Monday 29 December 2014

SHARIFF USMAN MARUDU DAN SANDOKAN



KUBU SHARIFF USMAN 1845

WATAK SANDOKAN 1847
                                               
Shariff Usman adalah Sultan Marudu yang berperang dengan British dan James Brooke, Raja Sarawak pada tahun 1845. Beliau dianggap Ketua Lanun Paling Bahaya di Asia. Pihak British menganggap Shariff Usman sebagai ancaman kepada Kerajaan British dan Raja Brooke Sarawak.
Shariff Usman juga adalah tokoh kontroversi yang dianggap Pejuang Pertama di Sabah yang berani menentang dan mencabar pertuanan British di Sabah.Beliau adalah pemerintah Marudu di Utara Negeri Sabah. Isterinya yang pertama bernama Dayang Cahaya iaitu kerabat atau anak Sultan Sulu, seorang wanita cantik yang putih melepak. Orang-orang Marudu menggambarkan Dayang Cahaya sebagai berikut " apabila dia makan nasi, nasi akan nampak lalu masuk dalam kerongkongnya". Bayangkanlah putihnya Dayang Cahaya ini.
James Brooke sewaktu berperang dengan Shariff Usman pernah meminta Shariff Usman agar memperlihatkan wajah Dayang Cahaya sebagai syarat damai gencatan senjata. Shariff Usman enggan dan sebaliknya hanya memperlihatkan tangan Dayang Cahaya dari sebalik dinding istananya.
James Brooke sebenarnya mencari seorang wanita Inggeris iaitu adik ipar Gabenor General Syarikat Hindia Timur Inggeris ( SHTI ) di India yang didakwanya disembunyikan oleh Shariff Usman.
Pangeran Yusop ( bapa mertua Sultan Brunei ) di Kimanis adalah sahabat baik Shariff Usman dan terlibat sama menentang penjajahan British di negeri Sabah bersama-sama Shariff Usman.
Shariff Usman dikatakan terbunuh di Kubu Marudu tetapi mayatnya gagal ditemui. Ada pendapat mengatakan beliau tidak terkorban sewaktu perang Marudu 1845 dan makam yang ada di Kubu Marudu adalah makam Shariff Merum, anak Shariff Usman. Laporan British hanya menyebutkan antara yang terbunuh di Kubu Marudu  ialah tiga orang keturunan Arab ( Syariff ) dan Syariff Usman hanya cedera. Pihak British mendakwa Shariff Usman akhirnya akan mati berdasarkan maklumat seorang perempuan yang  ditemui dalam keadaan lemah di Kubu Marudu. Perempuan itu mendakwa Shariff Usman cedera dan telah dibawa keluar dari kubu oleh pengikutnya.Hingga sekarang hanya ada tiga nisan lelaki dan satu nisan perempuan terpacak di Kubu Marudu.
Persoalannya? benarkah Shariff Usman terbunuh di Marudu? dan siapakah Dayang Cahaya? dan kenapa James Brooke beriya-iya ingin melihat wajah Dayang Cahaya ?
Sandokan pula adalah watak utama Novel Sandokan yang akhirnya difilemkan yang amat popular di Eropah khususnya di Itali, Jerman, Perancis dan negara-negara lain. Novel Sandokan ditulis oleh Salgari seorang penulis Itali pada tahun 1883-1884. Kisah Sandokan adalah berkisar kepada seorang hero yang akhirnya menjadi lanun kerana negerinya MALLUDU ( MARUDU ) telah dimusnahkan oleh Inggeris pada tahun 1845. Sandokan adalah anak kepada Sultan MALLUDER ( MALLUDU ).Sandokan juga dikenali sebagai The Tiger Of Malaya.

Sandokan mempunyai seorang sahabat karib yang sama-sama menentang Inggeris yang dianggap dalam novel ini sebagai penjajah dan watak jahat. Dalam novel ini, watak Raja James Brooke, Raja sarawak juga menjadi musuh utama Sandokan.
Sandokan mencintai seorang wanita Inggeris yang merupakan anak saudara kepada Raja James Brooke Sarawak. Banyak kisah-kisah pengembaraan Sandokan dan sahabatnya ke serata pelusuk dunia.
Persoalannya?, kenapa latar cerita kedua-duanya adalah merujuk kepada negeri yang sama iaitu MARUDU yang sekarang dikenali sebagai Kota Marudu. Jalan cerita, watak-watak, latar masa, latar tempat semuanya adalah sama atau hampir sama. Ini bererti Novel Sandokan adalah merujuk kepada watak Shariff Usman Marudu.
Justeru itu, kalau orang Eropah mendewa-dewakan dan mengagumi Sandokan, kenapa kita masih meminggirkan dan tidak mendaulatkan perjuangan Shariff Usman?. Shariff Usman masih dianggap lanun sehingga waris keturunannya pun menyembunyikan identiti diri.
Ramai waris Shariff Usman di Kota Marudu, di Sugut, di Kudat, di Kinabatangan dan di serata negeri Sabah seakan melupakan perjuangan moyang mereka.
Ada juga pihak di negeri Sabah mendakwa bahawa Sandokan adalah moyang mereka dan mereka mengakui bahwa watak dan nama Sandokan sebagai wujud dan benar-benar ada. Sandokan dipercayai berasal dari Marudu dan berhijrah ke Melapi, Kinabatangan. Peliknya novel ini memasukkan nama Limau-limauan di Teluk Marudu dalam Novel Sandokan yang menjadi Pusat Pemerintahan Marudu selepas era Shariff Usman.
Jadi?... adakah Sandokan itu adalah nama lain kepada Shariff Usman? tepuk dada tanya warisnya.
Adakah Shariff Merum atau Shariff Rum yang terkorban di Kubu Marudu adalah Shariff Usman yang sebenarnya?.Adakah Dayang Cahaya yang menjadi isteri Shariff Usman adalah orang yang sama iaitu wanita Inggeris yang menjadi isteri Sandokan?.
Kamu ah....budak-budak UMS, buatlah kajian betul-betul dan selongkar sejarah negeri Sabah ni. Siapa lagi kalau bukan kamu? kamu mau tunggu urang putih lagi buat kajian.
Cuba pula kaji nama seorang lagi tokoh yang amat dikagumi oleh Inggeris iaitu Shariff Yassin. Syariff Yassin berpindah ke Sugut setelah kejatuhan Kerajaan Marudu dan memungut cukai di Sugut. Kegagahan dan kepahlawanan beliau melawan Ketua Lanun bernama MEMADAM yang merampas sebuah kapal Inggeris di perairan Sugut. Syariff Yasin merampas kapal tersebut dan menyelamatkan tawanan berbangsa Inggeris. Peristiwa ini disiarkan oleh akhbar-akhbar dunia ketika itu di Britain, Hong Kong dan Singapura.
Satu rahsia yang tidak diketahui Inggeris, Shariff Yassin dikatakan oleh Inggeris sebagai pengikut Syariff Usman, wal hal beliau sebenarnya adalah anak Syariff Usman yang berpindah ke Sugut dan menjadi Ketua atau pemerintah di Sugut.
Shariff Yassin di hari tuanya telah kembali ke kampung halamannya di Marudu dan meninggal di Tandek.Tempatnya di Sugut digantikan oleh anak sulungnya juga seorang Syariff.....lain kali aku sambung cerita jika ada waris dari Sugut yang memberi ulasan.
Sejarah mencatatkan, " 1851, six years after..battle of Marudu, Syariff Usman son Hassan give to the British..St John a list that show how many families.....of Syariff Osman". Catatan ini menyebutkan bahawa rekod Salasilah dan keluarga Syariff Usman telah diserahkan kepada British dan masih dalam simpanan rekod sejarah di London.
Isteri lain + Syariff Usman + Puteri Sulu ( anakanda Sultan Pulalun ) isteri pertama Syariff Usman.
1.Syarifa Loya ( Lauyah ) anak perempuan syariff Usman
2.Syariff Hassan anak Syariff Usman yang menyerahkan rekod keluarga kepada British.
3.Syariff Yassin anak syariff Usman yang berkahwin dengan anak Sultan Sulu iaitu adik perempuan Sultan Jamalul Alam.
Syariff Yassin mempunyai 4 isteri, anaknya Syariff Hussin berkahwin dengan anak Syariff Datu Mohamad Israel ( Ketua Penguasa di Sungai Sugut ). Syariff Yassin telah menjadi Ketua di Sugut selepas era perang Marudu menggantikan bapa mertuanya. Sewaktu di Sugut, Syariff Yassin telah merebut sebuah kapal British yang dirompak oleh Mamadam dan menyelamatkan beberapa orang British. Syariff Yassin telah menyimpan kapal tersebut di sungai Sugut dan menyerahkannya berserta anak kapal yang selamat dengan baik kepada British.
Nama Syariff Yassin terkenal di serata Nusantara dan dilaporkan dalam beberapa akhbar di London, Singapura dan Hong Kong.
Syariff Yassin akhirnya berpindah ke Talaga di Pitas Teluk Marudu. Ketua Pemerintah di Marudu diambil alih oleh Haji Abdul Rahim ( keluarga ) di Limau-Limauan Kudat, Ketua Pemerintah di Sungai Sugut diambil alih oleh Syariff Hussin anak Syariff Yassin.
Ramai waris Syariff Usman di Kudat, Kota Marudu, Sugut, Sandakan dan Pitas.
Siapakah bapa...Syariff Usman...?
Bolehkah seorang penghijrah dari luar ruang lingkup kekuasaan Kesultanan Borneo-Sulu-Magindanao khususnya dari Perak atau Malaya mampu membentuk sebuah "Marudu Empire" hanya dalam beberapa tahun sahaja ?,
Adakah Kesultanan Borneo begitu lemah dan bolehkah orang-orang Bajau-Suluk-Sungai-Dusun dan lain-lain suku bangsa yang menjadi tentera dan Panglima Perang Syariff Usman menerima orang Perak sebagai Raja mereka atau "King Of Marudu Empire"?.
Berdasarkan kajian saya, memang ada seorang Usman yang berasal dari Perak yang datang ke Kota Marudu, tetapi Usman ini telah berhijrah ke Kota Marudu lebih kurang 50-60 tahun selepas era Perang Marudu. Beliau tidak ada kaitan dengan Syariff Usman Marudu.
Dalam huraian akan datang, saya akan dedahkan siapa ayahanda atau bapa Syariff Usman, bagaimana hubungan keluarga Syariff Usman dengan Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu dan Kesultanan Magindanao.
Dalam Cerita Lagenda Syariff Usman yang diturunkan secara turun temurun dan disampaikan oleh Orang Kaya Kaya OKK Ali Yassin ( Allahyarham ), mantan Ketua Daerah Kota Marudu pada tahun 1997, Syariff Usman disebutkan sebagai berketurunan Bajau dan berusia lingkungan 40an sewaktu Perang Marudu 1846. Syariff Usman disebutkan seorang yang berkulit hitam manis dan tingginya dalam 6' 2". Suaranya keras dan garang.....

Apa yang ada direkodkan, Syariff Ali adalah salah seorang Ketua di kawasan Bandau (Marudu ) selepas era Perang Marudu 1846. Setengah sumber mengatakan Syariff Ali adalah anak Syariff Shee. Syariff Shee adalah antara para Syariff yang terkorban dalam Perang Marudu dan ada makamnya di kawasan Kubu Marudu. Syariff Shee adalah sahabat karib Syariff Usman dan antara sahabat dan Panglima Kanan Syariff Usman.
Ada 10 orang Panglima Kanan atau Ketua Perang Syariff Usman sewaktu Perang Marudu dahulu.
Kampar yang dirujuk sebagai Negeri Syariff Usman tu adalah satu lokasi di Marudu. Letaknya di Tepi Sungai Kampar pertemuan dengan Sungai Besar. Sekarang kawasan tu dah di tenggelami pasir dan anak sungai Kampar masih dirujuk sebagai Sungai Kampar oleh orang-orang Kota Marudu. Sungai Kampar salah satu cabang Sungai Langkon, Sungai Marudu dan Sungai Balagaton.
Kampar yang dimaksdukan sebagai negeri asal Syariff Usman bukanlah Kampar di Perak atau Kampar di Riau Sumatera tetapi Kampar di Marudu. Sehingga sekarang nama Kampung Kampar masih ada di Kota Marudu dan antara Kampung yang terletak dalam kawasan Zon Perang Marudu era Syariff Usman.
Peranan Suku Kaum Ilanun dan Bajau dalam abad ke 17-19 malahan lebih awal dari itu di Asia tenggara memang besar. Mereka terlibat dalam banyak aktiviti perang laut sehingga ke Siak,Sulawesi,Selat Melaka, Kepulauan Sulu,Borneo malahan sehingga ke sempadan Burma, Siam dan India. Malahan Raja Kecil Besar Siak ( Waris Sultan Melaka ) pernah bergabung belayar bersama orang Bajau.Kesultanan Johor juga disebutkan ada seorang Raja Bajau bernama Yam Tuan Muda Raja Bajau yang berperang dengan Raja Kecil Besar berebutkan seorang Puteri.
Justeru keganasan dan kehandalan mereka di lautan maka muncullah istilah LANUN dan BAJAK LAUT dalam perbendaharaan Bahasa Melayu yang merujuk kepada orang Ilanun dan Bajau Laut yang bermaharaja lela dan mengganas di Lautan Asia tenggara.
Nama Kampung Kampar diambil sempena nama Sungai Kampar di Marudu.Nama Sungai Kampar telah wujud lebih awal dari SYariff Usman.
Menurut sumber dari Kg.Marudu ( Karuput dan Aliyassin ) iaitu keturunan Syariff Usman yang menjaga Makam Syariff Usman turun-temurun, Syariff Usman berasal dari Kagayan/Sulu. Syariff Sheh berasal dari Arab dan menjadi guru agama ( Mubaligh ) serta sahabat Syariff Usman. Mereka berdua masuk ke Borneo ( Sabah ) melalui Sugut.
Nama asal Syariff Usman ialah Syariff Usman Indal Lana.Beliau mempunyai seorang adik bernama Syariff Syariff Kaldi Indal Lana.Kedua beradik ini mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi dan pahlawan yang gagah berani.

10 Panglima Perang Syariff Usman :

1.Syariff Shee
2. Syariff Yassin
3.Syariff Hassan
4.Syariff Pompugan
5.Syariff Hassan Tabasan
6.Syariff Ali
7.Syariff Merum
8. Syariff Abdullah
9. Syariff Idrus
10. Syariff Kaldi

Anak Syariff Usman ada ramai . Mengikut cerita lisan, ada 24 orang isteri Syariff Usman. Catatan British merekodkan bahawa Syariff Yassin pernah tinggal di Telaga sebelum balik ke Tandek. Makam Syariff Yassin perlu dikaji sama ada di Tandek atau di Torong Sepongoh
Semua 10 orang atau lebih Syariff-syariff tu ada kaitan keluarga dengan Syariff Usman. Salah seorang dari 10 orang itu ialah Syariff Idrus bapa mertua Syariff Yassin.
Ada orang pernah bertemu secara alam ruh dengan Syariff Usman menggambarkan bahawa Syariff Usman seorang yang tinggi lampai, berkulit hitam manis ( Irom atau Ma Irom bilang bahasa Bajau/Kagayan/Suluk ),matanya garang, keningnya lebat, mukanya lonjong atau panjang,misainya tebal melentik, bajunya lengan pendek seperti jaket, di lengannya ada ikatan kain, bertanjak dan berseluar ala gaya Suluk.Syariff Usman diiringi oleh seorang lelaki lain bertubuh sedikit rendah. Beliau bertemu selepas menziarahi makam Syariff Usman yang terletak beberapa ratus meter dari kawasan kuburan di dalam Kubu. Mungkin ada nak cucunya yang seiras dengan gambaran yang saya berikan.
Ertinya makam Syariff Usman bukan di dalam Kubu Marudu.

Source : Geliga Kinabalu (Posting dan soal jawab)




1 comment: