Friday, 30 December 2016

PENGIRAN SURA NEGARA PENGIRAN ANAK BADARUDDIN IBNI SULTAN MUHAMMAD KANZUL ALAM

PENGIRAN SURA NEGARA PENGIRAN ANAK BADARUDDIN IBNI SULTAN MUHAMMAD KANZUL ALAM

Pengiran Badaruddin atau dengan nama sebenarnya Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin ibni Sultan Muhammad Kanzul Alam merupakan satu lagi nama besar di dalam lipatan sejarah Sarawak sejak dari dahulu lagi. Beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim iaitu mereka berkongsi ayahanda yang sama namun berlainan ibunya.

Dilahirkan di Brunei sekitar tahun 1727 Masihi dan merupakan putera kepada pemerintah Kerajaan Brunei Darussalam yang memerintah dari tahun 1807 sehingga 1826 iaitu Sultan Muhammad Kanzul Alam. Menurut ceritanya nama Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin juga tercatit di dalam sejarah negeri Pahang iaitu lebih terkenal dengan nama Pengiran Sura Negara Pengiran Bagauddin yang telah melahirkan ramai nama-nama besar seperti Panglima Hitam iaitu antara pendekar yang gagah berani di negeri Pahang suatu waktu dahulu. Diceritakan bahawa Pengiran Badaruddin pernah berhijrah ke negeri Pahang dan mempunyai keluarganya di sana.

Untuk di Sarawak pula, nama Pengiran Badaruddin bukanlah asing bagi masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi Pengiran Badaruddin merupakan pembesar Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam untuk wilayah Oya suatu waktu dahulu. Oleh kerana beliau merupakan saudara tiri kepada Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim jadi tidak menghairankan beliau digambarkan sebagai antara pembesar Brunei yang sentiasa membantu Pengiran Muda Hashim sewaktu dititahkan ke Sarawak.

Dan oleh kerana hubungan yang baik antara Pengiran Muda Hashim dengan James Brooke juga menyebabkan keseluruhan keluarga Pengiran Muda Hashim termasuk Pengiran Badaruddin juga merupakan antara rakan baik kepada James Brooke. Diceritakan bahawa sewaktu Pengiran Badaruddin di Sarawak, James Brooke pernah menghadiahkan Pengiran Badaruddin sebentuk cincin permata sebagai hadiah persahabatan mereka.

Cincin tersebut bukanlah cincin yang sembarangan sebaliknya mempunyai ukiran nama JB atau James Brooke pada permukaan cincin tersebut. Dan ianya merupakan cincin yang ditempah khas semata-mata untuk diberikan kepada Pengiran Badaruddin. Inilah antara lambang betapa akrabnya hubungan persahabatan antara beliau dengan James Brooke pada waktu itu.

Seperti juga kakandanya iaitu Pengiran Muda Hashim yang dititahkan untuk pulang ke Brunei oleh Sultan Brunei pada waktu itu, ianya juga tidak terkecuali dengan Pengiran Badaruddin itu sendiri. Sewaktu di Brunei itu juga ketika adanya perang saudara antara Pengiran Muda Hashim dengan Pengiran Yusuf yang berebutkan jawatan Pengiran Bendahara pada tahun 1845, Pengiran Badaruddin juga turut menyebelahi Pengiran Muda Hashim dengan ikut sama berperang dengan Pengiran Yusuf.

Apabila kemenangan berpihak kepada Pengiran Muda Hashim akhirnya jawatan Pengiran Bendahara dikembalikan oleh Sultan Brunei pada masa itu kepada yang berhak iaitu Pengiran Muda Hashim. Walau bagaimanapun, akibat daripada pertikaian ini telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum kerabat diraja Brunei sehinggalah berlakunya satu tragedi iaitu komplot pembunuhan keluarga Pengiran Bendahara Hashim sekitar tahun 1846.

Apabila kakandanya terbunuh di dalam satu plot pembunuhan yang terancang itu, Pengiran Badaruddin juga telah terlebih dahulu mengetahui bahawa nyawa dirinya dan seluruh keluarganya yang tinggal di Brunei pada masa itu umpama telur di hujung tanduk. Mana mungkin individu seperti Pengiran Badaruddin dibiarkan hidup kerana beliaulah antara pendokong kuat kakandanya Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim sejak dulu lagi.

Di ketika itulah dikatakan bahawa Pengiran Badaruddin telah menghantar utusan ke Sarawak dengan membawa sebentuk cincin yang berukirkan nama JB kepada James Brooke. Apabila Brooke menerimanya maka Brooke sudah mengetahui yang nyawa Pengiran Badaruddin sedang diancam bahaya kerana cincin yang dihadiahkan kepada Pengiran Badaruddin itu sebenarnya merupakan satu tanda sekiranya sesuatu berlaku maka Pengiran Badaruddin hanya perlu menunjukkan cincin tersebut kepada Brooke dan Brooke akan membantunya dalam apa cara sekalipun.

Walaupun dikatakan Brooke menerima utusan cincin tersebut pada 5hb April 1846 namun begitu tiada apa yang dapat Brooke boleh lakukan kerana sehari sebelum itu iaitu pada tanggal 4hb April 1846, keseluruhan keluarga Pengiran Badaruddin telah terkorban di Brunei Darussalam. Dikatakan pembunuhan mereka juga telah dirancang dengan sebaik mungkin seolah-olah sesiapa sahaja yang terlibat dengan Pengiran Bendahara Pengiran Muda Hashim ditentang oleh segelintir pemimpin masyarakat Brunei pada waktu itu.

Inilah antara sejarah perjalanan hidup seorang legasi Brunei yang namanya turut mewarnai sejarah Sarawak sejak menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei serta sewaktu Brooke memerintah Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Badaruddin namanya tercatit di Jalan Badaruddin, Kuching, Sarawak mungkin dikenali ramai kerana saban hari kita melalui jalan tersebut namun sejarahnya agak kurang diwar-warkan buat pengetahuan sejarah untuk semua.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Author: Graham E. Saunders; Book Title: The History Of Brunei. Published: Oxford University Press, Incorporated, 1994
2. Author: Dr Haji Awang Asbol bin Haji Mail; Book Title: Persejarahan Brunei – Unsur dan Faktor Pensejarahan Brunei
3. Author: Sabine Baring-Gould, Charles Agar Bampfylde; Book Title: A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs, 1839-1908. Published: Oxford University Press, 1989

4. Author: Marie-Sybille De Vienne Translated by Emilia Lanier. Book Title: Brunei, From The Age Of Commerce To The 21ST Century. Published: National University Of Singapore, 2010

Sumber : Borneo Oracle

Tuesday, 27 December 2016

Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Sepintas Lalu: Diantara Sebab Musabab Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

I. Faktor Pertama Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Migrasi masyarakat Melayu Brunei ke juga berlaku akibat konflik istana ataupun perang saudara yang meletus di Brunei. Sejak pemerintahan Sultan Saiful Rijal pada pertengahan KM XVI, telah mula wujud perselisihan faham dalam kalangan kaum kerabat istana Kerajaan Brunei. Ini adalah disebabkan faktor perebutan kuasa antara dua golongan atau lapisan kelas utama dalam istana, iaitu Ampuan (Raja) dan Pengiran (Pembesar). 

Golongan Ampuan merujuk kepada pewaris takhta yang berasal darah tulen daripada keturunan Sultan yang pertama, Sultan Muhammad Shah @ Awang Alak Betatar. Manakala golongan Pengiran merujuk kepada lapisan pembesar yang dilantik oleh Sultan yang memerintah pada sesuatu masa. Golongan Ampuan telah mendominasi Takhta Kerajaan Brunei hingga pemerintahan Sultan Saiful Rijal, yakni Sultan Brunei ketujuh daripada darah keturunan golongan Ampuan tulen yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. 

Semasa pemerintahan baginda, golongan Pengiran telah mula bangkit untuk merampas takhta. Kehadiran kuasa Spanyol di Manila pada tahun 1571, telah mendorong Pengiran Seri Laila dan Pengiran Seri Ratna mengadakan hubungan secara sulit dengan kuasa Spanyol untuk merampas takhta ketika itu. Kebangkitan golongan Pengiran dikaitkan dengan masalah kezaliman golongan Ampuan yang memerintah Kerajaan Brunei, bukan sahaja bertindak secara kasar ke atas golongan rakyat biasa malah bertindak sesuka hati ke atas golongan Pengiran yang menjalankan pentadbiran kerajaan bagi pihak Sultan Brunei. 

Rasa tidak puas hati terhadap dominasi golongan Ampuan telah menyebabkan golongan pengiran yang dipimpin oleh Pengiran Seri Lela mengundang kuasa Sepanyol untuk menyerang dan menawan Brunei pada tahun 1578 dengan kuasa Sepanyol, Pengiran Seri Laila telah dilantik menjadi Sultan boneka untuk memerintah Kerajaan Brunei. 

Sesungguhpun Sultan Saiful Rijal Berjaya merampas semula takhtanya, tetapi konflik antara golongan Ampuan dan golongan Pengiran sejak itu telah berlarutan dalam sejarah takhta Kerajaan Brunei. Sultan Saiful Rijal adalah daripada darah keturunan Ampuan tulen atau Ampuan kelas 1 yang terakhir memerintah Kerajaan Brunei. Seterusnya takhta Kerajaan Brunei telah dominasi oleh golongan Ampuan kelas 2 sehingga ke hari ini, yakni darah campuran antara Ampuan (ayah) dan Pengiran (ibu). 

Sesungguhnya berlaku hubungan yang sangat rapat melalui perkahwinan antara kedua-dua golongan ini, tetapi perebutan antara kedua-dua keatas takhta terus berlaku, terutama apabila Sultan tidak mempunyai putera untuk mewarisi takhta. Konflik antara kedua-dua golongan ini telah meletus secara langsung menjadi perang saudara dari tahun 1661 hingga 1672.

Konflik bermula apabila putera kepada Sultan Brunei Ke 12, Sultan Muhammad Ali (1660-1661) daripada golongan pengiran telah membunuh putera Pengiran Bendahara Abdul Momin. Ini menyebabkan Pengiran Bendahara telah bertindak membalas dendam dengan membunuh Sultan Muhammad Ali dan melantik diri menjadi Sultan Brunei ke 13 dengan gelaran Sultan Abdul Hakkul Mubin (1661-1673). 

Setelah menjadi Sultan, baginda cuba berbaik-baik dengan golongan Pengiran melalui tindakannya melantik anak saudara kepada Sultan Muhammad Ali, iaitu Pengiran Muhyiddin menjadi Pengiran Bendahara yang baharu. Walau bagaimanapun, Pengiran Muhyiddin telah bertindak membalas dendam ke atas kematian pakciknya. Justeru itu, perang saudara tidak dapat dielakkan. 

Sultan Hakkul Mubin terpaksa berpindah ke Pulau Chermin di muara Sungai Brunei dan kesempatan ini digunakan oleh Pengiran Muhyiddin untuk mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Brunei ke 14 (1673-1690). Sultan Muhyiddin telah memohon bantuan daripada Sultan Sulu, yakni sepupu baginda. 

Peperangan telah berlarutan selama 12 tahun dan berakhir dengan kekalahan atau kematian Sultan Abdul Hakkul Mubin. Sultan Muhyiddin telah pernah berjanji untuk menghadiahkan Sabah ( Paitan, Sugut, Mempayong, Palawan, Balabak, dan semua pulau dalam perairan Laut Sulu kepada Sultan Sulu jika dapat menewaskan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Walau bagaimanapun, angkatan Sultan Muhyiddin sendiri telah Berjaya menewaskan Sultan Abdul Hakkul Mubin. Manakala angkatan Sulu pula sedang bersembunyi di Pulau Keingaran ketika itu. ( Tiada ada bantuan dari pihak angkatan Sulu)

Implikasi keadaan huru-hara dalam Brunei akibat perang saudara tersebut telah menyebabkan ramai masyarakat Melayu Melayu Brunei telah bermigrasi ke Sabah, terutamanya kaum kerabat Sultan Abdul Hakkul Mubin daripada kalangan golongan darah keturunan Ampuan termasuk pengikut mereka. Justeru gelaran Ampuan di Sabah difahami dengan maksud golongan kaum buangan. Mereka terpaksa tidak memakai gelaran tersebut demi keselamatan. 

Mereka terpaksa bersembunyi di Sabah dan membina penempatan di kawasan darat yang tidak terlalu terdedah. Sultan Muhyiddin telah melancarkan gerakan untuk menghapuskan keturunan Sultan Abdul Hakkul Mubin dan pengikutnya. 

Justeru itu, untuk mengelakkan diri daripada ancaman Sultan Brunei, ramai masyarakat Melayu Brunei telah mengasimilasikan atau mengidentifikasikan diri mereka sebagai kaum Bajau. Hal ini berlaku kepada masyarakat Melayu Brunei di Kinarut, iaitu bekas wilayah ‘Tulin’ Sultan Abdul Hakkul Mubin. Keadaan benar-benar menjadi aman setelah Sultan Muhyiddin melantik Pengiran Muda Amir, iaitu putera Sultan Abdul Hakkul Mubin menjadi Pengiran Bendahara pada tahun 1688.

Walau bagaimanapun, ramai dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang telah bermigrasi ke Sabah semasa perang saudara itu tidak mahu kembali ke Brunei disebabkan kehidupan yang lebih stabil dan keadaan keselamatan mereka terjamin di Sabah. Pada awal KMXX, memandangkan wujud keselamatan di bawah pemerintahan penjajah British, maka penggunaan gelaran Ampuan mula digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei di Benoni. Ketika itu, Sultan Brunei ke 26, Sultan Hashim Jalilul Alam Aqamaddin (1885-1906) telah sedia memperkenankan perlantikan beberapa keturunan Ampuan untuk menjadi imam di Benoni. Ampuan Ismail Bin Ampuan Mattamin menjadi imam kedua selepas Pengiran Omar. Semasa pemerintahan Sultan Brunei ke 27, Sultan Ahmad Tajuddin (1924-1950), sekali lagi memperkenankan perlantikan Ampuan Haji Kassim bin Ampuan Ja’afar sebagai imam di Benoni.

II. Faktor Kedua Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Di samping itu, migrasi masyarakat Melayu Brunei juga dikaitkan dengan usaha Kerajaan Brunei untuk mempertahankan wilayah jajahan di Sabah daripada pencerobohan kuasa British. Apabila pihak British merancang untuk menyerang Brunei pada tahun 1846, Sultan Brunei telah menghantar 1,000 orang askarnya yang terdiri daripada orang Melayu Brunei dan orang Kadayan di bawah pimpinan Panglima Mat Saman untuk mempertahankan wilayah Tulin Menumbok (Mempakul) daripada penjajahan British. Walaupun mereka gagal mempertahankan kawasan tersebut, tetapi peristiwa itu telah menyebabkan migrasi secara tidak langsung masyarakat Melayu Brunei di Menumbok. Dikatakan kebanyakan askar terbabit tidak mahu kembali ke Brunei dengan alasan kebimbangan mereka akan ditangkap oleh pihak British yang menyerang dan menawan Brunei pada tahun itu. Oleh itu, mereka telah menetap dan sekaligus meramaikan lagi jumlah populasi masyarakat Melayu Brunei yang telah sedia ada di kawasan terbabit.

III. Faktor Ketiga Migrasi Masyarakat Melayu Brunei Ke Sabah.

Salah satu sebab yang tidak kurang penting kepada proses migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah pada zaman sebelum traditional ialah factor ‘kezaliman pemerintahan’ Kerajaan Brunei. Ini merupakan satu maklumat yang menarik tetapi tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong ia suatu kebenaran sejarah. Menurut pendapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang bersifat zalim. Baginda Sultan itu ( tidak dinamakan) dikatakan pantang melihat anak dara yang cantik sehingga menyebabkan sejumlah 20 orang anak dara dari Brunei telah melarikan diri dan bersembunyi di Bongawan ketika pemerintahannya. 

Sekiranya diketahui sesebuah keluarga mempunyai anak dara yang rupawan, baginda akan mengarahkan pembesar atau pengawalnya untuk merampas anak dara itu. Jika ibubapa anak dara itu enggan ataupun menentang kehendak baginda, maka mereka akan di hukum bunuh. Disebabkan kebimbingan terhadap kezaliman Sultan Brunei itu, terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu Brunei yang berhijrah dari Brunei ke Sabah semata-mata untuk mengelakkan kezaliman Sultan. 

Sesungguhpun maklumat ini hanya dapat diperolehi melalui sumber cerita lisan dan tidak ada rekod bertulis untuk mengesahkan kebenarannya, tetapi perkara kezaliman Sultan Brunei itu ke atas rakyat jelata tidak mustahil berlaku kerana cerita lisan telah diperturunkan daripada generasi ke generasi. 

Misalnya, menurut satu cerita lisan masyarakat Melayu Brunei di Membakut-Bongawan mengisahkan seorang kaum kerabat istana bernama Pengiran Jaya telah melarikan diri kerana mempunyai seorang isteri yang rupawan. Oleh kerana bimbang dan takut isterinya dirampas oleh Sultan Brunei, maka Pengiran Jaya telah membawa isterinya lari dari Brunei dan bersembunyi di sekitar kawasan Membakut dan Bongawan. Justeru, semua pangkat dan gelaran yang telah dianugerahkan oleh Sultan Brunei terpaksa dihapuskan bagi tujuan mengelakkan diri daripada dikesan oleh Sultan Brunei dan pengikutnya. Dalam pada itu, sebenarnya unsure kezaliman ke atas masyarakat rakyat jelata Brunei tidak semuanya berpunca daripada Sultan Brunei sendiri. Berdasarkan sumber British yang wujud pada KM XIX pula ada menyebut tentang kewujudan pengganas yang sering membuat kacau bilau di sepanjang persisiran Pantai Sabah. Besar kemungkinan pengganas ini terdiri daripada golongan suruhan Sultan atau pembesar Kerajaan Brunei yang tidak mematuhi perintah dan arahan. 

Akibatnya keganasan mereka, menyebabkan ramai masyarakat Melayu Brunei telah menjadi pelarian sama ada ke Sabah atau Sarawak. Kegiatan pengganas ini telah mengancam kegiatan ekonomi British, seperti yang di pimpin oleh Haji Saman pada tahun 1847. Akhirnya Haji Saman telah terpaksa mengundur diri ke kawasan hulu Sungai Membakut ekoran serangan daripada pihak British pada bulan Febuari 1847. RAmai pengikutnya telah menyerap masuk dalam masyarakat Melayu Brunei yang telahpun lama menetap di Bongawan dan Kimanis. Justeru itu, pihak British yang melancarkan gerakan memburu Haji Saman tidak dapat mengesan mereka.

Kesimpulan:

Sejarah proses migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah melibatkan banyak factor. Perbincangan ini hanya membincangkan sebahagian faktornya. Usaha untuk menerangkan secara terperinci sejarah migrasi masyarakat Melayu Brunei ke Sabah tidak mudah disebabkan maslah sumber rekod yang terhad. Apatah lagi pengkajian yang khusus terhadap migrasi mereka belum diusahakan setakat ini. Akhir sekali, penelitian ini sekadar merintis kepada usaha pengkajian yang lebih mendalam untuk dilakukan pada masa hadapan.

Hasil Tulisan : Bilcher Bala


Dibukukan Oleh Pusat Sejarah Brunei.

Asal-Usul Bangsa Momogun Rungus Sabah

Asal-Usul Bangsa Momogun Rungus Sabah

Sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan bangsa Momogun Rungus di Borneo. Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini.

Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan bangsa Momogun Rungus yang menghuni pulau Borneo amnya. Nenek moyang bangsa Momogun Rungus di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. 

Lambat-laun, penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan kemunculan kumpulan pendatang baru sejak lebih kurang pada abad ke-15.

Pakar dalam bidang seni dan sejarah masih dalam proses mencari asal usul suku kaum Rungus. Menurut kajian yang dilakukan, kemungkinan besar orang Rungus berasal dari pedalaman Mongolia. Hal ini kerana terdapat persamaan antara seni budaya dan kehidupan orang-orang Mongolia dengan seni budaya orang Rungus di Sabah. Dipercayai terdapat sekumpulan manusia dari sekitar zaman Mesolotik atau Neolotik yang berimigrasi dari tanah asal. Pada zaman itu, lautan telah menjadi beku kerana iklim dunia yang sangat sejuk. Kumpulan nomad ini ialah nenek moyang Momogun Rungus yang mengembara sehingga tiba di kepulauan Borneo.

Masih ramai sarjana moden dari Barat enggan menerima sumber lisan penduduk pribumi sebagai sumber sejarah kerana dipercayai fakta-faktanya tidak sahih. Pegangan ini memang benar, namun sumber lisan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi jika usaha mentafsirnya secara rasional dilakukan dengan baik. Kerap kali unsur mitos dan legenda diadunkan dalam cerita asal menyebabkan fikiran logik manusia enggan menerima dan mempercayainya. Tetapi fikiran yang rasional sentiasa menimbulkan persoalan untuk memberi pertimbangan terhadap kewujudan unsur-usur fantasia dalam tradisi lisan penduduk pribumi. Pendek kata, sumber lisan itu merupakan 'tulisan atau sumber maklumat' sejarah masyarakat primitif dahulu kala, dan hari ini menjadi khazanah yang amat bernilai namun mengalami proses kepupusannya dalam arus teknologi hari ini.

Menurut legenda yang diceritakan dari generasi ke generasi, kononnya bangsa Momogun Rungus (tamadun nunuk ragang) ini diasaskan oleh seorang usan-usan yang dianiaya oleh saudara-saudaranya kerana dia mempunyai pelbagai kemahiran. Dia pandai membuat perangkap haiwan dan membuat senjata-senjata yang mampu melindungi masyarakatnya ketika itu. Disebabkan kemahiran yang dimilikinya, dia dianiaya. Ini menyebabkan dia dihukum bersama isteri dan orang-orangnya yang setia dengan menghanyutkan mereka ke dalam lautan.

Kapal yang mereka naiki itu terdampar di kepulaun Borneo lalu mereka menuju ke Pampang Nabalu untuk tujuan keagamaan. Dia menggelarkan dirinya sebagai 'Usan-Usan' yang tiada keluarga kerana dia dianiaya oleh adik-beradiknya sendiri.

Selama mereka di situ, mereka terus dibangkitkan dengan semangat keagamaan berikutan penyembahan mereka kepada Lumaag Nabalu. Upacara keagamaan terus berkembang apabila mereka semakin ramai.Seorang tokoh agama yang mahir dalam hukum dan mewarisi adat istiadat dari Usan-Usan ialah Aki Bobolizan Gomburon. Disebabkan mereka semakin ramai, maka mereka merasakan bahawa adalah perlu hukum masyarakat diwartakan menurut peraturan si Usan-Usan.

Aki Bobolizan Gomburon menguatkuasakan Hukum Gomburon yang paling ketat iaitu kalau berzina akan dihanyutkan ke dalam air dengan memasukannya dalam bubu atau 'popok' bersama batu besar.Batu itu harus dipilih sendiri oleh si pesalah tersebut.Jika ada orang yang membunuh dengan sengaja,maka orang itu akan dihukum bunuh juga.

Peraturan ini terus diamalkan sehinggalah Aki Bobolizan Guraumanuk mendapat wahyu dari Lumaag Nabalu dengan menghapuskan Hukum Gomburon. Menurut wahyu tersebut,segala dosa dapat digantikan atau di bayar dengan memberi korban penebus salah iaitu "mangaraha" (korban sembelihan babi).

Segala dosa dapat dibayar dengan korban nyawa yang ditebus melalui pembayaran nyawa ternak. Tugas ini dilakukan oleh seorang "bobolizan" yang bermakna "tukang bayar hutang dosa dan orang tengah untuk memohon pengampunan dosa kepada Kinoringan". Itulah maksud Bobolizan yang berasal daripada perkataan "bwolzi = Beli ".Babi yang digunakan untuk membeli berkat atau membeli permohonan ampun kepada Kinoringan tidak boleh dipanggil babi (vogok, wogok).Ia harus dipanggil "BWOLZI". Bwolzi merujuk kepada peranan ternak tersebut dalam persembahan korban sebagai penebus atau pembeli semangat baru untuk pembayaran dosa.

Lalu bangsa momogun semakin ramai pada zaman ketuanya Aki Nunuk Ragang. Aki Nunuk Ragang adalah seorang bobolizan yang paling masyur dalam mengembangkan ajaran agama Pagan(labus). Sebelum Aki Nunuk Ragang meninggal dunia, Aki Bobolizan Guraumanuk telah mendapat satu mesej dari Lumaag Nabalu .Mesej ini adalah satu peraturan baru di mana ketiga-tiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah ke tempat lain kerana Lumaag Nabalu mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun. Oleh itu, cucu-cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau gunung paling tinggi di mana-mana daerah yang mereka tiba kelak. Semua sungai yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang disertai semangat Lumaag Nabalu dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut "MOMURINAIT" (menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa Momogun).

Ajaran Aki Bobolizan Guraumanuk ini dikembangkan oleh Aki Nunuk Ragang. Segala wasiat Aki Bobolizan Guraumanuk diwartakan oleh Aki Nunuk Ragang. Tiga orang anak lelaki Aki Nunuk Ragang ialah Aki Rungsud (nenek moyang orang Rungus), Aki Longuvai (nenek moyang orang Kadazan Penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang semua suku kaum Dusun).

Aki Nunuk Ragang menghantar anaknya Aki Rungsud (anak lelaki sulung) dan Aki Longuvai (anak lelaki kedua) ke pesisir pantai dengan menguasai Pompod Tana (Kudat, Kota Marudu dan Pitas) supaya tidak dicemari oleh pencerobohan pihak Mizonvaig (orang laut). Menurut mesej yang mereka dapat melalui "Rundukan" (didatangi oleh Lumaag dan berkata-kata dalam bahasa yang tidak dapat difahami) kawasan pertemuan rahat kotonobwon (laut di sebelah barat) dan rahat kosilzahon(laut di sebelah timur) mula dicerobohi oleh pihak luar. Maka Aki Nunuk Ragang membuat keputusan untuk menguasai seluruh kawasan pesisir pantai demi menjaga keselamatan penduduk. Oleh yang demikian, rombongan yang bertanggungjawab dalam mempertahankan pesisir pantai adalah Aki Rungsud dan Aki Longuvai.

Aki Turumpok sebagai anak bongsu lelaki adalah sebagai Tandon Tongkob (mewarisi tempat tinggal bapanya). Sebagai Tandon Tongkob,Aki Turumpok mewarisi rumah bapa mereka. Tandon Tongkob masih wujud dalam adat orang Rungus pada masa kini. Tandon Tongkob bermaksud "isi atau penghuni yang kekal melekat dalam bilik".Maka Aki Turumpok adalah pewaris Kg. Nunuk Ragang dan menjadi ketua di sana.

Tidak lama kemudian,Aki Nunuk Ragang meninggal dunia lalu dikuburkan berhampiran dengan sebuah danau yang dalam.Danau itu terletak di tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan.Menurut legenda setelah 40 hari Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara "Mongupus" tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang. Pokok ara tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar pokok itu akan mengeluarkan darah manusia. Lalu orang-orang Aki Nunuk Ragang menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.

Sementara itu, Aki Rungsud berjaya menguasai Pompod Tana dan keturunan mereka disebut sebagai Momogun Rungus. Manakala Aki Longuvai semasa mereka hendak keluar dari Nunuk Ragang isterinya sedang sarat melahirkan anak lalu mereka akan menyusuli Aki Rungsud kemudian. Perjalanan Aki Rungsud akan ditandai dengan kukurungan (sangkar ayam).Hal ini kerana setiap puncak bukit yang dilalui oleh Aki Rungsud akan dikorbankan seekor ayam bagi mengundang penghulu semangat Borneo iaitu Lumaag sebagai pengistiharan kuasa terhadap wilayah yang mereka lalui.

Semasa Aki Longuvai menyusul abangnya, dia telah tersilap arah.Ini kerana pada satu jalan terdapat dua persimpangan yang menuju ke arah yang berlainan.Kukurungan yang ditandakan oleh Aki Rungsud pada arah jalan yang dilaluinya telah dialihkan oleh orang yang berhati busuk ke jalan yang satu lagi.Maka Aki Longuvai pun tersesat dalam perjalanan menyusuri Aki Rungsud sehingga mereka sampai ke kawasan Pinampang(Penampang). Mereka kekurangan bekalan makanan lalu mereka mengambil keputusan untuk membuat ladang bukit di sana.

Setelah sekian lama, mereka tidak sampai-sampai di Pompod Tana akhirnya Aki Rungsud mendapat tahu melalui Lumaag bahawa Aki Longuvai tersesat.Aki Rungsud mengarahkan orang suruhannya mencari Aki Longuvai lalu mereka menemui Aki Longuvai di Pinampang (Penampang).Orang suruhan Aki Rungsud menjemput Aki Longuvai menyertai misi di Pompod Tana tetapi Aki Longuvai menolak pelawaan itu.Ini kerana Aki Longuvai tidak bersedia untuk hidup dalam peperangan dan keadaan darurat yang dialami di sana. Untuk memenuhi permintaan bapa mereka,Aki Nunuk Ragang kodori (mendiang/arwah), Aki Longuvai berjanji akan menghantar anak sulungnya yang lahir semasa mereka hendak keluar dari Nunuk Ragang iaitu Aki Bulun. Aki Bulun tanpa ditemani sesiapa datang ke Pompod Tana apabila mencapai umur kira-kira 17 tahun. Aki Bulun membawa 7 ekor anjing kebal yang mampu menumpaskan harimau.

Dalam upacara pembahagian Pompod Tana, Aki Bulun dan Aki Rungsud membuat pembahagian kawasan dengan membahagikan sempadan melalui sejauh mana bunyi paluan gong Aki Rungsud. Maka, para handalan pun berkhemah di setiap puncak bukit di seluruh wilayah Pompod Tana ketika itu untuk mendengar bunyi paluan gong. Sehingga bunyi gong tidak didengar lagi,maka barulah dipacakkan sebilah lembing yang dinamakan Binorudan. Binorudan ialah lembing pahlawan pantai bersaiz pengayuh kapal layar yang sederhana besar saiznya.

Pada hari ini keturunan Aki Bulun dikenali sebagai Rungus Gonsomon yang menguasai pantai timur Kudat. Jika diperincikan lagi,bahasa Rungus Gonsomon hampir sama dengan bahasa Kadazan Penampang.Oleh kerana banyaknya dialek bahasa dalam etnik Kadazan Dusun, dipercayai bahasa asal yang digunakan sebelum perpisahan Aki Rungsud dan Aki Longuvai ialah Momogun Rungus.Disebabkan pihak penjajah terlebih dahulu menjajah kawasan tersebut, maka kawasan Penampang lebih awal mengecapi pembangunan dengan terbinanya kedai-kedai untuk kepentingan perniagaan penjajah ketika itu.  

Menurut cerita nenek moyang,'kedai-kedai' yang menjadi kawasan petempatan oarang-orang Aki Longuvai itulah asalnya mereka dikenali sebagai orang Kadazan.Dalam bahasa Rungus,'Kakadazan' merujuk kepada 'kedai-kedai'.Apabila orang-orang Aki Rungsud merujuk kepada orang-orang Aki Longuvai, mereka akan menggelar mereka sebagai 'tulun antad sid kakadazan' yang bermaksud orang-orang dari kawasan kedai (atau lebih maju).

Kawasan Nunuk Ragang setelah beberapa lamanya telah berpecah-belah kerana Aki Turumpok tidak mengambil tahu akan hukum-hukum agama Labus(Pagan). Aki Turumpok lebih cenderung dalam persaingan ilmu magik yang mangakibatkan kawasan Nunuk Ragang mendapat satu kopizo (petanda) buruk. Apa saja mereka lakukan akan menghasilkan perbalahan dan saling bermusuhan antara satu sama lain. Keadaan ini berakhir dengan serangan penyakit kerana upacara mamasi tidak di lakukan.

Rumah Panjang Momogun Rungus

Suku kaum Rungus tinggal di rumah panjang yang disebut sebagai vinatang dalam bahasa Rungus. Vinatang ini adalah satu kebanggaan bagi suku kaum Rungus kerana ia menggambarkan ciri-ciri unik yang ada pada bangsa mereka. Rumah panjang ini, yang lazimnya sepanjang 300 kaki panjang, biasanya dibina atas bukit dan dinaikkan. Ruang bawah rumah panjang ini digunakan untuk memelihara binatang seperti ayam,babi, dan kerbau selain berfungsi sebagai tugu kepada serangan luar.

Menurut Rutter (1929: 62),di kawasan pergunungan atau pedalaman Borneo, kampung penduduk peribumi diwakili oleh rumah panjang yang berfungsi sebagai tugu melindungi penghuni-penghuninya. Kampung peribumi ini bersifat cukup-diri, lengkapdiri, berdikari serta bebas daripada dunia luar.

Sehubungan dengan pemasaran kepelbagaian budaya Sabah, yang menjadi tumpuan pokok adalah budaya komuniti Rungus (Kerajaan Negeri Sabah, 1996: 175, 202, 423, 465; Sabah Tourism Promotion Corporation 1999: 1) dengan kemasukan rumah panjang tradisi orang Rungus dalam Rancangan Dasar Pelancongan Kedua, Sabah (Kerajaan Negeri Sabah 1996-2010: 465-469) sebagai salah satu produk pelancongan budaya.

Sebuah rumah panjang boleh mengandungi beberapa keluarga domestik yang menetap di dalamnya. Bilangannya tidak tetap, mungkin tujuh, sepuluh atau lima puluh keluarga domestik, bergantung kepada keinginan pasangan suami isteri untuk tinggal dalam rumah panjang berkenaan atau sebaliknya. Keluarga domestik adalah kelompok sosial yang paling menonjol di kalangan orang Rungus.

Rumah panjang merujuk kepada satu ruang petempatan sepunya. Semua penghuni berkongsi semua yang ada dalam rumah panjang. Semua penghuni tidur dalam bilik yang sama, buat kerja yang sama, mempunyai perlakuan yang sama. Tiada konsep milikan peribadi, ruang peribadi, peraturan, undang-undang. Setiap penghuni boleh berada di mana-mana dalam rumah panjang, bebas bertingkah laku tanpa sekatan, kawalan atau hukuman (Perbadanan Penggalakan Pelancongan Malaysia 1999)

Rumah panjang tradisi Rungus mengandungi satu siri rumah yang bersambungan, setiap satunya dimiliki oleh keluarga domestik tertentu secara berasingan. Appell (1963) menamakan ‘rumah’ dalam rumah panjang sebagai apartment sementara untuk orang Rungus, rumah ini dinamakan sirang (Ong 2000: bab 2). Sirang adalah tempat tinggal keluarga domestik. Seperti konsep rumah moden yang mempunyai bahagian-bahagian tertentu untuk kegiatan kerja yang berlainan, sebuah sirang juga mempunyai bahagian-bahagian, masingmasing dikaitkan dengan kegiatan kerja tertentu.

Sebuah sirang atau rumah keluarga domestik mempunyai dua bahagian utama, iaitu ongkob dan apad. Appell (1978: 155) menterjemahkan ongkob sebagai compartment (ruang tertutup/tempat tidur dan dapur), dan apad sebagai gallery (ruang terbuka/serambi). Ongkob merupakan ruang peribadi keluarga domestik. Dinding dibina mengelilingi ongkob, berfungsi sebagai sekatan sempadan bagi setiap sirang/rumah keluarga domestik. Apad adalah ruang awam keluarga domestik dan ia terbuka kepada pandangan umum. Dinding juga dibina untuk memisahkan sempadan ongkob dan apad. Sebuah pintu dipasang untuk membolehkan penghuni sirang keluar masuk ruang ongkob.

Dalam ongkob (ruang peribadi keluarga), terdapat sub-bahagian yang dikhaskan untuk kegiatan-kegiatan tertentu: ropuhan (tempat masak), salow (tempat cuci dan sediakan makanan), lansang (tempat lalu lintas, tempat makan), dan tingkang (tempat tidur). Kedudukan tingkang lebih tinggi daripada lansang dan diperbuat daripada bambu-bambu besar yang dibelah kecil. Tingkang di bahagian ongkob adalah tempat tidur suami isteri, anak-anak kecil, anak perempuan belum berkahwin dan tetamu wanita.

Ruang apad (ruang awam keluarga), pula berfungsi sebagai serambi dan tempat kerja keluarga domestik. Ruang ini terbahagi kepada: lansang (tempat lalu lintas, dan digunakan untuk menumbuk padi, ubi, memotong kayu, mengadakan tarian dan upacara ritus), salow (tempat menyimpan penumbuk padi), tingkang (tempat tidur lelaki remaja dan tetamu lelaki, tempat istirehat keluarga, tempat buat kraftangan, menganyam bakul, menyulam, melayan tetamu, mengadakan upacara ritus, tempat budak-budak sekolah belajar, dan tempat menangon/bercerita. Bahagian apad, meskipun tidak berdinding, namun sempadannya dibatasi mengikut keluasan ongkob.

Setiap sirang juga mempunyai ruang untuk menyimpan barang yang tidak kerap digunakan. Ruang ini dinamakan abai dan letakannya adalah di atas ongkob. Kedudukan abai ini tidak begitu tinggi, lebih kurang enam kaki dari lantai lansang bagi memudahkan pengambilan barang. Terdapat satu ruang lagi untuk penyimpanan barang yang kerap digunakan, iaitu linsosod atau borolungan. Linsosod dibina di bahagian depan rumah panjang, bersebelahan dengan apad keluarga domestik (Ong 1995: 231-232).

Pada penghujung rumah panjang di kedua-dua belah kiri dan kanan, dipasangkan tangga diperbuat daripada sebatang kayu besar yang ditakuk setiap beberapa inci atau kayu-kayu bulat yang dipahat menjadi tangga biasa. Bahagian apad yang tidak berdinding dan pada prinsipnya boleh digunakan oleh semua ahli rumah panjang menimbulkan salah sangka bahawa bahagian apad adalah ruang sepunya, dimiliki dan digunakan oleh semua penghuni. Begitu juga dengan bahagian lansang di kawasan apad.

Persambungan lansang milikan keluarga domestik dengan lansang-lansang lain di kawasan apad menyediakan tempat laluan kepada penghuni rumah panjang. Namun, ini tidak bermakna tidak ada penghuni yang bertanggungjawab secara khusus terhadap keadaan lansang ini. Setiap keluarga domestik bertanggungjawab menjaga kebersihan dan keadaan baik lantai lansang di hadapan ongkob masing-masing agar laluan penghuni lain dalam rumah panjang tidak terganggu dan keselamatan mereka tidak terjejas. Begitu juga dengan tingkang di bahagian apad. Setiap tingkang berkenaan adalah kepunyaan sebuah keluarga domestik. Sempadan milikan ini ditandakan dengan dua batang tiang untuk menunjukkan sempadan ruang yang dimiliki oleh keluarga berkenaan.

Pemilikan peribadi setiap keluarga domestik ke atas sirang masing-masing dan bahagian ongkob dan apad yang berkaitan bukan saja ditandakan oleh pengasingan sempadan fizikal. Pemilikan peribadi ini juga diperkukuhkan oleh berbagai ritus yang akan dikendalikan oleh keluarga domestik pada masa yang diperlukan, dan juga oleh berbagai peraturan dan larangan yang berfungsi untuk mengawal perlakuan penghuni rumah panjang agar menghormati hak dan keselesaan hidup setiap penghuni rumah panjang. Terdapat ritus yang memerlukan kawasan tingkang di bahagian apad kepunyaan sesebuah keluarga domestik dipagarkan untuk membezakannya dengan bahagian apad milikan keluarga domestik lain.

Melalui petanda-petanda fizikal, ritus dan larangan norma perlakuan, penghuni rumah panjang tahu dan patuh kepada sempadan masing-masing. Mereka tidak menganggap bahagian apad sebagai ruang sepunya yang boleh digunakan oleh semua penghuni rumah panjang pada bila-bila masa. Hubungan sosial dan tingkah laku di kalangan penghuni rumah panjang amat teratur dan terkawal oleh ritus, larangan dan isbat yang amat kompleks. Ada individu yang dibenarkan masuk ruang tertentu atau berada di kawasan tertentu pada masa tertentu. Ada benda yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam rumah panjang atau ongkob dan ada benda yang dilarang sama sekali dibawa masuk ke dalam rumah panjang atau ongkob.

Penghayatan kepada pengasingan ruang di bahagian apad, dan dalam rumah panjang amnya diperjelaskan lagi dengan tindakan keluarga domestik yang ingin berpindah dari rumah panjang. Keluarga domestik ini mungkin akan mengambil bersama mereka kesemua lantai papan atau bambu di bahagian apad.

Orang Rungus sendiri mempunyai penjelasan tentang rasional di sebalik pemilihan rumah panjang sebagai pola petempatan komuniti mereka. Mengikut individu Rungus yang berpengetahuan tentang adat tradisi Rungus dan sejarah hidup orang Rungus zaman dahulu, rumah panjang adalah strategi kelangsungan hidup dalam suasana alam dan suasana hidup yang amat tidak pasti dan mengancam. Sebagai komuniti yang hidup dalam kawasan pedalaman dikelilingi dengan hutan hujan tebal, haiwan liar, terdedah kepada keadaan alam yang tidak dapat diramal, dan manusia lain yang hidup berhampiran, orang Rungus ini terpaksa bergantung kepada anggota kumpulan untuk saling membantu menyara hidup seharian. Jarak fizikal dari segi kedekatan petempatan adalah satu cara bagaimana mereka dapat menghubungi satu sama lain dalam masa yang paling cepat dan singkat. Melalui persambungan rumah kepada rumah sebelah dan begitu seterusnya, para penghuni rumah berkenaan tidak perlu turun ke tanah, sebagaimana keadaannya dengan rumah sebuah, kalau mereka perlu menghubungi jiran atau kerabat yang menetap berhampiran. Keadaan ini mengurangkan kebarangkalian diserang oleh haiwan atau pihak lawan yang mengendap menunggu masa sesuai untuk menyerang.

Pelan Rumah Panjang Momogun Rungus
  1. Pelan 'Sirang'
  2. Pelan 'Vinatang'
Kampung-Kampung Yang Mempunyai Rumah Panjang Momogun Rungus

Dalam kajian Ong et.al. (2004, 20), antara kampung-kampung di daerah kecil Matunggong yang mempunyai rumah panjang berpenghuni ialah Kg Tinangol, Kg. Hobut, Kg Mompilis, Kg Garib,Kg Barangkason, Kg Onduon, Kg Mombatu Darat, Kg Mombatu Laut,Kg Nangka, Kg Tinutudan, Kg Kindangan, Kg Panudahan Jambu, Kg Gombizau, Kg Muhang dan Kg Minikodong.

Pakaian Tradisional Momogun Rungus

Pakaian tradisi wanita Rungus    Pakaian tradisi lelaki Rungus       
Rungus terkenal dengan kebudayaan mereka yang asli dan tidak ditelan zaman.Pakaian tradisional mereka adalah hasil tenunan tangan mereka sendiri dengan menggunakan kapas yang lebih dikenali sebagai kapok oleh penduduk setempat.

Suku kaum Rungus di Sabah memilih hitam sebagai warna pakaian tradisional mereka. Penggunaan warna hitam asalnya daripada kepercayaan bahawa warna hitam adalah lambang kekuasaan atau warna ketuhanan yang mana dapat melindungi si pemakai daripada makhluk-makhluk halus yang jahat. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa penggunaan warna hitam adalah disesuaikan dengan cara hidup dan keadaan semulajadi pada waktu itu.

Pakaian tradisi wanita Rungus juga sarat dengan manik-manik yang direkacipta sendiri. Wanita Rungus pada zaman dahulu sentiasa memakai pakaian ini dalam kehidupan seharian seperti memasak, mengangkat air, menyulam dan lain-lain lagi.Kini ia hanya dipakai ketika majlis perkahwinan, keraian, kematian mahupun menjemput ketibaan tetamu ke rumah panjang.

Pakaian tradisi lelaki Rungus pula cukup ringkas dengan hanya sandai atau sopilang ( kain panjang dipakai bersilang), hokos (tali pinggang kain yang biasanya berwarna merah,hijau dan kuning), sigar (tengkolok) dan baduh (baju atau kain sarung) yang biasanya dipakai ketika melakukan tarian Sumundai Mongigol.

Hukum Adat Kematian & Pengebumian

Adat Kematian Suami/Isteri

Menurut adat istiadat suku kaum rungus, jika berlaku sama ada suami atau isteri yang meninggal dunia maka suami atau isteri yang masih hidup haruslah menurut arahan dari orang tua-tua semasa hari pengebumian dan ketika Mogukas atau Lumuvas(kenduri kematian) dijalankan.

Suami atau isteri yang masih hidup ini diberi amaran dan Lapik Banda. Dia tidak dibenarkan bercampur gaul dengan orang ramai seperti menari sumundai mongigol ketika hari Mogukas atau Lumuvas.

Suami atau isteri yang masih hidup ini akan diperintahkan oleh orang tua-tua supaya semua pakaian si mati yang tidak dibawa bersama ketika hari pengebumian disimpan dengan rapi dan dimasukkan ke dalam peti atau dibungkus. Perbuatan ini dinamakan Dompihot dalam bahasa Rungus.

Seterusnya, pakaian si mati tadi tidak boleh dibuka sembarangan sebelum tiba masa yang diberitahu oleh orang tua-tua kelak.Kemudian suami atau isteri yang masih hidup ini diarah untuk membuat tapai (sejenis arak dibuat dari beras) di dalam tempayan kecil yang dipanggil tulidan. Dia tidak dibenarkan berpakaian menarik sehingga selesai Mogukas atau Lumuvas.

Setelah beberapa hari, suami atau isteri yang masih hidup ini dikehendaki menyediakan 1 ekor babi besar atau kecil, beras dan barang-barang lain yang dirasakan perlu untuk roh si mati.Apabila tiba masa yang dirasakan sesuai, maka ketua kampung,bobolian dan semua waris si mati dijemput untuk menyaksikan pembinaan pondok penyembahan.Upacara ini dipanggil Pemanapakan Sumbingan.

Setelah selesai pembinaan pondok, maka babi yang telah disediakan itu pun ditangkap untuk disimpan di pondok tersebut. Sebelum hal ini dilakukan, kubur si mati terlebih dahulu dibersihkan pada petang sebelum hari Pemanapakan Sumbingan ini.

Babi yang sedia ada di pondok penyembahan disembelih lalu dimasak. Kemudian, sedikit daging yang dimasak itu diambil untuk dibawa ke kubur si mati bersama tapai dalam tulidan, mangkuk,pinggan dan gelas yang telah disediakn oleh suami atau isteri yang masih hidup.

Kedua-dua waris dari suami dan isteri dikehendaki berhimpun di tanah perkuburan. Orang ramai yang bersimpati dengan si mati turut berada di perkuburan itu bagi tujuan memberi penghormatan buat kali terakhir kepada si mati.Mereka akan makan dan minum di atas kuburan si mati kemudian memecahkan kesemua barang yang dibawa dari rumah seperti tempayan, pinggan, mangkuk dan gelas di tempat itu.

Sesudah selesai penghormatan untuk si mati dilakukan, maka kesemua yang berada di kuburan harus pulang ke rumah keluarga yang mengadakan Lumuvas ini bagi upacara memukul gong dan menari sumundai mongigol.Untuk mengakhiri upacara , waris keluarga si mati harus menari sumundai mongigol. Setelah selesai tarian sumundai mongigol, maka suami atau isteri yang masih hidup ini telah bebas dari adat Dompihot.

Kemudian, barulah orang tersebut membayar adat todung kepada mertua atau waris si mati.Adat Todung ini berupa 1 gadul atau salapa.Adat kovolihan mato 1 sanang tinukul. Ini menandakan suami atau isteri yang masih hidup itu merupakan seorang duda atau balu. Dalam bahasa Rungus ianya dipanggil Tulun do Napuadan.Maka orang yang dipanggil Tulun do Napuadan ini bolehlah berkahwin semula mengikut kerelaannya.

Hukum Adat Apabila seseorang mati di rumah orang lain

Dalam adat istiadat suku kaum Rungus, apabila terjadi kematian di kampung atau di rumah orang lain,maka keluarga si mati itu akan dikenakan adat Korivaan atau adat Korungkapan.

Keluarga si mati boleh membeli (menyewa) secara sementara rumah tempat si mati meninggal mengikut harga yang dipersetujui oleh tuan rumah. Hal ini supaya pengurusan jenazah dapat dilakukan. Walau bagaimana pun, keluarga si mati tidak boleh mengadakan 'mogukas' iaitu kenduri untuk si mati di tempat tersebut.

Ketika perlaksanaan pengurusan jenazah berkenaan, keluarga si mati juga tidak dibenarkan menggunakan apa-apa peralatan milik tuan rumah seperti cangkul,parang, periuk, kuali, pinggan mangkuk dan sebagainya melainkan yang dibeli sendiri.

Adapun adat-adat yang dikenakan ialah:

Adat korivaan
1 ekor babi
Adat Korungkapan
1 ekor babi
1 buah tawag
Adat Labat Minatai
1 ekor babi
Adat Pulanut
1 buah gadur
Adat Pukodou
1 bilah parang
Adat Purandom
3 ela kain hitam

Kesemua adat ini harus dilunaskan kepada tuan rumah. Hal ini tidak boleh dihutang atau ditangguh-tangguh tetapi diselesaikan dengan serta-merta.

Hukum Adat Lapau

Lelaki- dikenakan sogit kepada isterinya, 1 ekor babi atau 1 ekor kambing, pulanut 1 sanang betukul dan 1 parang sebagai pukadou.

Perempuan- dikenakan sogit kampung, 1 ekor babi atau 1 ekor kambing,1 tinukul dan karol tingkal.

Jika lelaki dan perempuan kahwin, si lelaki dikehendaki membayar Rolot, 1 tawag kepada isterinya dan pulanut kepada anaknya tiap-tiap seorang satu saring atau 1 ringgit duit syiling.

Hukum Adat Kosup

Jika seseorang sedang sakit kuat, dan sedang diubati oleh seorang Dukun atau Bobolian,kemudian meninggal sebelum si Bobolian yang mengubati pulang maka keluarga si mati dikenakan adat Kosup.

Keluarga Si mati hendaklah memberi 1 sanang betukul, 1 gador dan 1 ekor babi kepada si Bobolian.

Hukum Adat Bangun

Adat ini dikenakan kepada orang yang menyebabkan kematian seseorang. Misalnya, si Polan mencuri kemudian mati akibat terkena guna-guna(Kepandaian) orang seperti popol, sinda'at atau kelulut. Maka orang yang menyebabkan kematian itu boleh dikenakan Adat Bangun sekiranya ada saksi 
an mempunyai bukti kukuh si Polan itu mati kerana perbuatannya.

Oleh itu, orang tersebut mestilah memberi 10 sanang kimanis dan 5 ekor kerbau.

Hukum Adat Mengusung Mayat Melintasi Ladang dan Rumah Orang Lain

Jika ada seseorang yang meninggal dunia dan pihak si mati mengusung mayat tersebut melintasi ladang dan rumah orang lain, maka keluarga si mati itu akan dikenakan adat Puod dan Adat Kosusuhutan.

Dalam adat Puod, seekor ayam digunakan sebagai sogit untuk tanaman di ladang yang dilintasi itu. Hal ini kerana tanaman di ladang yang terkena penyakit puod seperti tanaman tidak subur,daun menjadi tidak sihat, kekuning-kuningan dan gugur telah dilintasi oleh sial iaitu mayat manusia.

Menurut adat Kosusuhutan, seekor babi disembelih untuk memanggil kembali roh orang yang hidup apabila mayat diusung melintasi rumah orang lain. Ini kerana roh orang yang mati itu dipercayai mengajak roh orang yang masih hidup untuk sama-sama menyertainya ke alam kematian.

Hukum Adat Sonsol

Hukum adat Sonsol dikenakan kepada orang yang membuat kesalahan seperti apabila seseorang itu diamanahkan untuk menjaga seseorang itu tetapi mengabaikan tanggunjawabnya .Dan jika dia membuat angkara agar orang yang dijaganya mendapat bahaya, sehingga menyebabkan kematian maka orang tersebut mestilah membayar 4 sanang Kimanis, 5 buah tawag dan 1 ekor kerbau.

Hal-hal lain yang dikenakan Adat Sonsol ialah:

Seseorang yang menyebabkan kematian orang lain dengan menggunakan ilmu hitam.

Contoh: Seseorang itu bergaduh kemudian mengenakan ilmu hitam seperti popol atau sinda'at sehingga lawannya mati.

Seseorang itu menyumpah orang lain sehingga orang yang disumpahnya mati.
Kedua-dua hal ini, si pesalah akan dikenakan 8 sanang Kimanis, 4 ekor kerbau, 2 buah tawag binubuk dan 2 sanang Kutai.

Hukum Adat Mati Di Ladang

Jika ada orang mati kerana sakit atau kemalangan di ladang, maka si mati itu terpaksa di kubur di ladang itu juga.Mayat si mati tidak boleh dibawa balik ke rumahnya.

Mengikut kepercayaan suku kaum Rungus, orang yang mati itu akan membawa bencana buruk kepada kampungnya jika tidak dikebumikan di ladang itu.
Jika si mati itu meninggal di ladang orang lain, maka si mati hendaklah dikebumikan di ladang itu juga dengan kawasan seluas 15 kaki persegi termasuk kawasan kuburan itu tidak boleh diusahakan.
Keluarga si mati dikehendaki membayar 1 ekor babi dan 3 ekor ayam sebagai sogit ladang, dan 1 sanang betukul atau sumbul sebagai pulanut kepada si empunya ladang berkenaan. Semua ini tidak boleh digantikan dengan wang.

Hukum Adat Mati Jatuh Dari Pokok

Sekiranya seseorang mati kerana jatuh dari pokok, maka mayatnya tidak boleh dibawa ke kampung atau ke rumahnya. Si mati hendaklah dikuburkan di tempat itu juga dan waris si mati tidak boleh berpantang larang.

Hukum Adat Mati Di Laut

Bagi seseorang yang mati di laut, mayatnya tidak boleh dibawa pulang ke rumah melainkan dibuang ke dalam laut mayat tersebut.

Hukum Adat Perkahwinan

Hukum Adat Suami Isteri Bergaduh Di Hadapan Tetamu

Apabila suami isteri bergaduh atau berkelahi di hadapan tetamu mereka, maka pasangan suami isteri ini akan dikenakan adat malu. Adat Malu ini berupa 1 buah tawag dan 1 ekor ayam besar.

Hal ini demikian kerana perbuatan mereka itu dianggap sebagai tidak menghormati tetamu mereka. Apabila mereka bergaduh, maka mereka seolah-olah menganggap tetamu mereka sebagai haiwan dan cuba mengusir mereka dengan mencetuskan pergaduhan.

Hukum Adat Solod

Hukum Adat Solod dikenakan kepada orang yang bersalah kerana merebut isteri atau suami orang lain.

Denda yang dikenakan ialah 8 buah sanang kimanis dan seekor kerbau sumandak untuk diberikan kepada isteri atau suami orang yang direbutnya.

Hukum Adat Rungkang

Kesalahan yang dikenakan adat Rungkang adalah apabila si suami atau si isteri sedang sakit lalu ditinggalkan oleh si suami atau si isteri. Kemudian si suami atau si isteri meninggal dunia sedangkan si suami atau si isteri telah pun berkahwin lain.

Maka si suami atau si isteri yang melakukan kesalahan ini didenda 1 ekor kerbau, 1 buah tawag binubuk dan 1 ekor babi.

Hukum Adat Rolot

Hukum Adat Rolot dikenakan kepada suami yang memadukan isterinya sama ada mendapat persetujuan atau tidak dari isteri pertamanya.

Adat Rolot yang dikenakan ialah 1 buah tawag untuk 'rolot' dan 1 ekor kambing atau babi untuk 'pulanut' atau kepanasan.

Isteri baru pula dikehendaki membayar 1 buah languwai kepada isteri pertama sebagai adat mereka telah bermadu.

Hukum Adat melangsungkan perkahwinan di rumah orang lain

Menurut adat suku kaum Rungus,seandainya hal ini berlaku sama ada dengan persetujuan atau tidak dari kedua belah pihak, maka orang tesebut dikenakan adat kosintadon.

Adat Kosintadon ini ialah 1 sanang betukul atau tinukul dan 1 ekor kambing atau babi untuk diberikan kepada tuan rumah.

Hal ini demikian kerana pasangan pengantin ini dianggap telah 'menyewakan' rumah mereka bagi alam rumahtangga yang bakal dijalani.

Hukum Adat Perempuan yang bersalin di rumah orang lain secara sengaja atau tidak

Adalah menjadi pantang larang bagi suku kaum rungus jika seorang perempuan melahirkan anak di rumah orang lain . Menurut adat istiadat suku kaum Rungus, melahirkan anak di rumah orang lain adalah tidak baik kerana perempuan bersalin akan mengeluarkan darah yang banyak. Inilah yang dikatakan "Kariva" atau "Karintad do paganakan di' sanganu do valai"(alamat tidak baik bagi zuriat seisi rumah).

Sesiapa yang melakukan hal ini akan dikenakan adat Katingaladan iaitu 1 ekor ayam jantan untuk sogit kogikalan (berteduh) kepada tuan rumah seandainya bayi yang dilahirkan itu selamat dan hidup.

Seandainya bayi tersebut mati, perempuan berkenaan haruslah membayar adat Karivaan iaitu 1 buah tawag,1 ekor babi atau kambing dan pulanut pukadou sebilah parang.

Kesemua barang-barang ini haruslah dilunaskan pada hari tersebut juga kerana tidak boleh melanggar adat.

Hukum Adat Perempuan yang bersalin di rumah orang lain secara sengaja atau tidak (mengandung tanpa suami)

Hukuman bagi kes ini agak berat sedikit kerana akan dikenakan sogit kepanasan. Sogit kepanasan ini disebabkan anak yang dilahirkan itu adalah hasil daripada perzinaan.Maka dengan itu 'kepanasan' tersebut harus disejukkan dengan 'sogit' (sejuk) untuk menolak bala penyakit dan membuang sial.
Adat yang dikenakan ialah denda 1 ekor babi besar untuk sogit, 1 buah sanang betukul untuk pulanut dan sebilah parang untuk peralatan yang kesemuanya diberikan kepada tuan rumah.

Sebagai sukud (perlindungan nyawa) kepada Ketua Kampung perempuan tersebut hendaklah memberikan 1 buah gadur dan 1 ekor ayam kerana beliaulah yang membicarakan hal ini.
Hukum Adat Bagi Lelaki yang membawa Anak Gadis Kahwin Lari

Jika seorang lelaki membawa anak gadis orang tanpa kebenaran orang tua gadis tersebut kemudian berkahwin pula, maka kedua-duanya telah dianggap berbuat zina.

Si lelaki yang membawa gadis itu kahwin lari akan didenda mengikut adat istiadat kaum Rungus iaitu:

Bagi pihak ibu bapa si gadis,adat istiadat malu dikenakan.

Lelaki itu dikehendaki memberi 2 buah tawag binubuk atau 2 buah sanang betukul yang besar.

Bagi si gadis yang dibawa lari itu, adat Laput dikenakan.

Lelaki itu dikehendaki memberi 2 buah langguwai, 1 panding, 1 saludang untuk penutup dan 1 Mappai Rampak.

Untuk berian si gadis, 2 ekor kerbau dan 1 ekor babi/kambing sebagai sogit kampung, 1 ekor kerbau sebagai belanja dapur serta belanja hangus dan lain-lain harus dibayar oleh si lelaki menurut permintaan pihak si gadis.

Sekiranya si lelaki tidak mampu menurut permintaan ibu bapa si gadis, maka si lelaki yang telah berkahwin ini dikehendaki tinggal bersama-sama mentuanya sehingga hutang berian habis dibayar. Andainya tempoh yang diberikan oleh ibu bapa si gadis telah tamat, maka ibu bapa si gadis berhak untuk menceraikan si gadis dari si lelaki (suaminya) itu

Hukum Adat Baboh

"Baboh" adalah perkahwinan yang dilarang antara perempuan dan lelaki yang mempunyai kaitan persaudaraan yang sangat dekat.

Dalam erti kata lain, "baboh" adalah perkahwinan antara pasangan yang jarang berlaku dan susah untuk dihuraikan. Contohnya, si A mempunyai dua orang anak gadis.Ada sepasang bapa dan anak jatuh cinta kepad anak gadis si A ini.Si bapa berkahwin dengan kakak, manakala si anak berkahwin dengan adik.Dalam hal ini, hubungan persaudaraan susah untuk dijelaskan kerana si bapa dipanggil menantu, yang si anak pun dipanggil menantu.

Begitu juga halnya apabila seorang janda berkahwin dengan seorang lelaki (sama ada duda atau tidak) yang mempunyai seorang anak lelaki.Kemudian perempuan janda ini mempunyai seorang sepupu pertama perempuan berkahwin pula dengan anak lelaki suaminya.Ini juga turut dinamakan baboh.

Baboh sepatutnya tidak boleh dilakukan tetapi jika keadaan sudah memaksa, maka adat Baboh terpaksa dikenakan kepada pasangan berkenaan.Adat baboh ialah:

2 buah sanang kimanis dan 2 ekor babi yang besar untuk 'kepanasan' untuk dibayar kepada bapa.

Si bapa perlu membayar kepada si anak 1 ekor babi, 1 buah tawag binubuk dan kedua-dua pihak waris mesti diberi 1 buah gadul setiap seorang.

Kesemua waris terdekat kedua-dua belah pihak mesti dikenakan bayaran adat Purondom Kaval Tiningkal dan sebilah parang sebagai adat pukodou.
Berian mesti dibayar mengikut peraturan dan persetujuan kedua-dua belah pihak.Adat Rinding mesti dilakukan sebagai perisai 'kepanasan'.

1 ekor babi dan 1 sanang betukul besar sebagai pusukud untuk adat kepanasan mereka.

Adat untuk Ketua Kampung yang membicarakan hal perkahwinan ini turut disediakan sebelum perbicaraan bermula.

Adat Istiadat Perkahwinan Suku Kaum Rungus

Pemuda-pemuda dari suku kaum Rungus tidak mencari bakal isteri mereka sendiri tetapi ditentukan oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa akan mencarikan pasangan bagi anak mereka apabila anak-anak mereka dewasa dan sudah berupaya memikul tanggungjawab untuk mendirikan rumahtangga.

Selalunya apabila ibu bapa si lelaki bertemu gadis yang berkenan di hati, mereka akan datang ke rumah ibu bapa si gadis untuk merisik sama ada si gadis telah berpunya atau belum.

Apabila didapati si gadis itu belum dimiliki, maka ibu bapa si lelaki akan menanyakan orang-orang yang rapat atau keluarga terdekat si gadis bagaimana sikap si gadis, sama ada si gadis yang dirisik rajin,baik hati dan sebagainya.Begitu juga sebaliknya bagi keluarga si gadis.

Setelah kedua-dua pihak sudah sepakat, barulah ibu bapa si lelaki menetapkan hari peminangan atau pertunangan. Setelah persetujuan pertunangan dibuat, maka barulah hari menghantar tanda tunang ditetapkan.

Kadang kala semasa hari menghantar tanda tunang, hari tersebut juga digunakan untuk penetapan berian, hukuman dan perbelanjaan yang mesti dikeluarkan oleh pihak si lelaki seminggu sebelum hari perkahwinan. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai berian, hukuman dan perbelanjaan kahwin akan dibuat selepas seminggu atau sebulan penghantaran tanda tunang. Semua perbincangan pihak lelaki dan pihak perempuan ini akan disaksikan oleh Ketua Kampung dan beberapa orang ahli keluarga kedua belah pihak.

Barang-barang yang yang dijadikan tanda tunang adalah tidak terhad, antaranya:

  1. Buah Pinang
  2. Daun Sirih
  3. Daun Kirai
  4. Kapur
  5. Sigup (Tembakau)

Lain-lain barang yang difikirkan perlu untuk si gadis

Kesemua tanda tunang ini dihantar oleh bapa si lelaki, si lelaki sendiri dan beberapa orang lain sebagai pengiring.

Kebiasaannya, apabila rombongan si lelaki tiba di rumah si perempuan, si lelaki akan mengambil seberapa banyak yang terdaya dan disimpan para-para rumah si perempuan.

Ini menandakan bahawa si lelaki itu mahu menjadi keluarga mereka. Tali pengikat kayu api itu akan disimpan sebagai tanda bahawa berapa besar ikatan kayu itu begitulah juga besarnya sukatan tempayan yang diberikan kepada bapa si perempuan. Adat ini dinamakan sebagai adat "Loput" atau "Buka Mulut".

Upacara penghantaran tanda tunang dilakukan mengikut hari yang baik contohnya pada hari "tontong" atau bulan purnama. Jika sepanjang perjalanan pada hari penghantaran tanda tunang ini berlaku peristiwa-peristiwa ganjil,bertemu binatang seperti rusa, burung-burung ganjil dan sebagainya, maka upacara penghantaran tanda tunang dibatalkan dan ditunda ke hari lain.

Bagi hal berkenaan berian dan belanja kahwin,ibu bapa si lelaki akan menggunakan seseorang sebagai wakil untuk berbincang dengan keluarga perempuan dan menyampaikan kepada ibu bapa ibu bapa si lelaki segala keputusan keluarga pihak perempuan.

Wakil bagi upacara seperti ini dinamakan "Bantaran". Tugas "Bantaran" ialah sebagai pembawa adat "Loput" (Pembuka Bicara/Pembuka Mulut)."Bantaran" perlu membawa sebuah "panding" sebesar satu depa sukatannya, "tutuban" satu sansang sakudon atau sebuah gong dan "languwai" satu pasang atau "sumbul".

Untuk perempuan yang akan dikahwininya diberi satu "languwai" sederhana besar dan satu "tawag". Ibu bapa perempuan pula akan diberi dua buah "tawag" atau "sanang". Jika si lelaki berkemampuan, semua adik-beradiknya yang perempuan juga diberi satu "gadur" setiap seorang sebagai adat pewarisan.

Setelah selesai adat "Loput" atau "Buka Mulut" ini, barulah mereka akan berunding mengenai berian dan belanja kahwin serta hantaran pihak lelaki mengikut permintaan pihak perempuan. Sekiranya si lelaki bersetuju dengan semua permintaan tersebut, maka hari perkahwinan pun ditetapkan. Jika tidak, terpulanglah kepada budi bicara kedua-dua pihak sama ada mahu meneruskan perkahwinan si anak atau tidak.

Apabila tiba masa perkahwinan yang telah ditetapkan, si lelaki dikehendaki membawa "bujak", keris atau pedang, "paes" (pisau) yang diikat bersama gelang dengan menggunakan sapu tangan. Setelah lengkap semuanya barulah si lelaki berangkat ke rumah bakal isterinya. Apabila tiba di rumah si perempuan, si lelaki hendaklah menyerahkan kesemua barang tadi kepada ibu bapa si perempuan.Sesudah itu, barulah si lelaki boleh duduk di tempat persandingannya sementara menanti pengantin perempuan keluar bersanding. Si lelaki mestilah membawa seorang pengapit yang dipanggil "magat", begitu juga dengan pengantin perempuan.

Sesudah upacara perkahwinan dijalankan, barulah Ketua Kampung membuat surat peringatan perkahwinan untuk didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri bagi mendapatkan Surat Keterangan Berian. Dalam surat peringatan ini, diberi "Lapik Banda" kepada kedua-dua suami isteri, iaitu sekiranya si suami tidak menjaga isterinya dengan baik, tidak menghormati mentua dan hal-hal lain yang tidak wajar dilakukan oleh seorang suami kepada isterinya, maka isteri berhak menceraikan suaminya tanpa mengembalikan kesemua berian dan perbelanjaan kahwin. Jika si isteri tidak mengikut nasihat dan kata-kata suami, curang atau lari dari rumah akan didenda satu "tawag" atau "sanang" dan berian akan dikembalikan kepada suaminya.

Adapun tujuan "Lapik Banda" ini adalah untuk mengelakkan pasangan suami isteri daripada bercerai.

Hukum Adat Pelbagai

Adat dan Pantang Larang Bagi Ibu Baru Bersalin

Menurut adat resam suku kaum Rungus, ibu yang baru melahirkan anak tidak dibenarkan membuat sebarang kerja selama genap satu atau dua minggu bagi mengelakkan sakit dan masuk angin dalam badan.si ibu ini juga tidak digalakkan keluar rumah selama 7 hari.
Selain itu,perempuan yang baru bersalin tidak boleh dimarahi, dipukul atau mendengar perkataan yang kasar.Jikalau keadaan mengizinkan, si ibu ini harus berpantang selama 30 hari sehingga badannya pulih. Untuk mengelakkan serangan penyakit dan supaya bayi selamat, bayi tersebut tidak boleh dibawa keluar rumah sesuka hati dalam tempoh pantang berkenaan.
Pemakanan ibu juga dititikberatkan.Si ibu dimestikan memberi susu ibu kepada bayinya untuk menyusu.Antara peraturan makanan yang mesti dipatuhi oleh si ibu ialah:

  1. Makan 3 kali sehari
  2. Makan lebih kerap sup daging atau ayam
  3. Makan kacang beras dengan lembut
  4. Makan banyak sayur dan telur ayam
  5. Buah-buahan makan 3 kali sehari
  6. Minum air yang dimasak 6-8 gelas sehari
  7.  Berjemur cahaya matahari setiap pagi lebih kurang 1 jam.

Hukum Adat Anak Melawan Ibu Bapa

Sudah menjadi pantang bagi suku kaum Rungus apabila seorang anak melawan ibu bapanya. Jika si anak melawan kata-kata ibu bapanya, maka si anak itu dikatakan derhaka dan akan terkena tulah atau kutuk.Dalam bahasa Rungus, ia dikatakan Kovusung.

Untuk mengelakkan tulah atau kutuk itu, maka adat Kovusung harus dikenakan. Adat Kovusung ini berupa 1 ekor babi yang sedang membesar. Babi itu harus disembelih dan darahnya harus dikumpul untuk dimandikan kepada si anak yang derhaka itu.

Selain itu, sebuah gadul sebagai pulanut turut diberikan sebagai sebahagian dari adat Kovusung. Jika ibu bapa si anak yang derhaka ini tidak memaafkan anaknya, maka tulah atau kutuk pada si anak itu tetap tidak dapat dielakkan.

Hukum Adat Dan Pantang Larang Perempuan Yang Sedang Hamil

Jika ada seseorang yang memotong kayu dengan menggunakan parang, kemudian parang tersebut disimpan di atas bahu perempuan hamil maka kata orang dahulu kala pantang kerana "kotiguras" bermaksud sial.Menjadi pantang bagi seorang perempuan hamil dilakukan sedemikian rupa kerana perempuan hamil sama sekali tidak boleh dikejutkan seperti seakan-akan dipukul dengan mengunakan kayu, parang dan sebagainya.

Sesiapa yang melakukan demikian ke atas perempuan hamil, maka orang tersebut akan dikenakan sogit. Sogit ini biasanya sebagai penyelamat kepada perempuan hamil yang terkejut itu.Hal ini kerana apabila si ibu terperanjat, maka bayi dalam kandungan juga ikut terperanjat lalu bergerak dan menyebabkan keguguran.Kalau pun tidak keguguran, tetapi bayi yang dilahirkan mungkin boleh menjadi cacat atau pun menjadi seorang yang mudah terkejut, mudah diserang penyakit dan sebagainya.

Si pesalah yang membuat perempuan hamil terkejut akan dikenakan sogit peringkat pertama iaitu seekor ayam berharga RM10.00 untuk diberikan kepada perempuan hamil tersebut.Jika si pesalah degil dan tidak mahu melakukan demikian sehingga berlaku sesuatu yang tidak baik ke atas perempuan hamil tadi seperti menyebabkan kematian, maka si pesalah ini akan dikenakan undang-undang bangun atau "sonsal".

Adat Sonsal ini ialah:


  1.       80 sanang atau RM24,000.00
  2.             40 sanang atau RM12,000.00
  3.            2 ekor kerbau sebagai ganti nyawa
Jika si pesalah tidak dapat membayar adat ini, maka si pesalah akan didakwa di Mahkamah Anak Negeri dan boleh dipenjarakan sehingga 5 tahun jika sabit kesalahan.

Hukum Adat Kekecewaan Akibat Mungkir Janji

Hal kekecewaan (Koimanimanan) sering kali terjadi di kalangan remaja lelaki dan wanita pada masa kini. Apabila seseorang itu sudah berjanji dan kita menunggu dengan penuh pengharapan, tetapi orang yang melafazkan janji itu tidak menunaikan janjinya maka orang tersebut akan dikenakan adat Kimanan.

Begitu juga halnya apabila seseorang itu melakukan urusniaga tetapi seolah-olah ditipu. Contohnya si A sudah membayar wang pendahuluan kepada si B untuk urusniaga sebuah peralatan tetapi si B tidak memberi peralatan tersebut. Maka si B akan dikenakan adat Kimanan.

Adat Kimanan ini adalah sebuah tawag atau lebih tinggi nilainya dari itu mengikut keputusan yang diambil oleh Ketua Kampung atau pihak yang berkuasa. Kedua-dua pihak harus menandatangani perjanjian keputusan pihak berkuasa ini dan si pesalah yang mungkir janji itu harus membayar atau menunaikan janjinya. Seandainya si pesalah enggan menurutinya, maka hal tersebut boleh didakwa di Mahkamah Anak Negeri.

Hukum Adat Kopunan (Kempunan)

Orang dahulu kala berpendapat adalah menjadi pantang membuat seseorang kempunan seperti mengatakan 'Kogutaikah' walaupun sedang marah.

Apabila seseorang yang membuat orang lain kempunan sehingga orang yang dikatakannya itu mendapat kecelakaan seperti cedera terkena benda tajam, diserang binatang buas, dipatuk ular atau lebih teruk lagi sehingga menyebabkan kematian, maka orang yang bertanggungjawab akan dikenakan adat Kopunan.

Adat Kopunan ini berupa 1 buah sanang, 1 ekor kerbau dan 1 ekor kambing atau babi sebagai sogit kepada orang yang kempunan itu.

Hukum Adat Kotigagangan

Orang yang melakukan kesalahan memeranjatkan orang lain dengan tujuan bergurau sehingga oarng yang terperanjat tadi sakit, si pesalah tersebut akan dikenakan adat Kotigagangan.

Adat Kotigagangan berupa seekor ayam untuk diberikan kepada orang yang terkejut.Seorang bobolian atau dukun mesti dipanggil untuk menyembelih ayam tersebut bagi mengembalikan roh atau 'tatod' orang yang terkejut itu.

Hukum Adat Menyumpah Orang Lain

Orang yang didapati selalu menyumpah orang yang tidak bersalah akan dikenakan sogit. Misalnya, si A menyumpah si B sehingga si B sakit dan berlaku perkara yang tidak diingini kepadanya. Maka si A yang menyumpah si B ini akan dikenakan sogit iaitu 1 ekor babi atau 1 ekor kambing disembelih, sebilah parang sebagai pukodou dan sebuah gadul atau salapa untuk pulanut. Kesemua sogit ini tidak boleh ditukar nilai dengan wang ringgit.

Hukum Adat Merogol Perempuan Bawah Umur 14 Tahun

Undang-undang Rungus dari dahulu kala masih digunapakai sehingga sekarang mengenai lelaki yang melakukan kesalahan merogol perempuan yang berumur bawah 14 tahun.

Jika disabitkan kesalahan, si perogol berkenaan boleh dikenakan adat denda atau sogit iaitu:


  1.           1 ekor kerbau sumandak
  2.             2 buah tawag sederhana besar
  3.           1 ekor kambing
  4.           2 buah sanang betukul besar (menanggung keaiban ibu bapa)

Jika perempuan yang dirogol tadi mendapat penyakit akibat perbuatan tersebut, maka kesemua perbelanjaan untuk merawat penyakit perempuan itu harus ditanggung sepenuhnya oleh si pesalah sehingga penyakit perempuan tersebut sembuh.

Undang-undang Rungus juga menegaskan bahawa si pesalah harus membayar berian perempuan tadi sama ada si pesalah mahu berkahwin atau tidak dengan perempuan yang dirogolnya itu.Jika si pesalah tidak mahu membayarnya, pihak ibu bapa dan Ketua Kampung berhak membawa hal berkenaan ke pihak pengadilan.Si perogol ini kemudian akan diadili mengikut undang-undang negara.

Hukum Adat Merosakkan Tanaman di Ladang

Merosakkan tanaman di ladang khususnya menggunakan parang harus dikenakan adat Rungus tidak kira siapa orang tersebut.Orang yang merosakkan tanaman di ladang seperti padi akan didenda 1 ekor ayam sebagai sogit. Seberapa banyak kerosakan tanaman akan dibayar nilainya dua kali ganda oleh orang yang merosakkan tanaman tersebut.

Sekiranya tuan punya ladang ada membuat penyembahan roh padi sehingga memperuntukan beberapa ekor ayam dan lain-lain, maka si perosak berkenaan mesti membayar semuanya sebagai ganti rugi. Adat ini dinamakan " Adat Korunggabon" pantang bagi upacara penyembahan telah dilanggar. Inilah yang dikatakan "Koti gurasan di' sanganu om kotiggagan di' rumpuvon do tinanom".

Hukum Adat Orang Yang Didapati Mencuri

Seseorang Rungus yang didapati mencuri akan terlebih dahulu disoal siasat menurut hukum adat suku kaum Rungus.

Jika si pencuri mengaku tidak bersalah sedangkan terdapat saksi dan bukti kukuh mengenai kesalahannya, maka kes tersebut akan dibawa kepada pihak berkuasa.

Seandainya si pencuri mengaku akan kesalahannya maka kes berkenaan tidak perlu menjadi kes polis kerana akan dikendalikan oleh Ketua Kampung.

Menurut adat istiadat suku kaum Rungus, si pencuri tersebut dikehendaki mengembalikan semua barang yang dicurinya kepada si pemilik. Si pencuri akan didenda 1 buah tawag sebagai pengajaran untuk diberikan kepada Ketua Kampung. Selain itu, si pencuri turut dikenakan 1 ekor ayam besar sebagai sogit Koruntadan untuk diberikan kepada orang yang kecurian tadi.

Hukum Adat Pembahagian Harta Pusaka

Menurut kebiasaan nenek moyang suku kaum Rungus, harta yang dimaksudkan berupa gong,betukul,tawag,pakaian tradisi, tanah dan lain-lain. Harta yang dimiliki oleh ibu bapa tidak boleh diberi kepada si anak selagi mereka belum meninggal dunia.Ibu bapa haruslah membuat wasiat semasa mereka masih hidup mengenai pemberian harta berkenaan.

Menurut adat Rungus, pembahagian harta pusaka ini mendapat kelebihan kepada anak lelaki sulung.Anak perempuan walaupun sulung cuma mendapat 3% sahaja.Hal ini kerana anak lelaki dipercayai dapat membalas jasa ibu bapa lebih awal.Anak perempuan pula akan dimiliki oleh orang lain (suaminya) dan tenaganya tidak setaraf lelaki.Baki harta pusaka seterusnya dibahagikan sama rata antara adik-beradik.

Jika ibu bapa mempunyai anak angkat, anak angkat ini tidak berhak mendapat harta pusaka ibu bapa angkatnya.Tetapi jika anak angkat itu mempunyai pendapatan bersama sepanjang hayat ibu bapa angkatnya, maka harta berkenaan bolehlah dituntutnya.

Hukum Adat Todung

Adat Todung ini dikenakan kepada orang yang melanggar adat berpantang semasa kematian suami atau isteri.

Hukuman adat yang dikenakan ialah:


  1.           1 buah salapa
  2.           1 bilah parang
  3.           1 piring kimanis atau 1 buah gadul
  4.             1 buah sanang betukul atau 1 buah tawag
  5.             1 buah gadul

Denda-denda ini dibayar mengikut kesalahan yang dilanggar semasa adat berpantang kematian suami atau isteri.

Hukuman Adat Sumbang

Sumbang adalah perbuatan zina yang dilakukan oleh orang-orang yang ada pertalian darah seperti antara anak dan bapa, ibu dan anak, adik beradik seibu sebapa, anak saudara dan bapa/ibu saudara serta bersepupu dengan pertalian darah yang masih dekat.

Dalam adat suku kaum Rungus, sumbang terbahagi kepada dua iaitu Sumbang Tunggal (besar) dan Sumbang Soroi.

Sumbang Tunggal (Besar)

Sumbang Tunggal ialah perbuatan zina yang dilakukan oleh anak dan bapa, anak dan ibu dan adik beradik seibu sebapa.

Hukuman Adat Kesalahan 'Sumbang Tunggal' :

Mengikut undang-undang adat zaman dahulu, orang-orang yang melakukan kesalahan ini akan dihukum bunuh atau ditangkap dan dimasukkan ke dalam satu tempat yang dinamakan "bubu" lalu dibuang ke laut.
Oleh kerana hukuman ini terlalu berat maka adat ini dilupakan begitu sahaja.
Bagi Suku Kaum Rungus zaman sekarang, orang yang didapati bersalah kerana melakukan sumbang tunggal ini akan dikenakan adat 15 ekor babi untuk adat kepanasan kampung,

20 buah sanag kimanis atau sanang biasa, pulanut 2 pasang langkaki saring yang diperbuat dari besi luyang tembaga, dipotong-potong untuk diberikan kepada kampung yang terlibat.

Adat Pusukud juga dikenakan iaitu 1 sanang atau 1 tawag dan 1 ekor babi untuk sogit kepada ketua-ketua kampung yang membicarakan hukuman ini.Adat ini akan dikenakan kepada kedua-dua pesalah, si lelaki dan si perempuan.

Sumbang Soroi

Sumbang Soroi ialah perbuatan zina yang dilakukan antara sepupu 1 kali,sepupu 2 kali,sepupu 3 kali dan antara  anak saudara dan bapa/ibu saudara.

Hukuman Adat Kesalahan 'Sumbang Soroi' :

 i) Sumbang Soroi antara sepupu 1 kali
 tidak boleh dikahwinkan
Lelaki - didenda 3 ekor babi untuk sogit kampung, pulanut sepasang lungkaki, 2 buah sanang atau tawag.
Perempuan - didenda 2 ekor babi untuk sogit kampung, pulanut sepasang lungkaki.

ii) Sumbang Soroi antara sepupu 2 kali dan 3 kali
Jika kedua-dua pesalah berlainan keturunan, kedua-duanya boleh dikahwinkan.
Si lelaki akan dikenakan adat "pitas" iaitu 1 tawag binubuk.
Lelaki - didenda 2 ekor babi atau kambing untuk sogit kampung, pulanut gadur dan tinukul diberi kepada waris.
Perempuan - didenda 1 ekor babi atau kambing untuk sogit kampung, 1 sanang tinukul.

iii) Sumbang Soroi antara anak saudara dan bapa/ibu saudara
tidak boleh dikahwinkan walaupun telah membayar denda

dikehendaki membayar pusukud kepada ketua-ketua kampung yang membicarakannya dan hendaklah dikeluarkan sebelum perbicaraan dimulakan.
Lelaki - didenda 5 ekor babi besar untuk sogit kepanasan kampung, 3 buah tawag atau 4 buah sanang, pulanut sepasang lungkaki, 4 karol tingkal sebagai purandom dan 1 parang sebagai pukadau (pukaras).

Perempuan - didenda 2 ekor babi atau kambing untuk sogit kepanasan kampung, 2 buah sanang betukul,pulanut sepasang saring dan purandom 2 karol tingkal

Agama & Kepercayaan Kaum Rungus
   
Kepercayaan 'Labus'

Sebelum kedatangan mubaligh Kristian pada sekitar tahun 1950-an, satu-satuya kepercayaan suku kaum Momogun Rungus ialah kepercayaan animisme. Mereka menyebut kepercayaan ini sebagai agama Labus (disebut Labvus).

Menurut agama ini apabila bangsa Momogun dianiaya atau dijajah oleh bangsa lain maka akan berlaku malapetaka yang tidak pernah terjadi seperti serangan penyakit dan fenomena alam kepada sesiapa yg melakukannya terhadap Momogun. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk sebagai wasiatnya kepada Momogun.

Agama Labus adalah satu agama yang diasaskan oleh Bobolizan Guraumanuk. 

Dia menamakannya sebagai agama Labus yang bermakna:

AGAMA – berasal dari bahasa Rungus boleh dilakukan
‘A’ - boleh
‘Gama’ - buat / lakukan
LABUS – bermakna keluar/lepas dalam bahasa Rungus

Ringkasnya,agama Labus bermaksud satu set hukum momogun yang boleh dilakukan untuk melepaskan mereka dari hukuman, laknat, sumpahan atau murka dari Tuhan.

Menurut Bobolizan Gomburon dan Guraumanuk, manusia ini pada asalnya adalah dewa. Setelah dihasut oleh Rogon iaitu anak Kinoringan Mamangun sendiri, manusia yang ketika itu adalah dewa telah ikut serta merebut takhta Kinoringan. Maka akhirnya Pomogunan Tavanus (Syurga) telah huru hara dan Kinoringan mematahkan bala tentera Rogon dan menjatuhkan hukuman kepada pengikut-pengikutnya. Manusia yang termakan kata-kata Rogon pada mulanya dipanggil sebagai Rumandavi (dewa) kini dipanggil Riniba(manusia).

Riniba diambil dari kata ‘SIBA’ bermaksud rendah. Riniba bermakna makhluk ciptaan Kinoringan Mamangun yang telah direndahkan statusnya.

Untuk mengelakan kutukan dari Kinoringan terhadap mereka yang mengkhianati kemuliaan hati-Nya, maka wujudlah agama Labus yang diturunkan kepada Bobolizan Guraumanuk untuk menggantikan hukuman keras yang diwartakan oleh Bobolizan Gomburon.

Agama Labus yang diwartakan Bobolizan Guraumanuk ini menghapuskan hukuman mati seperti memasukkan pesalah yang membunuh orang ke dalam bubu dengan batu lalu dibuang ke dalam laut (hukum gomburon) dengan setiap kesalahan orang momogun boleh dibayar dengan mengorbankan haiwan ternak seperti ayam (nilai ayam bergantung kepada warna hitam / putih. Warna lain tidak diterima), atau kesalahan besar korbankan khinzir atau kerbau.

Aki Lumaag menjaga Gunung Kinabalu - Alexander Marcellinus (2007)  
 
Setelah pihak British menjajah kepulauan Borneo, barulah agama lain wujud di kalangan masyarakat Momogun Rungus. Menurut sumber yang boleh dipercayai, agama suku kaum Rungus yang pertama dianuti ialah agama Kristian dari denominasi Protestan. Menurut sejarah gereja berkenaan, pada tahun 1953 para penginjil (diketuai oleh Missioner Bienz) dari Jerman datang ke kawasan Kudat untuk memberitakan injil tentang Jesus Christ (Nabi Isa). Pada masa kini, 90% dari suku kaum Rungus adalah beragama Kristian denominasi Protestan,5% dari Kristian mazhab lain dan selebihnya beragama Islam akibat daripada perkahwinan campur .

Walau bagaimanapun, agama Labus masih diamalkan oleh sebilangan warga Momogun Rungus yang berada di kawasan pedalaman bagi menghormati semangat Lumaag yang menjaga bangsa Momogun sejak turun-temurun.

Lumaag Nabalu menjaga Gunung Kinabalu Alexander Marcellinus (2007)

Mitos & Lagenda Nunuk Ragang

Diceritakan orang bahawa, pada zaman dahulu kononnya ada sepohon pokok kayu ara yang besar dan luar biasa keadaannya tumbuh dekat dengan sebuah danau yang dalam. Danau itu letaknya dekat dengan tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan. Pokok kayu ara yang disebutkan tadi, keseluruhannya berwarna merah, termasuk daunnya. Dalam bahasa orang-orang Dusun atau Kadazan pokok kayu ara itu disebutnya 'Nunuk Ragang'. 'Nunuk' bererti pokok kayu ara dan 'ragang' bererti merah.

Diceritakan juga bahawa pada masa itu tempat tersebut belum lagi didiami oleh manusia. Pada umumnya, kawasan di mana terdapatnya Nunuk Ragang itu dipenuhi oleh hutan belantara yang hanya didiami oleh binatang-binatang buas dan liar sahaja. Pada masa itu terdapat seekor ayam jantan yang sangat besar, kira-kira sebesar seekor kerbau tinggal di situ. Ayam jantan tersebut dipercayai mempunyai kesaktian yang luar biasa. Ikuti kisah di bawah ini.
.
Kelahiran manusia

Pada suatu hari ayam jantan itu mengais-ngais tanah untuk mencari makanan. Dengan tidak mena-mena terkeluarlah seorang anak muda yang kacak dari bawah tanah yang dikaisnya itu. Ayam jantan tersebut terus juga mengais-ngais dan mencakar tanah. Tidak lama kemudian keluar pula seorang gadis yang sangat jelita. Kedua-dua orang manusia itu diambil dan dipelihara oleh ayam jantan tersebut. Selang beberapa lama, maka kedua manusia itu pun dikahwinkan. Hasil perkahwinan itu lahirlah beberapa orang putera dan puteri. Keturunan mereka ini akhirnya beranak pinak dan berkembang biak pula, lalu mendiami kawasan yang pada mulanya tiada berorang itu. Lama kelamaan tempat itu menjadi semakin ramai penghuninya.Keturunan kedua manusia yang ditemui daripada knisan tanah oleh ayarn jantan itu disebut sebagai 'Orang-orang Nunuk Ragang' yang 'dipercayai' nenek moyang dan keturunan orang-orang Dusun atau Kadazan sekarang ini.

Lelaki yang pertama muncul dari bawah tanah itu dilantik oleh ayam jantan sebagai penghulu di tempat itu. Dia memerintah dengan adil atas bantuan ayam jantan tersebut. Ayam jantan itu tinggal di pokok kayu ara merah tadi. Bersama-sama pokok kayu ara merah tersebut ayam jantan itu menjadi pelindung kepada manusia yang tinggal di situ. Tempat itu juga akhirnya dinamakan Nunuk Ragang mengambil sempena nama pokok kayu ara merah yang istimewa itu.Nunak Ragang dari hari ke hari kian bertambah maju dan penduduknya semakin ramai. Di sekitarnya terdapat beberapa batang anak sungai dan ini menjadikannya suatu kawasan pertanian yang subur dan lumayan. Sejak itu, hiduplah penduduk-penduduk Nunuk Ragang dalam suasana aman dan damai buat beberapa lama.

Ragang Tie

Menurut ceritanya, pada suatu masa Nunak Ragang telah 'diserang' dan diganggu oleh 'Ragang Tie' (tahi merah). Ragang Tie ini tidak dapat digambarkan keadaannya yang sebenar. Ia kelihatan seperti air yang mengalir apabila dilihat dari jauh dan kadang-kadang orang yang melihatnya seolah-olah seperti manusia sifatnya. Anehnya Ragang Tie itu telah membawa wabak penyakit kepada sesiapa yang tersentuh dan menyentuhnya, bahkan ia sering membawa maut. Di samping itu, Ragang Tie juga memusnahkan hasil-hasil tanaman dan membunuh binatang-binatang ternakan yang terkena padanya.

Oleh yang demikian, ramailah penduduk di situ yang menderita sakit dan mati,binatang ternakan dan tanaman pun turut musnah terkena wabak itu. Hal ini menjadikan orang-orang Nunuk Ragang berasa amat sedih dan bimbang. Akhirnya, ramai di antara mereka meninggalkan tempat itu dan berpindah ke kawasan lain yang lebih selamat untak didiami. Dengan itu, berpecah dan 'bersepahlah' mereka ke serata daerah dan kawasan seperti yang terdapat pada masa ini.

Kehadiran Orang Bawah Tanah

Pada suatu masa yang lain, tibalah musim menanam padi bagi penduduk Nunuk Ragang. Pada suatu hari, sedang orang-orang kampung itu sibuk menugal padi di huma mereka terdengar suara manusia lain memanggil dan datangnya dari bawah tanah pula. Orang-orang Nunak Ragang berasa hairan bercampur takut, lalu mereka mengadukan kejadian itu pada penghulu mereka. Akhirnya mereka mengadakan mesyuarat dan mencapai kata sepakat, lalu mereka mengorek tanah dari mana terdengarnya suara memanggil itu. Apabila dikorek, maka terbukalah sebuah lubang bawah tanah yang besar. Di dalamnya penuh sesak dengan manusia yang kelihatannya bengis-bengis belaka.

Orang-orang Nunuk Ragang menjadi bertambah takut lebih-lebih lagi apabila mendengar suara percakapan manusia bawah tanah itu sangat kuat dan kasar. Kemudian ketua manusia bawah tanah pun berkata dengan suara yang amat kuat macam halilintar, katanya, "Terima kasih tuan-tuan ......kerana melepaskan kami dan tempat ini sungguh baik rasanya untuk kami kerana kami sudah lama berkurung di bawah tanah. Sekarang kami mahu tinggal di sini pula. Kamu mestilah pergi dari sini kalau tidak kami akan musnahkan kamu semua!........."

Mendengar amaran manusia dari bawah tanah itu, maka orang Nunuk Ragang pun lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Peristiwa ini juga menyebabkan orang-orang Nunuk Ragang berpindah dari tempat asal mereka, lalu mendiami daerah-daerah lain di Sabah. Dua peristiwa di atas adalah daripada dua cerita yang berlainan yang menyatakan sebab orang-orang Nunuk Ragang berpindah dari tempat asalnya.

Kumpulan manusia dari bawah tanah itu pun mendiami kawasan yang telah ditinggalkan oleh orang Nunuk Ragang. Namun begitu, manusia bawah tanah masih percaya bahawa ayam sakti dan penghulu orang Nunuk Ragang masih ada. Mereka akan membalas dendam terhadap mereka bila-bila rnasa, jadi manusia bawah tanah terus berazam untuk menghapuskan kedua-duanya yang dianggap sebagai musuh mereka. Orang-orang Nunuk Ragang bersama penghulu dan ayam jantan saktinya sentiasa diburu oleh manusia bawah tanah itu.

Setelah beberapa lama manusia bawah tanah masih juga tidak berjaya menghapuskan penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Akhirnya manusia bawah tanah itu pun tinggal menetap di sekitar kawasan tersebut yang sekarang ini dikenali sebagai orang Tampias, mereka terdapat di kawasan-kawasan perkampungan di daerah Labuk Sugut, Sandakan. Diceritakan orang juga bahawa orang-orang Tampias itu hingga ke hari ini tidak begitu berbaik-baik dengan orang-orang Dusun/Kadazan yang berasal daripada orang-orang Nunuk Ragang.

Manusia bawah tanah itu menurut ceritanya adalah manusia biasa tetapi telah disumpah oleh dewa tanah kerana terlalu banyak membuat kerosakan di muka bumi lalu mereka dihantar mendiami kawasan lubang yang besar di bawah tanah. Di sanalah mereka hidup dan beranak-pinak beberapa lama sehingga mereka dikeluarkan oleh orang Nunuk Ragang.

Perpindahan Suku Kaum Kadazan/Dusun ke Merata Tempat

Perasaan marah dan dendam manusia bawah tanah tidak habis-habis terhadap penghulu dan ayam jantan sakti orang Nunuk Ragang. Perkara ini membuatkan ayam jantan sakti menerbangkan penghulu tersebut jauh ke suatu kawasan pergunungan yang sekarang ini dikenali sebagai Ranau. Dengan kuasa sakti ayam jantan tersebut, ia meratakan tanah yang berlumpur itu dengan kaki dan kepakuya, menguis-nguiskannya sehingga tempat itu menjadi rata untuk didiami. Oleh kerana kawasan itu berlumpur dan mengambil sempena keadaan asalnya, maka tempat itu pun dinamakan 'Ranau' yang bermaksud 'lumpur' dalam bahasa Dusun/Kadazan.

Setelah tanah di situ diratakan, maka orang-orang yang mengikut penghulu berpindah itu pun terus membuka tempat kediaman di situ. Mereka menumpukan kegiatan dengan bercucuk tanam dan memelihara binatang ternakan seperti ayam, itik dan babi.

Adapun manusia bawah tanah tadi masih terus berasa tidak senang dan khuatir kalau-kalau orang-orang Nunuk Ragang datang menuntut bela dan menyerang mereka. Lalu orang dari bawah tanah menyiasat dan akhirnya mereka mendapat tahu bahawa orang-orang Nunuk Ragang berada di Ranau. Maka, mereka pun bergerak pula ke sana untuk membinasakan orang-orang Nunuk Ragang ini. Kedatangan manusia bawah tanah ini telah dapat dikesan oleh ayam jantan sakti, lalu sebelum sempat mereka tiba ke Ranau, ayam jantan sakti telah pun menerbangkan penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain bersama pengikutnya dan tempat itu kemudiannya dikenali sebagai Tambunan.

Di tempat baru itu seperti juga sebelumnya ayam jantan sakti tadi membantu penghulunya dengan menguis-nguis dan meratakan tanah untuk dijadikan kawasan tempat tinggal orang-orang Nunuk Ragang. Hal ini diketahui juga akhirnya oleh manusia dari bawah tanah dan mereka menjadi semakin marah terhadap orang Nunuk Ragang, lebih-lebih lagi terhadap ayam jantan sakti itu dan mereka terus berazam untuk menghapuskannya.

Seperti kebiasaan perangai ayam jantan setiap pagi ia akan berkokok, begitu juga ayam jantan sakti ini. Bunyi kokokannya pula amat kuat hingga terdengar ke Ranau dan tempat-tempat lain yang agak jauh dari tempatnya berkokok itu. Menurut ceritanya, bunyi kokokan ayam jantan inilah yang membolehkan manusia dari bawah tanah itu menjejak kedudukan ayam tersebut dan penghulu Nunuk Ragang. Lalu kumpulan manusia dari bawah tanah itu bergerak pula ke Tambunan. Seperti dahulu juga ayam jantan sakti itu telah mengetahui kedatangan mereka lebih awal dan terus menerbangkan penghulu itu ke satu tempat lain bernama Apin-apin. Di situ mereka membuka pula tempat kediaman yang baru.

Oleh kerana manusia dari bawah tanah tadi hanya mendendami penghulu Nunuk Ragang dan ayam jantan saktinya sahaja, maka hanya sebahagian sahaja manusia bawah tanah yang ikut memburunya. Sementara yang lainnya terus tinggal menetap di tempat-tempat yang telah dibuka oleh ayam jantan dan orang-orang Nunuk Ragang itu.

Disebabkan penghulu Nunuk Ragang tidak lama mendiami Tambunan kemudian terpaksa berpindah ke Apin-apin, maka dia melantik seorang penolongnya yang bernama 'Gombunan' sebagai ketua orang-orang Nunuk Ragang yang menetap di situ. Maka nama Tambunan adalah mengambil sempena nama ketua mereka yang dilantik oleh penghulu tadi. Lagipun tempat baru (Tambunan) itu belum mendapat namanya lagi pada ketika itu.

Di Apin-apin, seperti tempat-tempat lain yang dibukanya sebelum itu, penghulu Nunuk Ragang dan ayam jantan saktinya tidak dapat tinggal lama kerana manusia dari bawah tanah terus mengesannya. Seperti biasa, ayam jantan sakti tadi menerbangkan pula penghulu Nunuk Ragang ke suatu tempat lain yang lebih jauh di kawasan pedalaman yang kemudiannya disebut sebagai Keningau. Seperti selalunya ayam jantan itu meratakan kawasan tersebut untuk dibuat tempat kediaman. Di tempat tersebut ketika itu banyak terdapat pokok 'kayu manis', maka tempat itu lalu dinamakan 'Keningau' dalam bahasa Dusun/ Kadazan yang bererti 'kayu manis'.

Kematian Penghulu & Ayam Jantan Sakti

Tidak berapa lama di Keningau ayam jantan sakti itu pun jatuh sakit dan terus menemui ajalnya kerana sudah tua lalu ditanamkan di suatu tempat di situ. Selang tidak berapa lama kemudian, penghulu Nunuk Ragang pula menghembuskan nafas juga kerana penyakit tua. Dengan kematian kedua-dua makhluk yang sentiasa diburu oleh manusia dari bawah tanah itu, maka mereka pun berhentilah memburu dan memusuhi orang-orang Nunuk Ragang.

Kematian ayam jantan sakti dan penghulu orang-orang Nunuk Ragang itu menyebabkan orang-orangnya merasakan sesuatu yang berharga telah hilang daripada mereka. Ini merupakan satu kehilangan yang amat besar buat mereka. Sesungguhnya ayam jantan sakti amat banyak jasanya kepada suku kaum Momogun dalam membuka beberapa kawasan tempat kediaman mereka. Jika diperhatikan, (malah hingga ke hari ini) kebanyakan tempat yang didiami oleh orang-orang Momogun ( Dusun/Kadazan) adalah di kawasan bukit dan pergunungan yang seakan-akan telah diratakan. Orang-orang Momogun khususnya kaum Rungus mempercayai akan kisah ini.

Pokok Nunuk Ragang yang ditinggalkan oleh orang-orang Momogun berdekatan dengan danau itu dikatakan telah ditebang dan dimusnahkan oleh manusia dari bawah tanah yang dipercayai sekarang ini sebagai nenek moyang orang Tampias di Sabah.

Pengait

Pada zaman dahulu tengkorak manusia juga dikaitkan dengan cerita " pengait " atau dalam bahasa Inggerisnya sebagai " head hunter " satu panggilan kepada pemburu kepala manusia untuk dijadikan berian kahwin ataupun sebagai tanda kepahlawanan. Kesahihan cerita pengait ini sukar dipastikan kerana tidak ada bukti kukuh tentangnya, mungkinkah itu hanya sebagai lagenda ataupun cuma sebagai cerita di antara cerita-cerita penglipurlara semata-mata.

Cerita yang agak menyeramkan serta menaikkan bulu roma itu kini kian tenggelam ditelan zaman, cerita " pengait " dan kisah-kisah pemburu kepala jarang kedengaran lagi di mana-mana di negeri ini.

Cerita " Pengait " pada zaman dahulu telah diakui sebagai budaya kuno yang pernah diamalkan di oleh suku kaum Rungus walaupun tidak sehebat cerita kaum Murut di Sabah pada abad ke-16 hingga ke-17. Ramai yang percaya dengan sumber-sumber daripada cerita lisan itu yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi, malah pada zaman moden inipun ada yang masih percaya dengan cerita pengambilan kepala manusia konon untuk tujuan membayar tebusan kepada penunggu di tempat diadakan pembangunan, terutama sekali jambatan.

Koleksi tengkorak manusia - Karpan Photo      
   
Kononnya pada zaman dahulu kegiatan memburu kepala dilakukan untuk dijadikan bukti kegagahan seseorang lelaki ataupun dijadiakan berian kahwin. Kononnya seorang lelaki tidak akan dapat memiliki isteri sekiranya ia gagal menyumbangkan sekurang-kurangnya satu kepala manusia yang dia penggal sendiri.

Namun pada hakikatnya fakta kajian telah menyatakan, perolehan tengkorak manusia sebenarnya dikatakan hasil dari usaha mempertahankan diri, si gagah menang dalam pertempuran setelah berjaya mempertahankan diri ataupun berjaya membalas dendam. Kegiatan ini kononnya pernah berlaku di kalangan suku kaum Murut dan ia dipercayai pernah menular kepada masyarakat Momogun Rungus .

Pada kira-kira abad ke-17 hingga abad ke-18 masyarakat Momogun dan Murut masih lagi mempunyai kepercayaan bahawa tengkorak manusia boleh membawa kebaikan kepada mereka lalu menggantung beberapa tengkorak manusia di atas Tangkob. Tangkob ialah peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira 3 hingga 4 kaki. Kepercayaan ini telah menyerap sebagai salah satu budaya dan kepercayaan yang abadi di kalangan suku kaum tersebut.

Tangkob diperbuat daripada kulit kayu digunakan sebagai tempat menyimpan padi. Ianya terdapat dalam berbagai-bagai ukuran bergantung kepada tempat ianya disimpan. Tangkob biasanya ditempatkan di sulap Bangkawan, sulap yang mempunyai atap tetapi tidak berdinding.

Bagi mengelakkan semangat padi diganggu dan rezeki pemilik padi akan bertambah maka tengkorak manusia digantung di sebelah atas tangkob bersama-sama beberapa buah kerang gergasi, daun silad kering dan tulang binatang.

Upacara Mamasi & Managas

Agama Labus mempunyai kalender sendiri. Dalam agama Labus tahun ia bermula sebagai pesta kaamatan/kokotuan ialah bulan satu. KAAMATAN adalah tahun baru pada asalnya jika menurut agama Labus.Tahun ini ialah tahun ke-11 dalam agama labus. Kitaran tahunnya adalah 100 tahun. Selepas 100 tahun, maka bermula lagi ke tahun 1 dan demikianlah pusingannya seterusnya.

Ada dua perkara yang penting semasa 100 tahun dalam kalender agama Labus iaitu upacara Mamasi dan upacara Managas.

Upacara Managas

Upacara Managas sudah 200 tahun tidak dijalankan. Ini kerana penangkapan British terhadap Aki Tumanggung Karantud di Kudat. Upacara itu dihalang pihak British kerana upacara itu bercanggah dengan undang-undang British. Managas adalah satu upacara penyucian negeri Sabah yang dilakukan oleh nenek moyang Momogun Rungus sejak di Nunuk Ragang pada zaman purba lagi, ia adalah satu upacara korban. Korban Managas bertujuan menyucikan segala dosa manusia dan sesiapa yang berbuat jahat akan ditimpa wabak penyakit dan pelbagai malapetaka.

Berikutan gagalnya upacara Managas oleh Aki Tumanggung Karantud maka British terpaksa berpindah di Sandakan kerana wabak penyakit dan pelbagai masalah menimpa pihak British. Penyakit malaria, tibi, cacar dan kolera menyerang Kudat dengan luar biasa pada waktu itu kerana upacara Managas gagal dijalankan. Ramai pegawai British menjadi mangsa disebabkan penyakit itu.
Untuk memanggil semangat Lumaag yang menjaga Gunung Kinabalu, maka upacara memalu gong selama 40 hari 40 malam perlu dijalankan dengan tujuan membawa kesejahteraan kepada bangsa Momogun. Upacara Miagung atau Mitogunggu ini dilakukan dalam kes-kes darurat sahaja sama ada darurat politik, ekonomi atau sebagainya.

Upacara Miagung ini dilakukan oleh kaum lelaki iaitu memalu gong selama 40 hari 40 malam secara berterusan manakala upacara Komburongoh dijalankan oleh kaum wanita dengan membakar Komburongoh dalam dupa persembahan. Seorang bobolizan rovusan yang layak akan mengendalikan upacara ini.

Upacara Managas ini dilakukan kerana dosa-dosa zina, curi, penipuan, pembunuhan dan segala bentuk dosa-dosa manusia yang dilakukan dalam tempoh 100 tahun sebelumnya.

Managas bermakna "melupuskan hutang dosa".Mengikut adat dan pantang larang dalam upacara Managas ,ia haruslah dilakukan dengan mengorbankan seorang manusia yang masih teruna atau perawan yang dibeli dari saudagar Brunei dan Sulu. Upacara ini bertujuan untuk melindungi segala kesalahan bangsa. Korban haruslah teruna atau perawan. Jika korban itu tidak suci, maka akan berlaku malapetaka yang dashyat kepada pembekal korban tersebut. Dalam upacara managas manusia yg menjadi korban tidak boleh disebut orang atau manusia tetapi haruslah disebut sebagai sada tagazo atau panagas.

Disebabkan perbuatan dosa manusia maka korban teramatlah penting. Darah korban ternak hanya mampu menutupi segalah dosa manusia dalam tempoh 50 tahun dan selepas itu pelupusan hutang dosa harus dibayar dengan nyawa manusia melalui titisan darah korban managas.

Upacara Mamasi

Upacara mamasi bermakna "menyuburkan perjanjian managas" yang dilakukan 50 tahun lalu. Ia adalah satu upacara mengingatkan kepada Lumaag bahawa perjanjian itu masih terus dipegang. Dengan memercikkan darah korban di bumi,maka perjanjian telah diperbaharui. Upacara Mamasi dilakukan pada tahun ke-50 oleh bobolizan rovusan dan korban yang digunakan ialah khinzir.
Setelah perjanjian diperbaharui, maka tiada bencana alam dan penyakit yang akan menimpa Momogun.

Kedua upacara ini dilakukan bagi menebus dosa-dosa dalam tempoh kitaran 100 tahun. Jika bangsa Momogun ditindas dan dianiaya dalam pelbagai bentuk semasa Momogun tiada pemimpin mereka, maka Lumaag akan melangkahi bumi Momogun dan akan menaburkan segala bentuk malapetaka. Hal ini dikatakan oleh Bobolizan Guraumanuk dalam wasiatnya.

Menurut Bobolizan Guraumanuk, inilah perjanjian kesejahteraan bagi bangsa Momogun dan jika suatu hari nanti bangsa Momogun dianiaya oleh bangsa lain maka akan berlaku satu malapetaka yang menimpa dunia sehingga berakhir dengan lxunsuton (gempa bumi), darun monirang dan lxusuvon.Hal ini disamakan sebagai hari kiamat. Lxunsuton adalah gempa bumi yang akan menghancurkan dunia pada masa akan datang sementara lxusuvon adalah kiamat yang berlaku pada zaman purba. Walaupun demikian, lxusuvon akan berlaku juga pada masa akan datang disertai lxunsuton bagi mengakhiri riwayat dunia ini.

Upacara ini ditinggalkan sahaja pada hari ini dan tidak pernah dilakukan lagi berikutan ramai orang Momogun yang telah menjadi Kristian. Upacara ini ditentang habis-habisan oleh pihak British sehingga akhirnya Aki Tumanggung Karantud ditangkap dan dihukum buang negeri oleh British.

Kegiatan Ekonomi Suku Kaum Momogun Rungus

Nenek membawa Saging

Sebelum ini, kebanyakan penduduk Momogun Rungus bekerja sebagai petani dengan menjalankan pertanian pindah. Ada kalanya mereka bergantung harap sepenuhnya kepada hasil hutan untuk sara hidup.Mereka menjadi petani tradisi yang menanam padi sawah dan huma dengan pendapatan yang tidak seberapa. Sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai.

Pada masa kini,kegiatan ekonomi utama penduduk suku kaum Rungus tertumpu kepada sektor pertanian yang lebih menguntungkan. Seluas 54,723 hektar adalah kawasan tanah yang sesuai untuk pertanian. Daripada jumlah tersebut dianggarkan lebih kurang 32,960 hektar telah diusahakan untuk pelbagai tanaman yang berorientasikan tanaman jangka pendek dan jangka panjang. Antara tanaman yang diusahakan oleh suku kaum Rungus adalah penanaman getah secara beramai-ramai di kampung-kampung.

Sektor perikanan juga memainkan peranan utama di mana ianya penyumbang kedua terbesar selepas pertanian kepada suku kaum Rungus. Sektor ini dilihat semakin berkembang dengan wujudnya beberapa kilang yang mengusahakan industri perikanan. Hasil perikanan kebanyakannya di eksport ke negara luar seperti Taiwan, Jepun, Hong Kong dan lain-lain lagi.

Selain itu, sekumpulan penduduk suku kaum Rungus di Kampung Gombizau, Matunggong kira-kira 190 kilometer dari Kota Kinabalu mengusahakan penternakan madu lebah. Apa yang menarik mengenai madu lebah ini selain keenakan dan kemujaraban khasiatnya, proses pengeluarannya turut diusahakan bersama oleh wanita kaum Rungus melalui Kumpulan Wanita Penternak Madu Lebah. Madu segar dan asli ini dikatakan mempunyai banyak keistimewaan Madu lebah ternak yang sudah siap dibotolkan, biasanya dijual pada harga RM7 bagi setiap setengah liter, manakala madu liar RM18.Penternakan madu lebah ini juga merupakan sebahagian daripada sumber ekonomi kaum Rungus yang bakal dikomersilkan. Pada masa ini, kampung ini sering kali menjadi persinggahan pelancong asing yang melawat Utara Sabah selain Kampung Sumangkap yang menjadi pusat pengeluar gong serta destinasi, Tanjung Sempang Mengayau.

Tinuzibuu

Taburan Penduduk Suku Kaum Momogun Rungus

Suku kaum Rungus yang lebih dikenali sebagai Momogun Rungus ini tertumpu di kawasan Kudat . Mereka mendiami bahagian selatan semenanjung Kudat dan wilayah tengah Melabong, Kudat, Sabah. Kudat berkhidmat sebagai pusat pentadbiran untuk bahagian Kudat, yang termasuk bandar-bandar Kudat, Pitas, Kota Marudu, dan beberapa pulau luar pesisir.

Daerah Kudat terletak di Utara negeri Sabah iaitu kira-kira 190 kilometer di utara Kota Kinabalu dan pernah menjadi Ibu Negeri bagi North Borneo ( Sabah ) dari 17 Disember 1881 hingga 1884. Di barat Kudat, menghadap Laut China Selatan, dan di timur Kudat menghadap laut sulu. Kudat terletak pada garis lintang 6°55'utara, garis bujur 116°50'timur.

Kudat

Kampung - Kampung di daerah Kudat.
Nama Kudat berasal dari 2 lagenda tempatan iaitu " KUTAD " yang mempunyai pengertian ' Rumput Lalang " dari suku kaum terawal di daerah Kudat iaitu Rungus rumpun dari suku kaum Kadazan Dusun (asalnya Momogun tetapi atas kepentingan politik, Kadazan Dusun digunakan). Legenda kedua adalah dari suku kaum Benadan iaitu " Takudad Aku " yang membawa maksud " Terkejut Aku ".

Bahagian Kudat mempunyai tiga daerah iaitu Kudat, Pitas dan Kota Marudu. Jumlah penduduk Daerah Kudat pada tahun 2000 adalah 68,242 (Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000). Daripada jumlah ini, seramai 65 peratus adalah orang Rungus, dan selebihnya iaitu 35 peratus terdiri daripada Orang Sungei, Bajau, Suluk, Bugis, Banggi, Obian dan Cina. Ini bermakna populasi orang Rungus berada di daerah ini dengan jumlah seramai 44,358 orang mengikut bancian yang dilakukan pada tahun 2000.

Daerah Kudat dianggap sebagai petempatan asal orang Rungus, khususnya di daerah kecilnya yang bernama Matunggong. Di sekitar daerah kecil Matunggong, komuniti Rungus lebih cenderung untuk melihat diri sebagai Momogun (Ong 1994: 153),iaitu orang tanah sini, atau orang tempatan.

Sumber : sabah.edu.my