Sejarah Penentangan ke atas Pentadbiran Brooke di Sarawak
(1841-1930AN)
Bukan mudah untuk membina sebuah Negara…. Itulah kata-kata
yang sering kita dengar apabila kita memulakan bicara tentang sebuah Negara
yang aman dan damai. Kata-kata ini bolehlah kita terapkan di dalam satu lagi
informasi sejarah sumber perkongsian artikel daripada Borneo Oracle pada kali
ini. Apa yang akan dipaparkan oleh Borneo Oracle adalah merujuk kepada sejarah
penentangan-penentangan daripada bangsa Sarawak suatu waktu dahulu ke atas pentadbiran
Brooke iaitu Rajah Bangsa Eropah yang pernah memerintah Sarawak Kingdom selama
lebih 100 tahun.
Sebagai seorang Rajah yang baru disebuah negara yang baru
yang bergelar Sarawak Kingdom pada ketika itu usaha pertama yang Rajah James
Brooke adakan adalah dengan cuba menghakis pengaruh Kesultanan Brunei di dalam
pola kehidupan masyarakat Sarawak pada masa itu. Di awal pemerintahannya,
kesemua pembesar-pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei telah
diketepikan dan beliau melantik pemimpin-pemimpin Melayu, Dayak dan kaum Cina
yang menyokong beliau selama ini untuk dijadikan pembesar-pembesar di Sarawak
Kingdom.
Antara masyarakat Melayu yang dijadikan pembesar adalah Datu
Patinggi Ali, Dato Temenggung Marsal, Datu Bandar Kanca Muhammad Lana dan Pengiran
Matusin. Pada ketika itu juga Rajah James Brooke telah mengadakan
peraturan-peraturan serta undang-undang mengikut sistem pemerintahan Inggeris
iaitu tempat asalnya, England. Walaupun ada yang menyokong pemerintahan Brooke
namun ramai juga yang tidak menyetujui dasar pemerintahan baru yang
diperkenalkan oleh Brooke di bumi Sarawak suatu waktu itu.
Penentangan masyarakat Melayu
Ketika banyak wilayah Sarawak menjadi tanah kuripan kepada
pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dahulu, sekumpulan
pembesar-pembesar berketurunan Melayu Arab seperti golongan Syarif telah
membina pengaruhnya tersendiri di Saribas dan Skrang. Mereka ini mendapat
sokongan sepenuhnya daripada masyarakat Iban yang di Saribas, Skrang dan Batang
Lupar. Dan kesemua mereka tidak menyetujui pembaharuan yang diperkenalkan oleh
Brooke kerana ini akan menjejaskan sumber pendapatan mereka daripada pungutan
cukai dan juga pengaruh mereka semakin berkurangan.
Di ketika inilah munculnya gerakan penentangan oleh Sharif
Sahap yang tertumpu di Sibu. Di ketika itu Rajah Brooke telah menggunakan
segala yang ada untuk memungkin beliau menguasai industri penanaman sagu yang
sangat berharga pada masa itu di pasaran dunia. Gerakan yang didokongi oleh
Sharif Sahap yang menguasai Skrang dan adiknya Sharif Mullah yang menguasai
Saribas. Pengaruh mereka terlalu kuat di kalangan masyarakat Melayu dan juga
Iban di Saribas, Skrang dan Batang Lupar itu menjadikan Rajah James Brooke
tidak senang duduk. Pada tahun 1842, Sharif Sahap telah membuat satu perancangan
yang teliti untuk menyerang Brooke di Kuching tetapi ianya tidak dibatalkan
kerana dikatakan rahsianya sudah bocor dan Rajah James Brooke sudahpun bersedia
dengan segala kemungkinan itu.
Dengan alasan untuk memerangi lanun, akhirnya Rajah Brooke
telah berjaya meyakinkan kerajaan British untuk membantu beliau. Pada tahun
1844, Kapten Henry Keppel dan armada perang HMS Dido dan HMS Phlegathon datang
menghulurkan bantuan dan gerakan penentangan Sharif Sahab dan Sharif Mullah
berjaya dikalahkan di Pemutus dan Undup. Di dalam perang ini, kedua-duanya
berjaya meloloskan diri dan mereka kemudiannya bersatu dengan Syarif Jaafar di
Lingga. Pemburuan mereka tidak terhenti malah Rajah James Brooke dan armada
tenteranya menjejaki mereka sehingga ke Kapuas dan akhirnya memaksa mereka
berundur ke Pontianak. Akhirnya Sharif Sahab menghembuskan nafasnya yang
terakhir di Pontianak.
Sharif Mullah dan Sharif Jaafar berserta dengan masyarakat
Iban Skrang telah sekali lagi cuba menyerang James Brooke di Kuching pada tahun
1845 namun cubaan serangan ini tidak berjaya dan hanya berlaku sekerat jalan.
Akhirnya Rajah James Brooke memberikan pengampunan kepada Sharif Mullah dan
hanya dibenarkan untuk menetap di Skrang. Manakala Sharif Jaafar pula
dilucutkan jawatan pembesar Lingga dan dikenakan perintah untuk tinggal di
Sadung. Mana-mana pemimpin Iban yang bersekongkol juga diampunkan dan hidup
seperti biasa di kawasan masing-masing tanpa jawatan dan menjadi rakyat biasa.
Selepas itu gerakan ini reda.
Sekitar tahun 1854 – 1861 muncul pula satu gerakan
penentangan yang didokongi oleh Syarif Masahur. Syarif Masahur merupakan
pembesar yang dilantik oleh Kesultanan Brunei dan sehingga zaman Brooke
memerintah penguasaan beliau masih lagi diiktiraf. Beliau tidak berpuashati dengan
pemerintahan Brooke yang seperti memperkecilkan kewibawaannya memerintah
Sarikei pada masa itu. Dan ini menyebabkan beliau bersama-sama dengan
masyarakat Iban di kawasan Kanowit dan Sungai Rejang bangun menentang
pemerintahan James Brooke.
Pada tahun 1855, satu ketegangan telah berlaku apabila
Pengiran Matusin yang menjadi penyokong kuat Rajah James Brooke telah membunuh
Pengiran Arshad iaitu pemerintah di Mukah. Pengiran Arshad merupakan ayahanda
mentua kepada Syarif Masahur dan ini menyebabkan Syarif Masahur menyerang Mukah
bagi menuntut bela atas kematian ayahanda mentuanya dan menghalau Pengiran
Matusin daripada bumi Mukah pada waktu itu. Di ketika itu beliau juga mendapat
bantuan daripada masyarakat Iban Kanowit dan Sungai Rejang. Namun serangan ini berjaya
dipatahkan dan akhirnya Syarif Masahur dilucutkan jawatannya sebagai pembesar
di Sarikei.
Pada 25hb Jun 1859, 2 orang penjawat Eropah iaitu Charles
Fox dan Henry Steele telah dibunuh di Kubu Emma. Pembunuh kedua-dua penjawat
Eropah ini dikatakan Sawing dan Sakalai iaitu antara mereka yang setia dengan
pemerintahan Sharif Masahur. Sebenarnya pembunuhan kedua-dua penjawat bangsa
Eropah ini ada kena mengena dengan sentiment anti barat di Banjarmasin 1859
iaitu ketika itu ramai nyawa bangsa Eropah mati ditangan masyarakat Dayak di
sana dan ianya merebak sehingga ke bumi Sarawak pada masa itu. Sawing dan
Sakalai ini akhirnya ditangkap dan dipenjarakan.
Pada tahun 1860, Sharif Masahor telah bersama-sama dengan
Pengiran Temenggung Hashim Jalil dari Brunei turut sama di dalam gerakan Sharif
Masahur. Pada ketika itu Pengiran Temenggung Hashim Jalil telah diarahkan untuk
ke Pontianak bagi mengatur strategi dengan Datu Patinggi Abdul Ghafur yang
hidup dalam buangan di Pontianak. Seharusnya komplot mereka untuk membunuh
Brooke dimulai di Sungai Batang Rejang dan seterusnya menyerang Kuching namun
pakatan ini dapat dihidu dan akhirnya dengan bantuan pihak Belanda di
Pontianak, Pengiran Temenggung Hashim Jalil dan Datu Patinggi Abdul Ghafur
telah ditangkap dan dipenjarakan di Batavia.
Pada Februari 1860, perang Sharif Masahor dengan armada
tentera Rajah Brooke tidak dapat dielakkan maka berlakulah perang di Batang
Rejang. Di dalam perang tersebut, Sharif Masahur dan pengikut-pengikutnya kalah
dan ramai yang terkorban. Syarif Masahor pula berjaya meloloskan diri ke
Sarikei dan kemudian ke Igan.
Dalam pemburuan inilah armada Brooke yang dipimpin oleh Tuan
Muda Charles Brooke telah memusnahkan rumah-rumah pengikut Sharif Masahur di
Sarikei dan Igan. Syarif Masahur memohon perlindungan daripada iparnya iaitu
Pengiran Nipa di Mukah. Pengiran Nipa bersatu dengan Sharif Masahor dan pada
bulan Ogos armada Brooke cuba mengalahkan Pengiran Nipa di Mukah namun tidak
berjaya.
Setelah tidak berjaya menangkap Sharif Masahor dan juga
menyerang Pengiran Nipa di Mukah, akhirnya Rajah Brooke memohon kerjasama
daripada Sultan Mukmin untuk memerintahkan Syarif Masahor keluar dari Mukah.
Melalui perundingan akhirnya Syarif Masahor menurut perintah Sultan Mukmin dan
beliau kemudiannya dibuang ke Selangor dan meninggal dunia di Selangor pada
tahun 1890. Pengiran Nipa pula dilucutkan jawatan dan akhirnya Rajah Brooke
melantik Pengiran Matusin sebagai pembesar di Mukah.
Penentangan Masyarakat Cina
Sebenarnya kedatangan masyarakat Cina di Sarawak telah
berlaku lebih awal lagi iaitu semenjak pembukaan lombong-lombong antimoni dan
emas di kala pemerintahan Pengiran Mahkota lagi. Dan ianya di dalam skala besar
apabila Rajah Brooke memerintah kerana dasar Brooke yang mahukan mereka membina
ekonomi bagi Sarawak Kingdom pada masa itu.
Pada tahun 1857, muncul pula gerakan penentangan oleh
masyarakat Cina yang menjadi pelombong di Bau. Mereka adalah daripada
masyarakat Cina Hakka yang berasal dari Sambas dan mereka sudahpun berada di
Sarawak sekitar tahun 1820an lagi. Golongan ini membuat kongsinya sendiri yang
dinamakan San-Tiau Kou dan Ta-King. Kedua-dua pertubuhan kongsi ini bersatu
padu dengan mengusahakan lombong-lombong di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.
Apabila Brooke memerintah banyak urusan lombong-lombong
antimoni dan emas diberikan kepada Borneo Limited iaitu sebuah syarikat yang
menjadi hak milik Kerajaan Sarawak Kingdom. Dasar ini tidak disenangi oleh
kumpulan kongsi ini dan bermulala penentangan daripada mereka.
Sebenarnya Rajah Brooke tidak menggemari kesatuan
kongsi-kongsi ini kerana dikatakan mereka seperti telah menubuhkan “negeri di
dalam negeri” ketika itu. Kesatuan kongsi-kongsi ini dikatakan mempunyai sistem
kehakiman tersendiri, membuat senjata, menggunakan matawang sendiri malah
mengibarkan bendera mereka sendiri tidak bendera Sarawak Kingdom. Keadaan ini
harus dihentikan maka muncullah sebuah syarikat perlombongan Sarawak Kingdom
sendiri di dalam memastikan pengaruh ini tidak terus menular.
Selain daripada itu pada tahun 1852, Rajah Brooke telah
Daerah Bau dibentuk di dalam peta Sarawak Kingdom pada waktu itu. Masyarakat
cina dibenarkan melantik kapitan daripada bangsa Cina dengan pada masa yang
sama seorang Kapitan Inggeris juga akan berada di Bau di dalam usaha mengawal
pengaruh mereka di Bau. Pada ketika inilah Brooke telah menggunakan kuasanya
dengan tidak membenarkan ahli kongsi membuat keputusan-keputusan penting
seperti mengendalikan kes jenayah dan juga dengan sesuka hati mengambil tanah
milik masyarakat tempatan di Bau malah membina parit pun tidak dibenarkan.
Jika dahulunya candu merupakan makanan bagi masyarakat Cina
tetapi ketika di era pemerintahan Brooke, undang-undang Candu menjadi peraturan
yang menjadi duri dalam daging bagi mereka. Masyarakat Cina Hakka juga tidak
menyetujui untuk sumber ekonomi mereka sama-sama dikongsi dengan masyarakat
Cina Hokkien dan Teochew di Kuching kerana ini adalah permusuhan lama antara
mereka sejak dahulu lagi.
Akhirnya pada 18hb Februari 1857, lebih kurang 600 orang
masyarakat pelombong Cina Hakka di Bau telah berangkat dari Tundong ke Kuching
dan menyerang kediaman Rajah Brooke. Serangan yang tidak diduga ini hampir
membunuh Rajah Brooke sendiri kerana beliau sempat menyelamatkan diri dengan
terjun ke Sungai Sarawak dan memohon perlindungan daripada perkampungan Melayu
di tepi Sungai Sarawak pada masa itu. Selama 3 hari, Kuching menjadi tawanan
kepada pelombong-pelombong Cina yang akhirnya berjaya dikalahkan oleh armada
tentera Tuan Muda Charles Brooke yang disertai oleh masyarakat Melayu dan Dayak
Sarawak akhrinya berjaya menawan Kuching kembali.
Selepas itu pemburuan kepada pelombong-pelombong Cina Hakka
ini diteruskan sehingga melepasi sempadan. Di kala inilah diceritakan
pelombong-pelombong Cina Hakka ini tidak terkecuali anak dan isteri mereka yang
bersembunyi menyelamatkan diri juga turut dibunuh oleh tentera Brooke di dalam
memastikan tiada lagi ancaman daripada pelombong-pelombong ini.
Penentangan Masyarakat Dayak Sarawak
Masyarakat Dayak juga bangun menentang pemerintahan Brooke
di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Sejarah telah membuktikan bahawa Gerakan
Rentap yang dimulai pada tahun 1849 – 1861 telah banyak membuatkan Rajah Brooke
“pusing kepala”. Banyak ekspedisi-ekspedisi yang telah dilancarkan oleh Brooke
bagi memastikan pengaruh penentangan yang dikelola oleh Rentap ini tidak
menular di bumi Sarawak pada masa itu.
Pada 31 Julai 1849, Perang Banting Maru berlaku antara
Rentap dengan pengikutnya melawan armada tentera Brooke yang juga dianggotai
oleh masyarakat Iban yang menyokongnya. Kubu di Tabbat menjadi benteng
pertahanan Rentap dan dia mendapat sokongan padu daripada iban di Skrang dan
Saribas. Brooke pula membina kubu di Lingga namun ianya masih tidak berkeupayaan
untuk menyekat kemaraan Rentap dan pengikutnya.
Pada bulan Disember 1852, Rajah Brooke telah datang ke
Skrang untuk berunding dengan Rentap namun ianya tetap ditolak oleh Rentap.
Akhirnya bermula pada bulan Ogos 1854, dengan bantuan masyarakat Melayu dan
dayak sendiri berserta dengan armada tentera Brooke satu ekspedisi telah
dihantar untuk menghapuskan pengaruh Rentap dan pengikutnya di Sarawak. Perang
di Bukit Saduk 1857 adalah perang yang paling epik apabila sebanyak 2 kali
armada Brooke cuba untuk menguasai Kuta Rentap di Bukit Sadok namun menemui
kekalahan. Hanya ekspedisi ketiga yang berjaya itupun kerana meriam yang
digunakan oleh Rentap tidak berfungsi barulah armada tentera Brooke berjaya
menawan Kuta Rentap. Namun didalam perang ini, Rentap yang cedera berjaya
meloloskan diri dan berundur ke Entabai dan Julau dan akhirnya beliau meninggal
dunia akibat sakit tua.
Sekitar tahun 1875, satu penentangan telah berlaku yang
didahului oleh masyarakat Iban Hulu Batang Lupar yang dipimpin oleh Ngumbang.
Puncanya adalah keengganan masyarakat Iban Hulu Batang Lupar untuk membayar
cukai pintu kepada pemerintahan Brooke. Ekspedisi yang dihantar untuk
menghalang pengaruh Ngumbang telah dijalankan namun ianya tidak berhasil
sehinggalah pada tahun 1886, Ngumbang bersetuju untuk berdamai dengan kerajaan
Brooke maka redalah penentangan yang dibuat oleh Ngumbang dan
pengikut-pengikutnya.
Pada tahun 1890 – 1908, muncul pula penentangan yang
dipimpin oleh Bantin. Bantin adalah anak Iban kelahiran Delok dan beliau juga digelar
Ijau Layang. Beliau sebenarnya pernah terlibat melawan pemerintahan Brooke pada
tahun 1875 dibawah Ngumbang di Bukit Seligi. Penentangan Bantin ini bermula
apabila masyarakat Iban pada masa itu tidak dibenarkan untuk berpindah randah
seperti apa yang biasa mereka lakukan. Peraturan Brooke yang tidak membenarkan
mana-mana masyarakat Dayak untuk berpindah randah membuka kawasan baru telah
menjadi duri dalam daging bagi Bantin.
Bantin dan pengikut-pengikutnya tidak memperdulikan apa jua
peraturan Kerajaan Brooke pada masa itu disifatkan sebagai penentangan kepada
undang-undang Sarawak Kingdom. Bantin sebenarnya tidak memusuhi Kerajaan Brooke
tetapi memusuhi Bailey yang merupakan penjawat Eropah yang menjadi Residen di
Bahagian Kedua pada akhir tahun 1890. Bailey langsung tidak memberikan ruang
kepada masyarakat Iban di bahagian kedua untuk membuat sesuatu yang mereka
telah lakukan berabad lamanya.
Akhirnya pada 1896, Bailey sendiri mengetuai satu ekspedisi
untuk menangkap Bantin. Pada masa itu Bailey dan anggota keselamatan Sarawak
Kingdom dikatakan telah berjaya membunuh anak saudara Bantin dan membawa mayat
anak saudaranya ke Skrang. Bantin dan pengikutnya tidak berdiam diri sebaliknya
melancarkan perang habis-habisan ke atas Bailey di Skrang. Bailey dan
pengikutnya yang kalah telah berundur dari Skrang dan akhirnya Rajah Brooke
menghantar Panglima Dalam Munan dari Rejang untuk mengajar Bantin.
Pada bulan Disember 1901, sekali lagi keadaan menjadi kacau
bilau apabila salah seorang pemuda Iban yang tinggal di sempadan Kalimantan
telah dibunuh di Sermat. Dengan secara tertib pihak Kerajaan Brooke telah
mengambil langkah memenjara pembunuh-pembunuh dan membayar pati nyawa kepada
keluarga Iban tersebut. Namun begitu, Bantin yang mempunyai kaitan persaudaraan
dengan si mangsa tidak berpuas hati dan mula menyerang rumah panjang
pembunuh-pembunuh itu di Sermat antara bulan Mac sehingga Mei 1902.
Rajah Brooke yang hilang sabar atas Bantin akhirnya
menghantar satu ekspedisi menghapuskan Bantin pada Jun 1902. Ketika itu
dikatakan Rajah Brooke menghantar tentera seramai 12000 orang untuk
menghapuskan Bantin. Namun sekali lagi ekspedisi kepada Bantin menemui
kegagalan kerana dikatakan ramai tentera yang terkorban kerana wabak kolera
yang menyerang pendalaman Sarawak pada masa itu. Setelah itu dikatakan ramai
masyarakat Dayak di Hulu Batang Lupar sudah mula mengiktiraf undang-undang
Rajah Brooke dan Bantin sendiri telah berpindah ke Sungai Leboyan, Kalimantan
dan meninggal dunia akibat sakit tua pada tahun 1930an.
Pada tahun 1930 – 1932 muncul pula penentangan yang
didokongi oleh Penghulu Asun. Sebenarnya Penghulu Asun ini berada di pihak
Rajah Brooke sewaktu gerakan Bantin berlaku. Kerana beliau merupakan antara
masyarakat Dayak yang menyokong kepimpinan Brooke akhirnya beliau dianugerahi
dengan pangkat Penghulu. Beliau merupakan anak Iban dari Entabai dan menjadi
Penghulu bagi kawasan Entabai sekitar tahun 1915.
Penentangan yang dipelopori oleh Penghulu Asun ini adalah
kerana satu salah faham antara Penghulu Asun dengan CD Adam iaitu Residen
Bahagian Ketiga pada masa itu. Pada tahun 1926, Penghulu Asun telah meletakkan
jawatan penghulu dan menyerahkan semula barangan kebesaran yang diberikan oleh
Kerajaan Sarawak Kingdom kepada beliau. Punca perbalahan adalah kerana
undang-undang migrasi yang dikuatkuasakan pada tahun 1926 oleh CD Adam.
Penghulu Asun merasakan ianya keterlaluan kerana pada ketika itu sesiapa sahaja
masyarakat Dayak yang hendak keluar dari kawasan di Bahagian Ketiga harus
mendapat pas keluar dari Residen sesuatu yang tidak masuk akal baginya.
Selain daripada itu sekitar 1920 – 1930 an banyak
undang-undang daripada Kerajaan Brooke yang telah menekan masyarakat Dayak di
bumi Sarawak pada masa itu. Antara undang-undang yang dibuat adalah:
1. Cukai dikena 1 Sarawak Dollar bagi setiap bilik di rumah
panjang tanpa mengira penghuninya janda ataupun orang miskin.
2. Cukai tambahan pula dikenakan untuk setiap tangga rumah
panjang sebanyak 5 Sarawak Dollar
3. Cukai senapang patah dikenakan keatas semua masyarakat
Iban yang mempunyai senjata.
4. Setiap rumah panjang hanya dibenarkan dibina yang boleh
memuatkan 10 buah keluarga sahaja.
5. Jabatan Hutan Simpan dan Perhutanan yang ditubuhkan pada
tahun 1920 an oleh Kerajaan Sarawak Kingdom telah menghentikan amalan tanaman
pindah, penebangan hutan serta mengutip hasil hutan juga memburu binatang
selain dengan kebenaran.
Dan inilah antara yang membawa kepada ketidakpuasan hati
Penghulu Asun ketika itu sehingga dia yang pada mulanya seorang penyokong
Kerajaan Brooke akhirnya menjadi musuh kepada Kerajaan Brooke sendiri. Akhirnya
Penghulu Asun ini meninggal dunia pada tahun 1958.
Inilah satu sejarah panjang gerakan penentangan yang
dilakukan oleh masyarakat Melayu, Dayak dan Kaum Cina di Sarawak suatu waktu
dahulu iaitu penentangan yang dilakukan sewaktu pemerintahan Rajah Brooke di
Sarawak Kingdom pada suatu waktu itu iaitu dari tahun 1841 sehingga 1930an.
Bukan senang untuk membina sebuah negara dan perumpamaan itu juga harus
digunapakai untuk kita mendalami apa yang kita ada sekarang.
Sumber :The Patriots
No comments:
Post a Comment