Sunday 8 November 2015

Perang Siniawan 1840




Suatu waktu dahulu yang dikenali sebagai Sarawak hanyalah mempunyai garis sempadan dari Tanjung Datu sehingga ke Samarahan sahaja atau boleh dikatakan ianya merupakan garis sempadan ibukota Kuching sekarang. Pada ketika itu Sarawak menjadi tanah kuripan kepada pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam berabad lamanya.

Untuk di Sarawak sekitar tahun 1830an diperintah oleh seorang pembesar Brunei yang bernama Pengiran Indera Mahkota. Akibat daripada bentuk pemerintahan Pengiran Indera Mahkota yang dikatakan mengamalkan pemerintahan bercorak kuku besi telah memungkinkan penduduk tempatan Sarawak lebih-lebih lagi di kawasan Lidah Tanah yang dipimpin oleh Datu Patinggi Ali berserta dengan etnik Bidayuh dari kawasan yang dikenali sebagai Gunung Serembu bangun memberontak pemerintahan Pengiran Indera Mahkota.

Akibat adanya pemberontakan tempatan ini menyebabkan Sultan Ali Omar Saifuddin II telah menghantar ayahanda saudaranya iaitu Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim datang ke Sarawak bagi mententeramkan suasana. Misi Pengiran Muda Hashim adalah untuk bergabung dengan Pengiran Indera Mahkota memerangi penduduk tempatan yang bangun memberontak. Namun sebaliknya yang berlaku kerana dikatakan kedatangan Pengiran Muda Hashim ini tidak disenangi oleh Pengiran Indera Mahkota itu sendiri. Malah dikatakan sejak hari pertama Pengiran Muda Hashim menjejakkan kakinya, beliau tidak disambut oleh Pengiran Indera Mahkota di pelabuhan sebaliknya Pengiran Indera Mahkota hanya menghantar orang suruhannya menyambut kedatangan beliau.

Walaupun kedatangan beliau tidak disambut seperti yang diharapkan namun begitu Pengiran Muda Hashim tetap menjalankan perintah Sultan dengan cuba menasihati Pengiran Indera Mahkota untuk menukar system pemerintahannya di Sarawak. Namun sayang seumpama bidalan bagai mencurah air ke daun keladi, Pengiran Indera Mahkota tidak mengendahkan langsung nasihat yang diberikan oleh Pengiran Muda Hashim sebaliknya pemerintahan beliau semakin kejam. Segala usaha telah dilakukan oleh Pengiran Muda Hashim namun sebaliknya penentangan tempatan terus berlaku dan menemui kegagalan.

Kedatangan kali pertama seorang pengembara bangsa Eropah yang bernama James Brooke ke bumi Sarawak pada tahun 1838 untuk menghantar hadiah bagi pihak kerajaan Inggeris di Singapura kepada Pengiran Muda Hashim dilihat sebagai satu peluang besar kepada beliau untuk mententeramkan ketegangan di Sarawak pada waktu itu. Tawaran pertama daripada Pengiran Muda Hashim kepada James Brooke pada kali pertama itu ditolak dengan alasan tidak mahu mencampuri hal dalaman Sarawak pada ketika itu.

Namun begitu, sekitar tahun 1839 James Brooke telah singgah sekali lagi ke Sarawak di dalam perjalanan pulangnya ke tanahairnya Great Britain. Pada kali ini sekali lagi tawaran daripada Pengiran Muda Hashim kepada Brooke untuk membantu beliau menyelesaikan ketegangan di Sarawak. Dan pada kali ini, tawaran ini diterima dengan sebaik mungkin oleh James Brooke memandangkan pada ketika itu tawaran menjadi semakin menarik iaitu Pengiran Muda Hashim menawarkan jawatan Gabenor kepada James Brooke sekiranya beliau Berjaya menyelesaikan penentangan penduduk tempatan pada waktu itu.

Pada awal tahun 1840an, Brooke bersama-sama dengan tentera Pengiran Muda Hashim telah berperang dengan penduduk tempatan di Lidah Tanah yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali dan juga etnik Bidayuh berserta dengan pelombong-pelombong emas Cina yang menyebelahi mereka. Pada kali pertama serangan yang dilakukan oleh Brooke dan gerombolannya tidak Berjaya mengalahkan kumpulan penentangan Datu Patinggi Ali sebaliknya Brooke yang terpaksa berundur dari kawasan mereka.

Selepas beberapa hari mengatur strategi sekali lagi Brooke menyerang kawasan Datu Patinggi Ali dan pada kali ini ianya Berjaya memecahkan kesatuan kumpulan Datu Patinggi Ali. Sekitar Disember 1840, setelah beberapa kali serangan dilakukan akhirnya membenarkan Datu Patinggi Ali dan rakan sekutunya menyetujui untuk tidak lagi memberontak ke atas pemerintahan Brunei dengan bersyarat. James Brooke menggunakan segala kepintarannya untuk memujuk penentang-penentang Brunei berpihak kepadanya.

Pada ketika inilah barulah Brooke mengetahui bahawa penentangan Datu Patinggi Ali dan juga sekutunya adalah semata-mata benci dengan Pengiran Indera Mahkota. Perdamaian hanya boleh dihentikan jika James Brooke memastikan bahawa Pengiran Indera Mahkota bukan lagi gabenor Sarawak pada ketika itu. Ini merupakan permintaan daripada Datu Patinggi Ali dan juga masyarakat Melayu Sarawak pada masa itu kerana mereka tidak mahu dibawah pentadbiran Kerajaan Brunei lagi.

Bagi pihak etnik Bidayuh pula meminta James Brooke untuk memastikan bahawa Pengiran Indera Mahkota dan rakan sekutunya iaitu Iban Skrang untuk tidak lagi menyerang perkampungan mereka dan mengambil wanita serta anak-anak kecil untuk dijadikan hamba tebusan. Mereka juga meminta agar kesemua yang telah diculik untuk dihantar pulang kepada keluarga mereka. Mereka juga meminta untuk Brooke memastikan keselamatan mereka terjamin daripada serangan Iban Skrang di kemudian hari.

Kesemua permintaan daripada Datu Patinggi Ali dan juga etnik Bidayuh dari Serembu ini dipenuhi oleh James Brooke dan bagi memberi kepercayaan atas keselamatan mereka maka pada tahun itu juga Brooke telah membina sebuah kubu di kawasan bernama Berlidah. Kubu Berlidah yang terletak hanya beberapa meter daripada Siniawan inilah yang menjadi tempat untuk Brooke memastikan keselamatan penduduk di Siniawan dan kawasan sekitarnya daripada terus diancam oleh Iban Skrang.

Oleh kerana Brooke telah Berjaya mengamankan Sarawak pada ketika itu maka mahu tidak mahu Pengiran Muda Hashim harus menepati janjinya. Pada tahun 1841, Brooke dengan rasminya menjadi Gabenor Sarawak setelah ditauliahkan oleh Sultan Brunei sendiri. Pengiran Indera Mahkota telah disisihkan dan akhirnya membawa diri sehingga ke Mukah. Menurut sejarahnya, Pengiran Indera Mahkota yang tidak berpuas hati dengan penyisihannya telah bergabung dengan Syarif Mullar dan juga Syarif Jaafar untuk memerangi pemerintahan Brooke.

Pada masa Brooke memerintah Sarawak inilah, Brooke telah bertindak bijak dengan memastikan pemimpin-pemimpin seperti Datu Patinggi Ali menjadi tulang belakangnya memerintah Sarawak pada ketika itu. Dengan adanya pengaruh Datu Patinggi Ali sudah tentu kesemua yang pernah bersekongkol dengan Pengiran Indera Mahkota sebelum ini tidak akan berani membuat onar sewaktu beliau memerintah Sarawak.

Oleh kerana adanya penentangan pemerintahan Brooke di Sarawak oleh Pengiran Indera Mahkota bersama-sama dengan rakan sekutunya iaitu Syarif Mullah maka Brooke bersama-sama dengan Datu Patinggi Ali juga dengan bantuan Iban Undup telah memulakan perang dengan Pengiran Indera Mahkota yang dinamakan Perang Patusan 1844 yang telah mengorbankan Datu Patinggi Ali itu sendiri. Pihak yang kalah iaitu Pengiran Indera Mahkota pula Berjaya ditangkap dan akhirnya dipenjarakan sebelum dipanggil pulang oleh Sultan Brunei tidak lama kemudian.

Inilah satu sejarah perang kali pertama Brooke di bumi Sarawak yang dinamakan Perang Siniawan 1840. Perang Siniawan 1840 ini merupakan satu perang yang telah menukar geo-politik di bumi Sarawak yang pada mulanya James Brooke hanya diangkat menjadi Gabenor Sarawak dan akhirnya menjadi Rajah berbangsa Eropah yang menerusi legasinya telah memerintah Sarawak Kingdom selama lebih kurang 100 tahun.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Book Title: A history of Sarawak under its two white Rajahs, 1839-1908. by Baring-Gould, S. (Sabine), 1834-1924; Bampfylde, Charles Agar, 1856-. Published 1909.

2. British Empire; South East Asia: Sarawak
http://www.britishempire.co.uk/maproom/sarawak.htm

3. Hari Ini Di Dalam Sejarah: JAMES BROOKE DILANTIK SEBAGAI ‘RAJAH SARAWAK’
http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=407

Sumber :The Patriots


No comments:

Post a Comment