Friday 6 November 2015

Asal Usul Kedayan dan Pahlawan Kedayan Brunei

Kedayan Sepintas Lalu; Asal usul Kedayan, puak Kedayan, Brunei

Kaum Kedayan berjumlah sekitar 100 ribu orang di Malaysia dengan tumpuan penempatan di bahagian utara Sarawak dan Teluk Brunei di Sabah. Nama Kedayan dipercayai berasal dari kata Kedayan atau Kadang Kadayan yang membawa maksud pengikut atau 'retainer' kepada kerabat di raja. Nama ini dipercayai diperolehi bersempena dengan pekerjaan awal nenek moyang mereka yang diyakini berasal dari tanah Jawa atau dari wilayah-wilayah yang mempunyai pengaruh Jawa yang kuat.

Kepercayaan awal mengatakan yang bangsa Kedayan ini berasal dari 40 orang tukang dan pengikut Raden Angsuka Dewa putera raja Majapahit yang kalah bersabung ayam dengan Alak Betatar. Mereka menjadi taruhan dan gadaian.Peristiwa ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1340an. Penempatan asal mereka dikatakan terletak di Mejawa Jerudong Brunei. Orang-orang tua Kedayan dahulu sering menyebut perkataan Kedayan Mejawa. Nama Kedayan Mejawa juga pernah disebut dalam kajian lisan asal usul Kedayan oleh UMS di Labuan.

Kedua, Kedayan dikatakan pengikut Puteri Lela Menchanai permaisuri Sultan Bokiah. Samaada mereka dibawa direct dari lingkungan Istana Jawa atau tidak itu tidak pasti. Mungkin mereka ini merupakan keturunan rombongan kapal yang dibawa bersama-sama dengan Puteri Lela Menchanai. Ini adalah kerana ada pendapat yang mengatakan sewaktu berada di Jawa, baginda Sultan Bolkiah telah menawarkan beberapa orang Jawa untuk berhijrah ke Brunei dan menanam padi serta tanaman di sana, kerana baginda kagum dengan keahlian bangsa Jawa ini dalam bidang pertanian. Rekod di Brunei juga mencatatkan yang bangsa Kedayan merupakan bangsa yang pertama memperkenalkan penanaman padi sawah di sana.

Tapi di dalam Syaer Awang Semaun, tercatat yang bangsa Kedayan telah wujud seawal kewujudan Alak Betatar lagi. Ini disebut di dalam kisah orang Kedayan telah menolong angkatan laut Johor mencari Puteri Dayang Pingai yang diculik oleh Awang Semaun untuk diperisterikan oleh Alak Betatar. Mungkin kedua-duanya benar. Kumpulan Kedayan yang pertama ialah keturunan pengikut Raden Angsuka Dewa dan kumpulan yang kedua ialah rombongan dari Jawa yang di bawa oleh Sultan Bolkiah dalam tahun 1524 Masihi.

Bangsa Kedayan boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan iaitu Kedayan Salar, Kedayan Tambing dan Kedayan Melabau. Kedayan Salar ialah Kedayan yang asli dan pure, Kedayan Tambing ialah Kedayan Peranakan dan Kedayan Melabau ialah Kerabat di Raja Brunei yang menyamar menjadi Kedayan dan seterusnya menjadi Kedayan untuk mengelakkan dari dibunuh akibat perebutan takhta. Kedayan Melabau lebih dikenali sebagai Orang Melabau. Orang Melabau juga sebenarnya mempunyai darah Kedayan melalui ibu mereka. Kedayan keturunan Melabau akan menggunakan nama Paduka didepan nama bagi menggantikan Pangeran.Nama lain bagi orang Kedayan ialah Bangsa Brunei Darat atau Orang Darat.

Dalam sejarah Brunei, peranakan Kedayan yang paling dikenali ialah Yang Amat Mulia Pengeran Kassim atau Orang Kaya Kassim atau Orang Kaya Harimau Padang. Ibunya seorang Kedayan berasal dari Jerudong tapi tiada nama direkodkan. Baginda merupakan putera kepada Sultan Saiful Rijal. Sultan Saiful Rijal dikatakan pernah mendirikan istana di kawasan Sungai Kedayan berdasarkan penemuan arkeologi. Sumbangan terbesar Pangeran Kassim ialah mengalahkan angkatan Kastilla Sepanyol bersama-sama dengan Pangeran Bendahara Sakam dan 100 orang pahlawan Brunei.

Pemimpin Kedayan kedua paling terkenal ialah Mantri Kedayan Paduka Seri Laila Orang Kaya Besar Imas dari Subok pada abad ke 18. Beliau merupakan anak kepada Pangeran Muda Besar Abdullah dengan seorang Kedayan, Dayang Siti Ambong binti Abdul Rahman. Orang Kaya Besar Imas bertanggungjawab membantu Sultan Muhyiddin menewaskan Sultan Abdul Mubin dalam perang 12 tahun. Pada zaman beliau ini keturunan Kedayan Melabau wujud. Menurut catatan, saudara Orang Kaya Besar Imas, Pangeran Anak Jamluddin lari dari istana akibat takut dibunuh oleh orang suruhan Sultan Jalilul JabbarPangeran Muda Besar Sulong. Sebelumnya ayah Pangeran Anak Jamaluddin, Pangeran Muda Besar Abdullah dibunuh oleh pengawal istana berketurunan Bugis -Junggal bin Minu. Keturunan orang Melabau terkenal yang lain ialah Paduka Seri Wahab - Raja di Darat (diiktiraf Sultan Hashim), Panglima Paduka Jais anak Paduka Nayan. Panglima Paduka Jais pernah merantau keseluruh Pulau Paaca ( Kedayan bagi Perca -Borneo) mencari orang-orang Kedayan untuk mendapat sokongan bagi merampas kembali takhta kerajaan kepada yang berhak. Pada zaman ini berlaku permusuhan yang ketara di antara Raja Di Laut ( Brunei) dan Raja di Darat ( Kedayan )...

Pemimpin Kedayan lain yang terkenal ialah Panglima Datu Seri Setia Ghaffar Salam hidup pada zaman Sultan Hashim Aqamaddin. Sumbangan yang kekal sehingga sekarang ialah nama Bukit Kota. DUN Bukit Kota Limbang mendapat nama bersempena dengan tempat ini. Bukit Kota merupakan pusat pertahanan beliau menentang Datu Kalam dalam peristiwa Ayau Sangkai Kalam.

Banyak lagi kisah mengenai bangsa Kedayan yang perlu dikaji dan diketengahkan antaranya Panglima Saban ( Kedayan Sabah dikatakan pengikut beliau), Panglima Kunchang, Haji Brunei ( Pemimpin Kedayan Pulau Pinang zaman Francis Light), Penghulu Haji Abdul Ghafur ( pemimpin dan pengasas penempatan Kedayan Sibuti Miri ), Juragan Landak (pemimpin Kedayan di Kuching zaman Brooke), Beliau Samah dan Radat dari Bukit Sari ( pengasas penempatan Kedayan di Lundu) dan lain-lain. Begitu juga sumbangan 300 orang Kedayan bersama-sama Pangeran Yusuf yang cuba menentang peluasan kuasa oleh James Brooke dengan cuba merampas kuasa dari jatuh ketangan Pangeran Muda Hashim.


Sumber : anaksarawak

3 comments:

  1. info yang sangat berguna bagi puak kedayan. saya sedang mencari info mengenai senjata-senjata puak kedayan. jika tuan ada info mengenainya tolong share.

    ReplyDelete
  2. Sangat bermakna untuk mencari Asal usul suku kaum Kedayan.

    ReplyDelete