran tepi pantai Maktan oleh seorang
panglima Islam. Peristiwa pembunuhan Ferdinand Magellan ini adalah yang paling
bersejarah di Filipina hingga ke hari ini sehingga didirikan tugu peringatan si
pembunuhnya iaitu panglima “Lapu-lapu” di Bandar Maktan, Cebu.
Pada 1565,
Miguel Lopez De Legazpi seorang Gabenor Diraja telah sampai ke Pulau Cebu dari
New Spain (Maxico). Enam tahun kemudian setelah berjaya melumpuhkan sistem
pentadbiran Islam di tangan para Datu, beliau telah ke Manila dan mendirikan
pelabuhan komersil di bandar utama Manila sebagai pusat pentadbiran ketenteraan
dan keagamaan. Maka di sinilah bermula nama Filipina (Philipines) sempena nama
Raja Philip II di Spanyol yang memerintah pada 1556 hingga 1598.
Maka
bermulalah penjajahan ke atas Filipina sehingga lebih 300 tahun lamanya di
tangan Spanyol dan kita akan dapat saksikan sejarah telah mencatatkan keganasan
demi keganasan ke atas masyarakat Filipina terutamanya masyarakat Islam
sehingga ke hari ini. Sebaliknya yang dituduh pengganas adalah masyarakat Islam
sendiri yang berjuang menentang penceroboh.
Matlamat Penjajah Spanyol Matlamat
penjajahan Spanyol di Filipina sebenarnya adalah kerana 3 sebab:- 1. Menguasai
kawasan dan laluan rempah. 2. Membina persefahaman dengan Dinasty China dan
Jepun. 3. Mengkristiankan Masyarakat Filipina keseluruhannya.
Matlamat pertama
dan kedua telahpun berjaya dengan cemerlang, cuma matlamat yang ketiga mereka
gagal melaksanakannya hingga ke hari ini. Kerana penentang utamanya adalah
masyarakat Islam sendiri yang sukar ditewas dan ditundukkan kerana punya
senjata yang menggerunkan pihak spanyol sendiri iaitu senjata “Jihad Fi Sabilillah”
yang dikenali oleh Spanyol sebagai “Juramentado” (Berani Mati).
Sejarah juga
telah memberitahu kita, hanya bahagian selatan Filipina sahaja yang tidak
pernah mereka masuki dan tadbir secara menyeluruh disebabkan tentangan sengit
masyarakat Islam yang diketuai oleh Sultan-sultan Maguindanao dan Sultan-sultan
Sulu serta Datu-datu nya .
Perlu juga diakui bahawasanya Spanyol dan misi
Kristianisasinya telah berjaya di bahagian utara Filipina. Bukti kejayaan
mereka ialah hingga ke hari ini majoriti penduduk dari tengah Filipina hingga
ke utara adalah Kristian. Manakala dari utara Mindanao hingga ke Kepulauan Sulu
majoritinya muslim. Kita melihat betapa misi pengkristianan Spanyol adalah
secara istiqamah menujah masuk ke selatan Filipina (Mindanao dan Kepulauan
Sulu) tetapi tentangan berdarah dari masyarakat Islamnya juga istiqamah.
Buktinya hingga ke hari ini tentangan berdarah ini masih berlaku. Tetapi bagi
Spanyol dorongan membolot harta kekayaan yang banyak di selatan Filipina sangat
kuat cuma perlu berkerja keras menukar agama “Muhamadan” mereka kepada Kristus
agar mudah mereka masuk menyedut apa sahaja yang ada di bumi selatan Filipina
itu. Malangnya wilayah terakhir yang dipertahankan aqidahnya iaitu Pulau Cebu
telah berjaya dikristiankan.
Sejarah memberitahu kita wilayah terakhir yang
berjaya dikristiankan ialah Pulau Cebu iaitu Permaisuri Raja Humabon telah
masuk Kristian disebabkan tekanan politik dan taktik kotor pihak kolonial
Spanyol. Tidak lama kemudian Raja Humabon sendiri telah murtad dan diikuti oleh
rakyatnya. Kejayaan besar buat Spanyol. Maka misi seterusnya ialah wilayah
selatan (Mindanao dan Kepulauan Sulu).
Kronologi Perang Moro Sulu Era Spanyol
Pemberontakan Bangsa Moro di Filipina barangkali adalah kesinambungan
peperangan yang panjang sejak abad ke-15 dan ke-16 yang lalu. Islam telah
datang ke Selatan Filipina pada abad ke-14 ke kepulauan yang terbentang luas
hingga ke kepulauan Indonesia yang dibawa oleh para pedagang Islam dan para
pendakwah (Ahlul-Bait), dan pada abad ke-16 dakwah Islam telah menyebarluas
melalui gugusan kepulauan Sulu hingga ke Mindanao sehinggalah ke utara.
Masyarakat ini mempunyai konsep kehidupan dan kekuasaan, kehidupan sosial,
serta kedaulatan mereka sendiri.
Kronologinya:
Pada 1565, Prof. Cesar
menyatakan bahawa perang pertama meletus pada 1565 di utara Filipina (kawasan
Bohol) antara kapal dagang orang Borneo (Melayu Brunei) dengan angkatan perang
Legazpi. 20 orang Brunei terkorban sedangkan Spanyol hanya seorang yang
terbunuh. Sebelum ini sememangnya orang-orang Brunei telahpun bertapak di pulau
Luzon iaitu di Amanillah (sekarang Manila) yang diperintah oleh Kerabat Diraja
Brunei iaitu Raja Sulaiman.[1]Tetapi sebelum itu telahpun berlaku peperangan
kecil di pulau Cebu antara Ferdinand Magellan dengan perwira Lapu-Lapu (dari
Bugis Sulawesi) [2] pada April 1521 yang membawa kepada pembunuhan Ferdinand
Magellan.
Pada 1569, Orang Brunei bersatu dengan Orang Sulu[3] menentang
Spanyol di perairan Visaya antara 9 buah kapal Spanyol melawan 20 buah kapal
tentera Brunei dan Sulu. Malangnya tentera Brunei dan Sulu berjaya dikalahkan
dengan merampas 4 buah kapal yang sarat dengan barang-barang dagangan yang
berharga. Spanyol telah menuduh 20 kapal Brunei dan Sulu itu sebenarnya adalah
Lanun. Maka bermulalah penggelaran lanun terhadap umat Islam Moro yang
menentang Spanyol ketika itu oleh Montero y Vidal.
Pada 1574 Sultan Brunei
mempersiap satu angkatan tentera untuk men-yerang Manila iaitu 100 perahu, 100
buah kapal kecil dengan tentera seramai lebih kurang 7,000. Ketika dalam
perjalanan ke Manila Sultan Brunei memanggil tenteranya kembali semula ke
Brunei disebabkan alasan tertentu.
Pada 1578 Pangeran Buong Manis (Pangeran Sri
Lela) yang mahu merebut takhta kerajaan Brunei (dari saudaranya Seiful-Rizal)
datang ke Manila me-minta bantuan Spanyol mengalahkan Seiful-Rizal. Sekiranya
berjaya beliau berjanji membayar ufti kepada Spanyol. Peluang keemasan ini
tidak dilepaskan oleh Spanyol lalu Gabenor Jeneral Francisco de Sande belayar
ke Brunei dengan 40 buah kapal beserta serdadu 400 Spanyol, 1,500 anak tempatan
Filipina dengan diiringi oleh tentera tambahan dari Pangeran Buong Manis iaitu
orang-orang Brunei sendiri seramai 300 orang. Setelah 30 hari belayar, sampai
ke Kuala Sungai Brunei dan pertempuran terus berlaku. Tentera Brunei yang
dibantu oleh tentera Sultan Sulu (Pangeran Budiman @ Raja Ilo adalah saudara
ipar kepada Sultan Seiful-Rizal)[4] itu telah dikalahkan oleh Spanyol.
Seiful-Rizal melarikan diri bersama ayahandanya yang uzur Sultan Abdul Kahar ke
pedalaman Brunei dan mendirikan istana di sana. Kegembiraan Spanyol dalam
kemenangan tersebut hanya sementara apabila selang beberapa bulan kemudian
Pangeran Buong Manis (talibarut Spanyol) telah dibunuh dan Seiful-Rizal pula
telah diangkat menjadi Sultan Brunei yang baru maka segala perancangan Spanyol
bersama Pangeran Buong Manis untuk mendapat tempat di Borneo terbantut begitu
sahaja. Pada Jun 1578 Sultan Sulu (yang menyertai peperangan melawan Spanyol
bersama saudara iparnya Seiful-Rizal di kuala Sungai Brunei telah berjaya
meloloskan diri kembali ke Sulu setelah pasukan mereka dikalahkan oleh
Spanyol). Didapati tentera Spanyol yang diketuai oleh Kapten Esteban Rodriguez
de Figueroa atas arahan Francisco de Sande telah sampai di Jolo pula maka
berlaku lagi satu pertempuran sengit antara tentera Sultan Sulu dengan Spanyol
di Jolo malangnya tentera Sulu berjaya dikalahkan dan sultan terpaksa mengaku
membayar ufti (inilah peperangan pertama antara
Sultan Sulu dengan Spanyol di
Jolo, Sulu).[5]
Pada 1597 di Mindanao, Sultan Maguindanao telah bersatu pula
dengan Sultan Ternate (Maluku)[6] untuk menentang serangan Spanyol di Mindanao.
Ternate (Maluku) menghantar 800 orang perwiranya membantu saudara-saudara
seagamanya di Mindanao malangnya turut tumpas di tangan Spanyol. Pada 1597
dalam tahun yang sama juga Kapten Joan Pacho berangkat ke Sulu dengan 60
serdadu Spanyol untuk suatu ekspedisi menghukum tapi telah diserang hendap oleh
orang Sulu dan membunuh kaptennya sekali.
Pada Februari 1602 Spanyol menghantar
lagi satu ekspedisi dari Manila diketuai oleh Juan Gallinto dengan 200 serdadu
Spanyol serta beberapa serdadu anak negeri menuju ke Sulu. Spanyol menyerang
penempatan orang Sulu di Jolo memaksa pejuang Sulu berundur ke pedalaman
termasuk penduduk-penduduknya. Spanyol berjaya membuat kubu tetapi
meninggalkannya kerana kekurangan bekalan makanan. Sebelum mereka meninggalkan
Jolo mereka memusnahkan penempatan, perkebunan serta harta benda orang-orang
Sulu.[7]
Pada Oktober 1616 orang-orang Sulu bersama dengan 80 buah perahu
caracoa (seperti perahu joangga yang dikayuh oleh lebih sedozen pendayung serta
diletak meriam di bahagian hadapan) melancarkan serangan keatas jajahan Spanyol
di Pantao dan Camarines yang menjadi limbungan kapal Spanyol dan berjaya
membakar 3 buah kapal yang masih dalam pembinaan termasuk sebuah gelon (kapal
besar yang dilengkapi meriam). Tidak puas hati dengan harta rampasan dan
tawanan, orang-orang Sulu menyerang limbungan kapal Spanyol di Cavite pula.
Orang-orang Sulu sebenarnya dibantu oleh saudara mereka dari Kesultanan Brunei
(tentunya orang-orang Tidung).[8]
Pada 1624 Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu
menghantar perwakilan (berdagang) ke Manila bernama Datu Ache (Asri) iaitu
seorang datu yang dihormati. Ketika balik dari Manila rombongan Datu Ache
dipintas oleh Spanyol yang kebetulan sedang memburu orang-orang Tidung
(Camucones) kerana menyerang pulau-pulau jajahan Spanyol. Datu Ache dan
orang-orang Sulu (mungkin salah faham kerana mereka dianggap orang Tidung)
telah ditangkap manakala kapalnya dirampas. Mereka dibawa ke Manila akhirnya
dibebaskan dan Spanyol meminta maaf walaupun beberapa biji mutiara berharga
Datu Ache telah diambil oleh panglima Spanyol. Datu Ache menganggap perbuatan
Spanyol itu satu penghinaan terhadap dirinya yang bermaruah sebagai seorang
datu yang dihormati yang sudah tentu turut memalukan Sultan Sulu sendiri.
Pada
1627 Sultan Sulu telah mempersiapkan angkatan tentera yang terdiri daripada 30
buah caracoas dan 2,000 perwira telah menyerang limbungan kapal Spanyol di
Camarines dengan memusnahkan garison mereka (Sultan sendiri mengetuai serangan
ini). Orang-orang Sulu merampas meriam, senapang dan ubat bedil serta
barang-barang besi dan gangsa yang sangat diperlukan oleh mereka. Orang-orang
Sulu membakar rangka-rangka kapal dan menumpahkan simpanan beras ke dalam laut
(yang diperuntukkan Spanyol kepada pekerja garison) kerana tidak mampu dibawa
sambil diperhatikan oleh pekerja-pekerja garison. Orang-orang Sulu pergi dari
situ dengan membawa 300 orang tawanan. Dalam serangan balas dendam ini Sultan
Sulu menawan seorang wanita Spanyol bernama Dona Lucia (menjadi juru tulis
sultan kemudiannya) yang kemudian menulis pesanan sultan yang titinggalkan
ditempat itu untuk Kerajaan Spanyol menyatakan bahawa sebenarnya serangan itu
merupakan balasan orang Sulu ke atas perbuatan salah sangka dan rompakan keatas
duta mereka, Datu Ache. Dalam perjalanan pulang orang-orang Sulu turut
men-yerang wilayah-wilayah lindungan Spanyol seperti pulau Bantayan dan Ormoc
di Leyte dengan menawan 300 orang tawanan lagi.
Pada 1628 Spanyol dengan satu
angkatan perang yang besar dari Manila bertolak ke Sulu. Pada 22 April tiba di
Jolo dan menyerang dan membunuh serta memusnahkan apa sahaja yang mereka jumpa.
Orang-orang Sulu tidak bersedia langsung sehingga dikatakan pihak Spanyol tidak
mengalami kemalangan jiwa walau seorang. Spanyol menyerang kubu Sultan Sulu
tapi tidak berjaya kerana terlalu kukuh dan dilengkapi oleh meriam-meriam
besar. Tawar menawar telah berlaku antara Spanyol dan Sultan Sulu untuk
membebaskan Dona Lucia.[9]
Pada 1629 orang-orang Sulu pula menyerang balas
meranapkan penempatan-penempatan naungan Spanyol di Camarines, Samar, Leyte dan
Bohol dengan kekuatan 36 caracoas.
Pada 17 Mac 1630 satu angkatan laut Spanyol
mengandungi 2 buah ghalias (kapal besar dikelilingi meriam), beberapa buah
tongkang, 50 buah caracoas bersama 400 serdadu Spanyol dan serdadu anak negeri
seramai 2,500 telah bertolak dari Dapitan menuju ke Jolo. Tujuan utama angkatan
besar tentera Spanyol ini adalah memusnahkan kubu kota gunung Sultan Mawallil
Wasit @ Raja Bongsu yang kukuh itu. Setelah mendarat panglima Spanyol Lorenzo
de Olaso mula-mula mengarahkan tenteranya berjalan kaki menuju ke kubu sultan.
Malangnya perwira-perwira Sulu rupanya telah pun bersedia. Hanya menunggu masa
menyerang. Perwira Sulu menyerbu, maka berlakulah serangan yang tidak diduga
iaitu serangan sengit dari perwira-perwira Sulu sehingga ramai terbunuh dari
pihak Spanyol. Spanyol dan orang-orangnya yang ketakutan itu berundur. Tetapi
sebelum mereka berundur buat “selama-lamanya” Spanyol telah mengelilingi pulau
itu dan memusnahkan penempatan-penempatan di sana sini dan berusaha
menyelamatkan tawanan dari orang-orang Sulu yang ditawan sebelum ini. Tetapi
gagal kerana Spanyol telah dilanda angin ribut lalu meninggalkan Jolo.
Orang-orang Sulu menyerang balas lagi dengan menyerang Leyte pada tahun
berikutnya dan dapat menawan ramai tawanan lalu dijual ke Makassar kepada
orang-orang Bugis.[10] Kami menamatkan perang Sulu era Spanyol ini di sini.
Siri peperangan antara Spanyol dan orang-orang Sulu masih berterusan dan
Spanyol sehingga peperangan akhir pun iaitu pada tahun 1867 – 1878 masih tidak
dapat menakluki Sulu.
Peperangan terus berkesinambungan antara Spanyol dan
Masyarakat Islam Moro sehinggalah pada tahun 1898 telah berlaku peperangan
antara Amerika dan Spanyol. Amerika memenangi peperangan ini, maka muncullah
satu lagi kuasa baru yang boleh dianggap pada ketika itu sebagai penyelamat.
Amerika datang untuk menyelamat? Ia boleh sahaja dianggap penyelamat sebagaimana
kedatangan tentera Jepun yang kononnya menyelamatkan Asia dari tentera luar
dengan slogan Asia untuk Asia. Walhal era tentera Jepun lagi parah dari pada
penjajah sebelumnya. Maka Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Spanyol dalam
peperangan Spanyol-Amerika Syarikat.
Pada tahun 1899, setelah mengetahui
kekalahan pihak Spanyol dalamperang Amerika-Spanyol itu masyarakat Islam Moro
menyedari satu kesempatan dari penurunan moral para tentera Spanyol. Maka tanpa
membuang masa dengan semangat Jihad dan penuh persenjataan lengkap dengan masih
mempertahankan identiti dan jatidiri mereka, maka untuk kali yang terakhir,
dengan penuh semangat mereka telah menyerang dan memporak-perandakan pasukan
Spanyol dari kota pertahanan mereka sebelum kedatangan tentera Amerika Syarikat
untuk mengambil alih, di wilayah Jolo, Sulu. Dari kesempatan ini boleh sahaja
kita menganggap pasukan Islam Moro sebagai “menangguk di air yang keruh”. Maka
kita melihat masyarakat Islam Moro telah semakin bersatu dengan panji-panji
Sultan bertunjang Agama Islam anutan mereka di tegakkan dengan harapan setinggi
langit iaitu kini mereka bebas memerintah dan merdeka. Malangnya masyarakat
Islam Moro tidak menyedari yang mereka telah dijual hidup-hidup oleh Spanyol.
Bagi Spanyol tidak begitu mudah mereka meninggalkan selatan Filipina tanpa
memberi mereka kesengsaraan dan penghinaan setelah ketiadaan mereka. “Sekalipun
Spanyol gagal menundukkan Mindanao dan Sulu, Spanyol tetap menganggap kedua
wilayah itu merupakan sebahagian dari wilayahnya.
Secara tidak sah dan tak
bermoral, Spanyol kemudian menjual Filipina kepada Amerika Syarikat dengan
harga 20 juta Peso pada tahun 1898 melalui Perjanjian Paris.
Amerika datang ke
Mindanao dengan menampilkan diri sebagai seorang sahabat yang baik dan dapat
dipercayai. Dan inilah perwatakan musuh-musuh Islam sebenarnya pada abad ini.
Hal ini dibuktikan dengan termeterainya Perjanjian Bates pada 1899 yang
menjanjikan kebebasan beragama, kebebasan mengeluarkan pendapat, kebebasan
mendapatkan pendidikan bagi Bangsa Islam Moro. Namun perjanjian tersebut hanya
taktik mengambil hati orang-orang Islam agar tidak memberontak, kerana pada
masa yang sama Amerika tengah disibukkan dengan pemberontakan revolusi Filipina
Utara pimpinan Emilio Aguinaldo. Terbukti setelah pemberontak revolusi kalah
pada 1902, sikap AS berubah dengan menunjukkan wajahnya yang sebenar.
Setahun
kemudian iaitu pada 1903 Mindanao dan Sulu disatukan menjadi wilayah Moroland
dengan alasan untuk membangunkan rakyat Mindanao dan Sulu. Sebaliknya apa yang
berlaku ialah peperangan demi peperangan yang ditimpakan AS terhadap Bangsa
Moro. Teofisto Guingona, Sr. mencatat antara tahun 1914-1920 rata-rata terjadi
19 kali pertempuran. Manakala di antara tahun 1921-1923, terjadi 21 kali
pertempuran.” Kita melihat betapa AS dengan kebijaksanaannya berdamai dengan
Masyarakat Moro ketika AS sedang menangani pemberontakan di utara itu.
Setelah
berjaya mematahkan pemberontakan revolusi yang terdiri kelompok Kristian di
utara Filipina pada 4 Julai 1902 dengan jayanya maka Presiden AS Theodore
Roosevelt ketika itu menyatakan, “ Keamanan telah pun tercapai di semua gugusan
kepulauan, kecuali di negeri yang didiami oleh Kaum Moro”.
Dengan penuh
ketidak-pekaan, wilayah selatan telah diserang dalam bulan Mei 1902. Maka
bermulalah siri insiden, kemarahan yang amat, yang mana masyarakat Islam Moro
di Sulu telah menjadi mangsa kekejaman yang tak dapat di gambarkan lagi. Apakah
ini yang dikatakan penyelamatan atau pembangunan? Atau sememangnya satu
pembunuhan secara terancang untuk meng‘kasi’kan semangat orang-orang Islam Moro
sebagaimana yang telah mereka buat terhadap kaum Red Indian di Amerika?
Sebenarnya boleh sahaja kita persalahkan masyarakat Moro ini kenapa mesti
memerangi AS yang berjasa menyatukan dua wilayah besar Mindanao dan Kepulauan
Sulu? Bukankah sebelumnya AS yang telah mengalahkan Spanyol dan menjadikan
mereka (Moro) bebas dan terbela di tangan AS sekarang? Bermacam persoalan yang
bermain di kepala kita sebenarnya yang perlukan jawapan. Perlu ditegaskan
disini bahawa AS tidaklah berpengalaman berperang dengan masyarakat Islam di
Nusantara sebelum ini. Penulis menyebut Nusantara sebab budaya dan adat resam
masyarakat Moro tiada bezanya dengan masyarakat Melayu lain di Nusantara, malah
berkongsi Mazhab Sunnah (Syafi’i) yang sama serta sistem monarki Sultan yang
sama. Malah AS sendiri tidak pernah lagi berperang dengan mana-mana wilayah
Islam sebelum ini. Fakta Kegagalan Amerika Mengapa pendekatan AS menyatukan
Mindanao dan Sulu yang di sebut Moroland itu tidak berjaya malah ditentang oleh
masyarakat Moro? Bagi pihak masyarakat Moro sendiri pula apakah yang mereka
inginkan sebenarnya lantaran mereka menentang habis-habisan penyatuan dua
wilayah itu? Bukankah pendekatan AS itu baik untuk mereka?
Jawapan kepada
persoalannya amat mudah iaitu mencari sebab-sebabnya terlebih dahulu. Kita
lihat beberapa fakta yang mungkin membantu kita mencari sabab musababnya
penentangan masyarakat Moro terhadap pendekatan AS itu. . Fakta 1: AS setelah
mengambil alih Filipina pada 1898 melalui Perjanjian Paris daripada Spanyol, AS
mendapati wilayah Selatan masih ditadbir oleh masyarakat Moro dengan diketuai
oleh Sultan dan para Datu yang masih berpegang kuat kepada ajaran Islam. Ini
bermakna Spanyol telah menjual Negara Filipina kepadanya termasuk dua wilayah
(Mindanao & Sulu) yang belum di kuasainya 100%. Fakta 2: Masyarakat Islam
Moro yang majoritinya hanya di selatan terbahagi kepada dua wilayah besar iaitu
Mindanao dan Sulu.
Ini bermakna ditadbir oleh dua kekuasaan yang berdaulat
masing-masing di bawah Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Sulu. Kedua-dua
wilayah kesultanan punya sejarah peperangan yang panjang dengan Spanyol selama
lebih 300 tahun dan masih belum dikuasai sekalipun ketika kedatangan Amerika
Syarikat. Apa yang mereka mahu ialah kemerdekaan mutlak agar mereka bebas
bergerak dan memilih Islam sebagai agama rasmi serta bebas mengamalkan adat
resam dan budaya mereka.
Bila AS mengambil alih kekuasaan dari Spanyol mereka
(orang-orang Moro) mendapati bahawa tiada bezanya dengan Spanyol malah AS lagi
teruk. Fakta 3: Setelah AS mendapati bahawa masyarakat Islam Moro belum
ditundukkan oleh Spanyol malah sanggup menggadai nyawa sekali lagi sebagaimana
yang telah mereka lakukan kepada Spanyol sebelum ini maka tiada cara lain
melainkan menggunakan cara atau taktik “Menundukkan Red Indian” itu semula.
Bagi AS ia adalah satu-satunya cara yang berjaya dan akan mengulanginya di
Filipina kali ini. Sebab itu perlunya kedua wilayah itu disatukan tanpa
mengambil kira kedudukan sultan-sultan di dua wilayah itu (sebab itu Perjanjian
Bates telah dibatalkan oleh AS sendiri setelah menyedari perjanjian tersebut
tidak menguntungkan mereka dan diganti pula dengan Perjanjian Carpenter pada
1915).
AKHIRNYA satu lagi keadaan yang tidak diingini oleh umat Islam seluruh dunia
pada ketika itu ialah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Sulu di Bud
Bagsak dan Bud Dajo telah berlaku. Umat Islam Moro merasakan negara mereka
dijual tanpa persetujuan mereka sendiri oleh Spanyol kepada Amerika. Bukan
sahaja Bangsa Moro yang dijual hidup-hidup oleh Spanyol malah AS seolah-olahnya
terbeli ikan busuk yang tidak sesuai lagi dimakan kecuali perlu dicincang lumat
atau dilenyek terlebih dahulu sebelum dijadikan baja. Sebab itu salah satu
tindakan AS untuk mem‘baja’kan bangsa Islam Moro ialah menyatukan dua wilayah
besar Mindanao dan Kepulauan Sulu di bawah satu nama dan pentadbiran iaitu
“MOROLAND”.
Bolehkah menyatukan dua wilayah yang bertaraf negara dengan empunya
kesultanan masing-masing begitu mudah? Ia sama seperti menyatukan negara
Malaysia dan negara Indonesia dalam satu negara kesatuan dengan istilah
“Indonesia Raya” sebagaimana yang berlaku di era konfrontasi Malaysia-Indonesia
ketika dulu kerana mendapat inspirasi dari Kesatuan Soviet di Russia.
Ia tidak
akan berjaya. Kalau ia berjaya sekali pun akan berlaku seperti apa yang kita
lihat sekarang ini di selatan Filipina. Peperangan berterusan dan keganasan
juga akan berterusan. Hasilnya penduduknya akan bertebaran merata-rata mencari
penghidupan yang lebih selamat dari konflik yang tiada kesudahan. Pembangunan
akan terbantut dan terus tergendala maka yang rugi umat Islam sendiri dengan
kemunduran yang berleluasa.
Hakikatnya ialah, Mindanao punya sistem kesultanannya
sendiri dibawah kesultanan Maguindanao. Kepulauan Sulu juga punya sistem
kesultanan yang unik dan tersendiri malah kekuasaan kesultanan Sulu juga pernah
menjadi empayar. Perlu juga ditegaskan di sini bahawasanya Masyarakat Moro di
Mindanao adalah dikuasai oleh Kesultanan dan para Datu Maguindanao dan bahasa
yang digunakan secara meluas ialah Bahasa Maguindanao dan Maranao. Suku-suku
kaum di Mindanao juga banyak. Mereka punya sejarah kesultanan yang hebat
menentang penjajah seperti Sultan Qudarat dan sebagainya. Moro Lawan Amerika
Syarikat Filipina telah diserahkan kepada Amerika Syarikat (A.S.) dibawah
perjanjian “Treaty of Paris” 1898.
Wilayah Islam Sunni di Filipina selatan
terpaksa mengatur pertahanan semula. Pada tahun 1899-1902 pemberontakan di wilayah
Utara (pemberontakan Aguinaldo) telah berjaya di Filipina ditamatkan dengan
jayanya dibawah pasukan tentera A.S. dan telah diistiharkan tamat pada 4 Julai
1902. Presiden A.S. Theodore Roosevelt ketika itu menyatakan “Keamanan telah
pun tercapai di semua gugusan kepulauan, kecuali di negeri yang didiami oleh
kaum Moro”.
Dengan penuh ketidak-pekaan, wilayah selatan telah diserang dalam
bulan Mei 1902. Bangsa Moro tidak memerlukan A.S. malah memutuskan melancarkan
Jihad demi kemerdekaan wilayah mereka dari kuasa asing samada Filipina, Spanyol
atau A.S. Tentera A.S , tentera laut dan darat akhirnya mendapati diri mereka
berdepan dengan musuh iaitu Moro yang begitu cepat menyesuaikan diri dengan
kedatangan AS menunjukkan kegagahan mereka, berdedikasi sesama mereka dan yang
lebih penting Moro adalah musuh yang sangat ketat dan sukar. Malah tentera A.S.
menjadi lebih berhati-hati dengan kesan semangat kerohanian Islam yang
menyebabkan BangsaMoro terdorong berjihad, dengan pendirian bahawa apa yang
benar pada mereka ialah kebebasan bernegara sendiri yakni ‘kemerdekaan’.
Berbanding Tentera A.S. peralatan ketenteraan Moro sangat daif dan ketinggalan.
Tentera A.S. banyak senjata, model senjata seperti 30-caliber Krag-Jorgensen
rifle- M1892 dan M1896 dengan senapang 5-shot magazine. Dicipta oleh Gatling
dan Hotchkiss serta beberapa model meriam ringan. Manakala tentera Moro hanya
memiliki pelbagai jenis senjata lama, termasuk senapang yang menggunakan ubat
bedil (Muzzle-Loaders) dan beberapa meriam tembaga kuno. Itulah senjata yang
mereka mampu dan mahir menggunakannya yang sangat memeranjatkan, dengan hanya
senjata musuh, mereka datang dan menyerang sampingan telah menaikkan kegerunan
seolah-olah membunuh diri dengan harapan membunuh sebanyak mungkin sebelum
diri-sendiri terbunuh.
Tentera A.S. melihat dan baru dapat mengenali dan
memahami betapa kemampuan orang Moro dengan Barong terhunus sepanjang 1½-kaki
berbentuk seperti daun (Barong adalah Pedang panjang Kampilan 3 ½-kaki senjata
tradisi Moro, Kaum Tausug), adalah senjata tradisi Moro Kaum Maguindanao dan
Maranao. Manakala Kris adalah senjata paling berkuasa ketika itu (di seluruh
Nusantara). Lazimnya, tentera Moro sangat terlatih dengan serangan dalam hutan,
belukar dan serangan hutan paya, dan juga mahir dalam serangan kota. Orang Moro
sering menyerang hendap kumpulan bergerak musuh ataupun sedang berkhemah dan
selalu melakukan serangan secara dekat menetak dan menikam tentera A.S. dengan
pantas sekalipun tentera A.S. bersenjata canggih ketika itu. Tentera A.S. tidak
pernah tersua musuh jenis seperti ini sebelumnya, suasananya tidak seperti
Peperangan Revolusi negera mereka dulu ataupun peperangan dengan Puak Indian.
Satu lagi masalah tentera A.S. ialah mereka tidak dapat membezakan tentera
lelaki atau tentera wanita Moro. Kadang-kadang tentera wanita Moro tentera
lelaki Moro sedangkan kononnya mempunyai kupayaan sama dengan tentera A.S.
hanya ditugaskan memerangi kaum lelaki sahaja. Ini adalah masalah besar tentera
A.S. ketika itu (hanya alasan). Yang lebih memburukkan keadaan ialah pahlawan
wanita berpakaian serupa dengan pakaian pahlawan lelaki Moro. Tentera A.S.
ketika itu adalah dilarang menembak kaum wanita dalam kumpulan rakyat Filipina.
Yang menambahkan lagi masalah tentera A.S. ialah fakta bahawa keupayaan luarbiasa
dan keyakinan yang nekad oleh pahlawan Moro, walaupun mereka ditembak dengan
senapang canggih berkali-kali tapi masih dapat menetak dengan Kris mereka
sehingga kehembusan nafas mereka yang terakhir. Pahlawan Moro berlatih serangan
berani mati, atau telah terbena semangat ingin mati dalam diri mereka, di
seluruh dunia, pahlawan Muslim telah menjadi musuh yang sangat merbahaya, sebab
tiada erti kehidupan di dunia buat mereka (setelah datangnya panggilan
berjihad).
Juramentado Dan Jihad Pihak Amerika dikejutkan dengan taktik
serangan berani mati tentera Moro. Tentera Spanyol yang sebelum kedatangan
tentera Amerika menggelar serangan berani mati sebagai “Juramentado”, secara
kasar bermakna “nekad untuk mati” atau dengan kata lain ‘Berani Mati’. Begitulah
cara tentera Moro mentafsirkan erti Jihad. Dengan tujuan yang nekad membunuh
mati untuk seramai mungkin tentera Kristian sebelum diri sendiri mendapatkan
balasan syurga. Seorang Moro “Juramentado” akan menyerang kumpulan musuh dengan
satu tujuan “membunuh dan mati”. Mujahideen Bangsamoro mengambil keputusan ini
untuk mendapat keredhaan Allah swt, berkorban untuk mati.
Pada 1899, Lieutenant
John J. Pershing telah tiba di Filipina dan ditugaskan dalam Eighth Army Corps.
Misi utamanya ialah mengalahkan penyerang-penyerang Moro yang terdiri daripada
pelbagai suku kaum itu. Akhirnya beliau dinaikkan pangkat sebagai Captain
Pershing pada 2 February 1901. Beliau bertindak sebagai ‘adjutant’, jurutera,
pegawai kastam dan komander pasukan berkuda. Penting juga dinyatakan di sini
bahawa Pershing telah berada di Filipina dari 1899 hingga Jun 1913. Pershing
juga dinaikkan pangkat ke Brigadier General oleh Presiden Roosevelt dalam tahun
1906 dan dihantar semula ke Filipina sebagai Gabernor Wilayah di selatan
Filipina dan ditugaskan untuk membuat perjanjian dengan Moro.
Satu alasan yang
perlu diperhatikan apabila tentera Moro secara berterusan menyelinap masuk
menyerang dan membunuh rakyat Jolo, pegawai-pegawai Jolo, tentera Amerika atau
rakyat Amerika ketika 1912 dan pada awal 1913 menjadikan General Amerika
tertekan menyebabkan kerahan memburu dan menyerang tentera Moro. Diketahui
dengan jelas juga bagaimana 38-caliber U.S. Army revolver tidak dapat
menewaskan Pahlawan-pahlawan Moro yang terus menyerang dan membunuh tentera
Amerika walaupun telah berkali-kali ditembak di tubuh mereka. Bila Brigadier
General John J. Pershing mendapat penghantaran kapal yang membawa persenjataan
baru yang lebih berkuasa 45-caliber automatic revolver, dia begitu berharap
senjata baru itu dapat menghentikan serangan berani mati para juramentado Moro.
(pent.- Selepas ini berlakulah pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Amerika ke
atas orang Moro di kota pertahanan Bud Bagsak, Jolo Sulu). Kebangkitan Bangsa
Moro Abad Ke-21: (Kesinambungan perang angkatan bersenjata Moro pada abad
ke-20). Pengulas abad ke-21 dari Filipina, serangan pengganas 11 September 2001
di Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon denga cepat menuduh “Juramentado”. Seorang
pemerhati menyatakan: “Keputusan bahawa (11 September) pengganas membunuh
seramai mungkin dan akhirnya turut membunuh diri mereka mengingatkan kita pada
orang Islam ‘Juramentado’ di Zamboanga dan Jolo, Filipina Selatan ketika era
penjajahan Amerika ke atas kepulauan itu pada awal 1900-an”. .
Pertembungan
Moro dengan bala tentera U.S. berterusan sejak ketika memuncaknya perang yang
pertama pada 1902 sehingga dengan rasminya tentera U.S. memerintah penuh pada
1913. Perang Dunia Pertama telah menjadi gangguan, dan perang telah mancapai
tahap yang lebih rumit dengan menaikkan semangat masyarakat Filipina Utara
(Wilayah Kristian totok) menuntut perhatian dan keadilan berbanding Moro, serta
cita-cita Jepun menakhluk Filipina dalam Perang Dunia II menambahkan lagi
kekecewaan Moro untuk mendapatkan kemerdekaan. Kemasukan Jepun telah ditentang
hebat oleh tentera Moro, tetapi setelah selesai perang (War World II) Filipina
pada 04 July 1946, dan masyarakat Moro mendapati telah dimerdekakan diri dan
wilayah mereka telah disatukan bersama Republik Filipina pula. . Dekad yang
seterusnya, Moro menyambung penentangan mereka berbanding berintegrasi dengan
Republik Filipina. Kerajaan melaksanakan migrasi Kristian Filipina ke tanah
atau wilayah tradisi Moro di Selatan yang mana dilihat oleh masyarakat Moro
sebagai pengambil-alihan tanah secara besar-besaran adalah seperti mencurah
minyak ke api. Perjuangan Moro mutakhir menggambarkan persamaan kemasukan
rakyat Filipina (Kristian) ke Selatan dengan “Tindakan Polis ‘Israel’ menentang
rakyat Palestin”. Kerajaan Kristian Utara akan menambahkan lagi ancaman keatas
identiti Masyarakat Islam Moro. Moro gunakan taktik perang gerila di Pulau Jolo
telah mendapat perhatian Major General Jens A. Doe, general pemerintah 41st
Infantry Division, pada April 1945. .
Kebangkitan MNLF Melawan Marcos Moro menuntut
bahagian dari hasilbumi mereka daripada Kerajaan Pusat dengan permintaan yang
berbeza iaitu pelaburan ke kawasan mereka, pendidikan, penjagaan kesihatan,
mendapat hak sistem keadilan, dan beberapa permintaan lagi iaitu pemangkin
aspirasi kepada kemerdekaan sebelum ini. Tetapi kumpulan-kumpulan ganas
Kristian yang bersekongkol dengan angkatan polis tempatan telah melakukan
kekejaman terutamanya pembunuhan beramai-ramai Jabidah pada 18 March 1968,
telah menjadi bencana melahirkan tindakbalas ganas dari Moro ketika era
pemerintahan Marcos.
Tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 200 Moro yang
direkrut di Corregidor Island. Para rekrut ini (Jabidah Special Forces) sedang
dalam latihan untuk misi perang yang luarbiasa dengan sasaran iaitu merampas
Sabah (Borneo) yang dipertikaikan pemilikan Malaysia ke atas Sabah di bawah kod
“Operation Merdeka”. Para rekrut Moro telah ditembak setelah enggan mengikut
arahan dan juga untuk menyembunyikan bukti tujuan sebenar operasi itu.
(Bermakna mereka dibunuh setelah mengetahui tujuan mereka di latih lalu enggan
mengikut arahan seterusnya) Setelah tercetus situasi ini maka tiba-tiba secara
diam-diam tertubuhlah satu formasi tentera, Moro National Liberation Front
(MNLF) lewat 1969.
Para pelajar Moro dari seluruh universiti di Filipina,
Mesir, dan dimana-mana tempat di Timur Tengah yang prihatin untuk mewujudkan
negara Islam yang merdeka di Filipina Selatan bersatu menubuhkan MNLF. MNLF
semakin kuat dengan bantuan asing seperti Muammar Qaddafi dari Libya dan turut
membantu ialah Gabenor Sabah, Malaysia, yang menyumbang persenjataan dan
lain-lain bantuan perubatan dari Libya yang juga melatih latihan ketenteraan
para belia Moro. Dengan dokongan bantuan persenjataan dari luar dan
bermacam-macam lagi bantuan, dalam pertengahan 1970-an, MNLF dianggarkan
mempunyai ahli yang mencecah 30,000 tentera lelaki lengkap bersenjata bertempur
dengan tentera Filipina dan Polis di kepulauan Sulu dan Mindanao.
Pada awalnya
telah menampakkan kejayaan tetapi mula lemah penentangannya pada lewat 1975,
walaubagaimana pun para pemimpinnya berpindah ke Sabah dan mendapat sedikit
bantuan dari kerajaan serta Program Amnesty. (Talipok, Kota Kinabalu &
Mawtas atau Kg. Bahagia Sandakan adalah sebahagian Penempatan Amnesty untuk
pelarian Filipina yang masih wujud sehingga ke hari ini). Genjatan senjata pada
1976 dan pembangunan di kawasan otonomi sementara telah diberikan, tetapi
bukannya kemerdekaan, zon kawasan masyarakat Islam di selatan seolah-olahnya
adalah kawasan mutlak MNLF. Tidak lama kemudian, disusuli oleh Iran dengan
kebangkitan revolusinya pada 1979 telah turut membantu datangnya curahan
bantuan dan dokongan semula di peringkat antarabangsa kepada MNLF.
Kemudian
pada tahun 1987 di Jolo Filipina tercetus lagi satu ensiden yang menyebabkan perang
Moro masih tiada jalan penyelesaian. Seorang Datu, iaitu Datu Halun Amilusia
yang memiliki senapang antik ayahnya era Perang Dunia II, jenis M-1 Carbine
yang begitu bangga dengan riflenya. Ketika dulu pernah digunakan membunuh
tentera Jepun dan pernah melalui zaman kerajaan Islam ketika dulu, dan juga
pernah membunuh tentera Filipina. Khabarnya adik lelaki dan Ayah Datu ini,
Pernah mendapat anugerah “Bronze Star” kerana keberanian menjadi tentera gerila
menentang tentera Jepun, telah dibunuh oleh tentera Filipina pada 1985 ketika
tentera Filipina menyerang rumahnya. Pembunuhan seperti ini bukannya sedikit,
maka tindak balas ganas dari pihak Moro akan berterusan. Kebangkitan MILF Dalam
tahun 1979, satu kumpulan kecil saingan yang tidak bertahan lama telah muncul
yang telah diasaskan oleh pemimpin MNLF yang tidak sehaluan yang berpusat di
Saudi Arabia. Pada 1977 iaitu Bangsa Moro Liberation Organization, kepimpinan
MNLF yang tidak bersatu menyebabkan perpecahan maka tertubuhla organisasi ini.
Pada 1983 satu lagi kumpulan serpihan tersebut menamakan kumpulan baru iaitu
MILF (Moro Islamic Liberation Front).
Walaupun MILF lebih kecil dari
pendahulunya (MNLF) tetapi juga mempunyai keupayaan yang tidak terduga dengan
persenjataan perang yang lengkap. Pada ketika ini, 3 organisasi Islam dengan
keunggulan masing-masing ingin menunjukkan kepada masyarakat Moro dengan janji
menaikkan taraf hidup mereka, genjatan senjata, serta berbincang perdamaian
dengan organisasi pertubuhan Moro lain untuk berdamai dengan kerajaan Filipina.
Tetapi suasana menjadi semakin rumit bila satu lagi kebangkitan yang lebih jauh
dari jangkauan geografi, iaitu bermulanya perang Soviet-Afghan pada Disember
1979.
Telah menghasilkan satu lagi pemberontak kumpulan, lebih radikal dan
ganas berbanding kumpulan Islam lain di Filipina, dinamakan Abu Sayyaf Group
(ASG). (ASG) dan Keganasan? Kebangkitan Abu Sayyaf Sebelum formasi ASG ini
secara terperinci, kita menelusuri asal kemunculan secara kasarnya kita
bersetuju bahawa pengasas kepada kumpulan Moro ini Bakar Janjalani yang pernah
belajar di Timur ialah Abdurrazak Abu Tengah telah tertarik dengan fahaman
Wahhabi yang dilagang oleh Professor Abdul Rasul Abu Sayyaf. Professor Afghan
dan kaum dari etnik Pashtun ini adalah seorang bekas pengikut fahaman yang
berasal dari Arab Saudi – yang diasaskan pada kurun ke-18 oleh Muhammad ibn
Abdul Wahhab (Sebenarnya Arab Saudi bermazhab Neo-Hambali yakni Mazhab Hambali
mengikut acuan Ibnu Taimiyyah yang diperkenalkan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab
kepada pemerintahan awal Bani Sa’ud. Sebahagian umat Islam menggelar mereka
Wahhabi tetapi mereka yang digelar wahhabi ini pula menamakan diri mereka
Salafi).
Selepas pelanggaran Soviet ke atas Afghanistan, Abu Sayyaf, dikatakan
telah menjadi seorang yang disegani, sifat kepemimpinannya terserlah dan telah
mewujudkan kumpulan-kumpulan mujahideen yang beroperasi dekat Kabul yang
menentang tentera Soviet pada 1986. Untuk menunjukkan pengikut Wahhabi dari
Arab Saudi kesatuan Islam, para simpati radikal adalah penyumbang kewangan
terbesar kepada kumpulan ini, yang juga Islam. Yang akhirnya menjadi bantuan
dikaitkan dengan persaudaraan pemusatan aktiviti oleh seorang rakyat Jordan
berbangsa Palestin Sheikh Abullah Azzam untuk membawa masuk ramai mujahideen
dari luar yang juga mendapat pelbagai sokongan pada 1984. Kewangan dan
sumbangan lain selalunya datang dari sumbangan amal umat Islam. Dilaporkan ASG
telah melatih lebih kurang 20,000 tentera mujahideen asing. Kebanyakan dari
mereka yang dilatih di kem berhampiran Peshawar, Pakistan, yang bersedia untuk
dekerah berperang adalah dari Timur Tengah, Afrika Selatan dan Filipina. Abu
(Abdurrazak) sendiri tiba di Afghanistan pada 1986 dan Bakar Janjalani di
laporkan menyertai Kesatuan Islam Sayyaf (Sayyaf’s Islamic Union).
Dia berkemungkinan
berada di Afghanistan dalam kem latihan Sayyaf dan seterusnya berada di situ
sehingga perang tamat. Sebagaimana ribuan tentera Islam yang bukan berbangsa
Afghan, termasuk mujahideen Mesir, Saudi, Algeria, Chechen, Uzbek, Kuwait,
Uighurs dari Xinjiang China, dan lain-lain, Janjalani juga turut serta
menghalau keluar Tentera Soviet dari Afghanistan. Dengan tamatnya peperangan
mujahideen mendapat kejayaan yang membanggakan pada Februari 1989, hampir
kesemua pejuang mujahideen asing bertebaran di negara-negara Islam di seluruh
dunia setelah kembali ke negara masing-masing. Telah didokumentasikan dengan
baik, bahawa kebanyakan dari mereka telah terlibat dengan kekacauan dan
kumpulan-kumpulan penentang bersenjata untuk berperang atas nama jihad keatas
rejim kerajaan masing-masing yang dianggap telah melakukan bid’ah atau
keterlaluan mengikut pemerintahan acuan barat. Kesinambungan terjalin erat dan
semakin subur dari pengalaman perang Afghanistan, telah menguasai peraturan
dalam serangan ke atas kehidupan rakyat Amerika Syarikat, harta serta
kepentingan A.S. di seluruh dunia yang akan terus berlaku dimasa-masa akan
datang. Pada pertengahan 1989 hingga 1990, Janjalani muncul dan meninggalkan
Afghanistan menuju ke wilayah asalnya di Filipina iaitu Pulau Basilan, Sulu
yang hanya dipisahkan oleh selat lurus dengan ibu negeri Mindanao, Zamboanga.
Dia dan ramai lagi bekas pejuang Afghan Moro kembali ke Filipina dengan
pandangan, kejayaan Afghanistan perlu diulangi di Filipina. Azam yang begitu
tinggi untuk mendapatkan kemerdekaan dengan mewujudkan kerajaan Islam yang
tegas di Selatan Filipina. Ada juga Mujahideen Moro yang sekembali dari Afghan
menyertai MNLF dan sebilangan lagi menyertai MILF.
Walaubagaimana pun Janjalani
(Abdurrazak) percaya akan “keaslian” agama Islam yang di bawa oleh Wahhabi. Di
Basilan dengan bandar utamanya Tabuk, dia pernah berkata bahawa sudah tiba
masanya mengubah kepada suasana awal (awal Islam) dengan wanita berpakaian
hitam dan lelakinya memakai pakaian kelabu atau putih. Dia memulakan dengan
beberapa orang pengikut dan menubuhkan kumpulan pemberontak yang dinamakannya
Abu Sayyaf. Sempena nama mentornya (Prof. Abdul Rasul Abu Sayyaf). Elemen tidak
sehaluan dalam MNLF yang diketuai oleh seorang yang berfahaman sama dengan
Janjalani, seorang guru yang warak bernama Wahab Akbar, menyertai Janjalani
dalam perjuangan ini. Dengan pengikut yang kecil pada peringkat awal kira-kira
20 keahlian, dengan matlamat mewujudkan kerajaan Islam yang asli di Mindanao.
ASG semakin berkembang dengan keahlian yang semakin ramai sekurang-kurangnya
beberapa ratus keahlian yang semakin menonjol dan semakin dirasakan
kehadirannya di dan beberapa kawasan di Mindanao.
ASG Basilan, gugusan
kepulauan Sulu telah menunjukkan dirinya yang sebenar di khalayak dengan sifat ganasnya
seperti pengeboman, pembunuhan, serangan dan serang hendap yang juga diketahui
sebagai merompak, memeras ugut, penculikan dan akhirnya menjadi ‘trademark’
mereka. Salah satu elemen yang cukup besar yang mengundang tindakbalas Tentera
Filipina yang di sokong oleh A.S berkemungkinan disebabkan penahanan 2
muballigh Kristian dari Wichita, Kansas dan beberapa ‘Nurse’ Filipina. ASG juga
digambarkan sebagai satu kekuatan yang menguasai lautan tradisi Moro, aktiviti
pelanunan berleluasa di sekitar perairan Filipina yang kadang-kadang aktiviti
mereka menjangkau ke tempat-tempat yang lebih jauh dari rumah mereka.
Komentator Filipina membuat salah seorang lanun yang manjadi legenda bernama
antara perbandingan kumpulan ASG Jikiri (Dzikiri) kira-kira tahun 20-an yang
lalu dengan mempunyai persamaan. Selepas bertahun berjaya dengan perlakuan
jenayahnya iaitu dengan berselindung di sebalik tuntutan mengembalikan
sebahagian hak-hak orang Moro, yang akhirnya Jikiri terbunuh setelah bertempur
dengan pegawai Amerika secara “hand-to-hand” di Pulau Patian. Kini, kapal-kapal
perniagaan komersil mula takut yang ASG pula dan kumpulan-kumpulan ganas
lainnya akan mengalihkan perhatian kepada mereka sebagai mangsa mudah di lautan
yang terbentang luas itu akan menjadi kenyataan. .
Askar Filipina dan angkatan
Polis juga mencapai beberapa kejayaan dalam misi menghapuskan ASG, termasuk
kejayaan meragut nyawa pengasasnya, Janjalani (Abdurrazak) pada Disember 1998
dalam satu pertempuran bersenjata yang juga turut menangkap atau membunuh
beberapa pemimpin beserta pengikut lain. pengasasnya dan dengan gelaran
seperti Khaddafy Janjalani, adik kepada nama pemimpin Libya yang mendapat
sokongan, kini menjadi pemimpin ASG yang baru. . Laporan ada mengaitkan antara
Osama Bin Laden dan ASG yang pernah bertemu di Afghanistan pada 1980-an di mana
Osama seperti juga Janjalani (Abdurrazak) sangat rapat ketika dalam hubungannya
dengan Professor Abdul Rasul Abu Sayyaf Sayyaf’s Islamic Union dan turut
sama-sama berperang. Ketika kerahan Osama ini dilaporkan penyumbang perang
Afghan, Al-Qaeda kumpulan kewangan di samping penyumbang lain kepada ASG.
Walaubagaimana pun secara tepat bantuan itu disalurkan tidaklah diketahui. .
Pada awal pertengahan 1990-an adik tiri Osama, seorang jutawan Arab Saudi ketua bernama
Muhammad Jamal Khalifa, disyaki salah seorang dari penyumbang kewangan kepada
ASG dan berkemungkinan pemberontak Islam Filipina turut mendapat bantuan sama.
Melalui sumbangan amal di Filipina, sesetengah sumbangan melalui individu yang
ada pertalian dengan Khalifa, Ramzi Yusuf, yang mana terlibat dalam pengeboman
Pusat Dagangan Dunia (World Trade Center) pada 1993. .
Kami menamatkan perang
Moro ini di sini. Mengenai sejarah ASG di atas, jelas menunjukkan pada kita
asal usul ASG itu. Beberapa orang Sulu yang kami temui dan temuramah melalui
internet menyatakan bahawa Abdul Razak Janjalani itu sekalipun dikatakan
menganut ajaran Wahhabi/Salafi tetapi telah menunjukkan keazaman dan ketelusan
semasa hayatnya memerangi ketidak adilan Filipina terhadap Sulu. Tetapi setelah
beliau terbunuh, jamaahnya telah diambil alih oleh pemimpin yang telah disusupi
anasir luar. Hakikatnya ASG itu adalah produk CIA dengan kerjasama pihak
keselamatan Filipina sendiri dengan merancang serangan-serangan ganas agar ASG
dituduh pengganas pula, maka ada alasan meminta bantuan Amerika seterusnya
membawa tentera Amerika masuk ke Sulu.
Ulasan: Dalam konteks penentangan orang-orang Moro di Selatan Filipina, perlu
kita ambil perhatian bahawasanya mereka (orang-orang Moro) secara semulajadinya
menentang kepada pencerobohan penjajah yang sudah mereka maklumi sebagai
pembawa ajaran Kristian kerana mereka telah pun menyaksikannya sendiri
bagaimana para penjajah berjaya mengkristiankan utara Filipina. Prof. Cesar
telah menyentuh perkara ini dalam bukunya ‘Islam Di Filipina’ bahawa Spanyol
telah menunjukkan diri mereka sebagai penjajah yang memaksakan agama mereka
(Kristian) keatas Moro Sulu sebab itu orang-orang Moro Sulu termasuk Moro
Mindanao sangat keras penentangannya terhadap Spanyol hinggakan tidak pernah
Spanyol mendapat kesempatan menakluk wilayah selatan kecuali memeterai
perjanjian perdagangan sahaja.
Spanyol telah melakukan perkara yang memalukan
dan biadap dengan menjual kesemua wilayah Filipina termasuk Sulu dan Mindanao
kepada Amerika Syarikat (setelah kalah perang) dengan harga murah. Walhal dua
wilayah besar Sulu dan Mindanao itu tidak pernah ditakluki oleh Spanyol.
Rentetan dari penjualan negara yang biadap itu, Amerika mendapati dua wilayah
di selatan itu belum tertakluk sebab itu Amerika mengganas di Sulu dengan
melakukan pembunuhan beramai-ramai yang tercatat dalam sejarah mereka sendiri
sebagai “Pembunuhan yang memalukan”. Kerana membunuh ribuan rakyat Moro Sulu
termasuk kaum wanita dan kanak-kanak hanya disebabkan kaum Tausug tidak puas
hati dengan pendudukan Amerika di wilayah mereka yang sememangnya merdeka.
Prof. Datu Emmanuel D.Mangubat menyatakan dalam satu artikelnya dalam akhbar
tempatan Filipina bahawa ketika Aguinaldo berjaya memerdekakan Filipina dari
tangan Amerika Syarikat wilayah Selatan (Moroland) itu masih berperang dengan
Amerika maka bagaimana mereka (Filipina) mengatakan yang Sulu dan Mindanao itu
wilayah mereka? Wallahu a’lam. Nota kaki: [1] Islam Di Filipina, Prof. Cesar
Adib Majul, m.s. 154 (Terjemahan Shamsuddin Jaapar, DBP:1988). . [2] Lapu-Lapu
perwira yang membunuh Ferdinand Magellan ini dikatakan berbangsa Bugis dari
Sulawesi manakala dari versi lain menyatakan bahawa beliau ialah dari kaum
Tausug Sulu. Rasanya kedua-duanya benar, sebab sekiranya beliau berasal dari
Tanah Bugis sudah tentu di Sulu pun ada kaum yang berasal dari Tanah Bugis itu,
iaitu kaum Tausug Baklaya. Tausug Baklaya adalah Tausug yang tinggal di
persisiran pantai Sulu dan sejarah menyatakan mereka berasal dari Sulawesi atau
dari Tanah Bugis. . [3] Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei sememangnya
adalah bersaudara sekalipun antara mereka tidak berkahwin campur kerana moyang
mereka Sultan Sulu, Sultan Shariful Hashim (keturunan Sayyidina Hussein r.a.)
dan Sultan Brunei, Sultan Sharif Ali Barakat (keturunan Sayyidina Hassan r.a.)
itu adalah dikalangan Ahlul Bait Rasulullah s.a.w. . [4] Rujuk: Salsilah
Kesultanan Sulu susunan YM Datu Ali Aman – Pangeran Budiman @ Raja Ilo
sebenarnya adalah Sultan Sulu dari keturunan Sultan Shariful Hashim, anak
saudaranya berkahwin dengan Sultan Brunei ketika itu.
Sumber : : http://tausug-global.blogspot.com/2008/09/8-perang-moro-dalam-sejarah.html
Ahad, 2008 September 14
Posted by Sangtawal
Sakranta at 3/18/2009 11:20:00 AM
Sumber : sangtawal
No comments:
Post a Comment