PERKAMPUNGAN Bagahak yang terletak di dataran tinggi begitu
mendamaikan, apatah lagi tanah-tanihnya subur untuk penanaman padi huma. Ketua
mereka, Lamugong memerintah dengan adil sehingga kampung tersebut aman
tenteram, penduduknya menolong dan berkasih sayang.
Pada suatu pagi yang cerah, selepas menjemur padi huma,
Lamugong menuruni dataran tinggi untuk mencari kimah (sejenis tiram) di laut
yang berdekatan dengan kampung mereka. Ketika sibuk mencari kimah yang semakin
banyak kerana air mula surut, Lamugong terdengar bunyi bising ayam jantan dan
apabila dilihat beberapa ekor ayam jantan sedang mengajak ayam betina memakan
padi sambil mencakar padi tersebut.
Lamugong melemparkan satu kimah yang besar ke arah ayam
tersebut. Kimah itu jatuh berdekatan tempat dia menjemur padi sehingga ayam
tersebut bertempiaran lagi menyelamatkan diri.
Lalu Lamugong segera balik ke kampungnya membawa kimah yang
banyak untuk dibahagi-bahagikan kepada seluruh penduduk kampungnya.
Kimah yang jatuh berdekatan halaman rumahnya menjadi sebuah
lubang besar seakan-akan lesung menumbuk padi. Lamugong hanya tersenyum bangga
kerana memikirkan kekuatannya melemparkan kimah tersebut sehingga terbenam
hampir tiga kaki di dalam tanah yang pejal.
Memandangkan padi yang dijemur sudah kering, maka Lamugong
mengambil padi tersebut untuk ditumbuk di dalam lesung kayu belian yang
dibuatnya setahun lalu. Ketika asyik menumbuk padi, seluruh penduduk kampung
datang mengerumuni Lamugong untuk mengkhabarkan bahawa mereka menemui satu
keajaiban.
"Saya yang lempar kimah itu!" akui Lamugong bagi
memecah kebuntuan penduduk kampung yang menyangka kimah berkenaan datang dari
langit kerana kudrat orang biasa tidak boleh melempar kimah yang begitu besar
ke atas sebuah bukit yang agak jauh dari pantai, apatah lagi sampai terbenam
dan menghasilkan lubang besar. Semua penduduk kampung mengurut dada lega kerana
bimbangkan bala yang akan mereka terima.
"Oleh kerana kampung kita ini belum ada nama, macam
mana kalau kita namakan Bulud Sung," cadang Lamugong sempena lubang yang
terjadi seperti lesung, apatah lagi kebetulan beliau sedang menumbuk padi di
lesung.
Semua penduduk kampung gembira dan bersetuju untuk menamakan
kampung mereka sebagai Bulud Sung atau Bukit Lesung sempena kejadian aneh
tersebut.
Namun kegembiraan mereka tidak lama apabila satu kumpulan
Dayak atau Sagai yang suka mengayau (memotong kepala) menyerang kampung mereka
yang aman damai tersebut sehingga ramai penduduk kampung mati dan kepala mereka
diambil. Tambah mengerikan lagi apabila mereka yang melarikan diri berselindung
di hutan menyaksikan Sagai tersebut merebus dan memakan daging rakan mereka
sebelum merampas padi dan segala harta yang boleh digunakan.
Lamugong yang pada mulanya cuba melawan Sagai berkenaan
akhirnya mengambil keputusan untuk membawa anak buahnya bersembunyi di hutan
kerana Sagai tersebut terlalu ramai dan ganas memenggal kepala seperti mengetam
padi huma.
Apabila Sagai yang bertelinga panjang sampai ke dada
tersebut beredar setelah kenyang memakan daging manusia, maka Lamugong kembali
ke kampung Bulud Sung bersama penduduk yang lain dan mereka mengambil keputusan
untuk tidur di sebuah rumah yang besar sebagai langkah berjaga-jaga bimbang
kalau-kalau Sagai berkenaan menyerang lagi.
Lamugong sedih kerana lebih tiga puluh orang penduduk
kampung tersebut mati dibunuh dan tidak dapat dikenali kerana kepala mereka
telah dipenggal dan dibawa lari oleh Sagai dan sebahagian anggota hilang
dimakan. Lamugong hanya sempat membunuh tiga orang Sagai yang cuba
menghalangnya ketika berundur ke hutan dan dua orang Sagai lagi mati disumpit
penduduk kampung yang bersembunyi di atas pohon ara.
Memandangkan kampung tersebut musnah akibat serangan Sagai
dan merasakan tidak lagi selamat tinggal di situ, maka Lamugong mencadangkan
kepada pengikutnya agar berpindah bagi menyelamatkan nyawa kanak-kanak dan
perempuan yang tidak berdaya mempertahankan diri.
"Saya pernah sampai satu tempat yang cantik tapi belum
ada orang tinggal. Tapi kita kena pakai rakit mau seberang sungai. Saya rasa di
sana selamat kerana jauh dari sini," tegas Lamugong yang menyaksikan
penduduk kampung hanya menganggukkan kepala sebagai tanda persetujuan.
Lamugong mengarahkan sepuluh orang pemuda merintis jalan dan
membuat rakit terlebih dahulu bagi memudahkan mereka menyeberangi sungai yang
berbuaya tersebut, sementara penduduk kampung mengemaskan barang keperluan yang
masih tinggal dan sisa-sisa padi yang berhamburan di tanah.
Tiga hari kemudian setelah meminta restu Tuhan Yang Maha
Kuasa, bertolaklah Lamugong bersama lebih enam puluh orang pengikutnya termasuk
dua puluh lima orang kanak-kanak melalui denai yang dirintis oleh sepuluh orang
pemuda tersebut.
Namun mereka terpaksa berhenti rehat beberapa kali kerana
kaum wanita dan kanak-kanak keletihan. Malamnya mereka berkhemah di tepi anak
sungai dan Lamugong terpaksa bergilir-gilir mengawal keselamatan pengikutnya
yang tidur keletihan.
Esoknya ketika embun belum kering daripada daun, Lamugong
dan pengikutnya menyambung perjalanan setelah mengalas perut dengan tiga ekor
babi hutan panggang yang diburu oleh tiga pemuda semalam. Mereka terpaksa
bermalam sekali lagi di tebing sungai kerana hari telah gelap dan keletihan
berjalan sehari suntuk.
Hujan lebat pada malam itu meresahkan Lamugong kerana
bimbang rakit mereka akan hanyut, apatah lagi semua pengikutnya basah kuyup.
Lamugong mengarahkan pengikutnya menaikkan rakit buluh ke darat dan mengikatnya
dengan rotan diperdu sepohon bambangan.
Keesokan paginya, para pengikutnya berjaya menyeberang
sungai berbuaya tersebut setelah merentang rotan manau di sebelah menyebelah
sungai berkenaan sebagai langkah keselamatan dan meneruskan perjalanan ke
lokasi yang dipilih oleh Lamugong. Mereka hanya meredah belukar kecil tanpa
meninggalkan sebarang bekas bagi mengelakkan Sagai mengesan mereka ke-rana
jejak mereka ada di sebelah sungai.
Buluh yang digunakan untuk dibuat rakit dirungkaikan dan
setiap pemuda memikul sebatang untuk perkakas membuat pondok, sementara
mendirikan sebuah rumah besar untuk kediaman mereka. Rotan manau yang merentas
sungai turut dirungkai dan digulung untuk dibuat tali pengikat gelagar rumah.
Lamugong memilih sebuah bukit yang agak curam sebagai tapak
rumah mereka yang dapat melihat sebarang pergerakan penceroboh dari seberang
sungai. Setelah seminggu, siaplah sebuah rumah besar yang diperbuat daripada
kayu keras dan atapnya daripada lalang yang dianyam rapi dan dindingnya kulit
kayu bercampur buluh yang dianyam.
Hiduplah mereka aman damai di kampung baru yang dinamakan
Tungku sempena nama sungai yang dijumpai oleh seorang lelaki iaitu Tungku.
Tanah subur tersebut memberikan hasil lumayan apatah lagi
lokasi yang dipilih terletak di kawasan lembah sungai yang dahulunya sering
banjir.
Namun panas yang diharapkan tidak sampai ke petang, apabila
hujan panas di tengah hari. Pada suatu malam rumah besar mereka diserang sekali
lagi dan lima orang terbunuh manakala yang lainnya sempat menyembunyikan diri
di dalam hutan. Kumpulan Sagai tersebut segera meninggalkan rumah besar bersama
lima kepala dan barang makanan bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran sumpitan
dan anak panah Bagahak. Mujur rumah besar tersebut tidak dibakar.
Lewat subuh barulah Lamugong dan pengikutnya keluar dari
persembunyian dan terus mengadakan mesyuarat. Para pengikutnya mencadangkan
mereka berundur jauh ke dalam hutan sekali lagi bagi mengelakkan serangan
Sagai. Namun Lamugong tidak bersetuju kerana mereka tidak lagi mampu melarikan
diri sebaliknya bertahan dan melawan secara bijak.
Akhirnya mereka sepakat mencapai persetujuan untuk menetap
dan menerima cadangan Lamugong untuk membina perangkap bagi menghadapi serangan
Sagai atau kumpulan lain.
Keletakan rumah mereka di bukit curam memudahkan mereka
memasang perangkap yang dibuat daripada kayu balak bulat yang diikat dengan
rotan manau pada tiang belian yang ditanam dalam. Seluruh curam bukit berkenaan
digantung balak bulat sebagai persediaan. Segala hasil tanaman mereka
disorokkan di dalam lubang besar yang ditutup dengan buluh dan semak samun.
Tidak puas dengan hasil perburuan mereka, Sagai datang
menyerang lagi. Kali ini Lamugong dan pengikutnya telah bersedia menghadapi
serangan tersebut. Lamugong mengarahkan pengikutnya agar membiarkan kumpulan
Sagai tersebut memanjat tebing tinggi menuju ke rumah besar mereka. Apabila
sampai di pertengahan, Lamugong menyuruh pengikutnya menetak rotan manau yang
mengikat kayu balak sebesar dua pemeluk. Kayu tersebut bergolek ke bawah bukit
dan ramai Sagai mati digelek kayu atau terjatuh ke gaung ketika mengelak dari
ditimpa kayu balak.
Kumpulan Sagai tersebut berundur dan Lamugong beserta
pengikutnya bersorak girang kerana tidak ada seorang Sagai yang berjaya
memanjat bukit dan melepasi perangkap ciptaan Lamugong. Namun Lamugong segera
menasihati pengikutnya agar waspada kerana mungkin Sagai akan menyerang balik.
Malam itu tidak ada apa yang berlaku dan semua pengikut Lamugong tidur lena
melainkan Lamugong dan beberapa pemuda yang tidur-tidur ayam bersilih ganti
mengawal rumah besar itu dari serangan musuh.
Keesokan paginya seluruh penghuni rumah panjang tersebut
terkejut kerana Kumpulan Sagai telah mendirikan khemah di bawah bukit dan
bersedia melakukan serangan balas. Lamugong semakin bimbang kerana kumpulan
Sagai tersebut kelihatan lebih yakin dan bersedia dengan tipu muslihat mereka.
Beberapa pemuda mencadangkan agar melakukan serangan hendap dengan mengepung
kumpulan Sagai berkenaan, namun Lamugong membantah kerana tidak mengetahui
berapa ramai anggota kumpulan Sagai yang mungkin sebahagiannya bersembunyi di
dalam hutan atau bersedia di kumpulan kedua jika kumpulan pertama tewas.
Lamugong semakin risau kerana kumpulan Sagai tersebut tidak
melakukan sebarang serangan atau cuba memanjat bukit sebaliknya hanya
bersembang sesama mereka dan beberapa orang daripada mereka mengikis kayu
mengkirai. Lamugong serba salah kerana sehari suntuk duduk memerhati gerak geri
musuh di bawah bukit sehingga terlupa menjamah ubi kayu rebus dan daging babi
panggang yang diletakkan di sininya.
Oleh kerana keletihan, Lamugong terlelap sebentar ketika
bersandar di tiang tepi beranda rumah besar itu.
"Apiii! Apiiii!"
Lamugong terkejut dari lena apabila mendengar beberapa
pemuda berteriak dan menyebut api?api? Alangkah terkejutnya Lamugong apabila
atap daun lalang rumah besar itu terbakar, benar-benar di atas kepalanya. Dia
segera bingkas bangun dan mengarahkan pengikutnya keluar dari rumah tersebut
dan mencapai apa yang sempat dibawa kerana api marak dengan cepat oleh angin
petang yang bertiup agak kencang.
Betapa kecewanya Lamugong kerana rumah besar kebanggaannya
hasil titik peluh seluruh pengikutnya hangus terbakar dalam sekelip mata
sahaja. Kumpulan Sagai di bawah bukit bersorak girang kerana berjaya membalas
dendam di atas kematian rakan mereka.
Barulah Lamugong sedar bahawa dirinya tertipu dan alpa
dengan helah musuh yang menyediakan jamung daripada kayu mengkirai yang ringan
dan mudah terbakar ketika pihaknya duduk bersenang lenang membuang masa
memerhatikan musuh.
Lamugong semakin cemas kerana kumpulan Sagai mula mendaki
bukit yang kini tidak mempunyai sebarang perangkap lagi kerana semuanya hangus
terbakar termasuk tiang tempat mengikat kayu balak. Lamugong mengarah
pengikutnya berundur dan bersembunyi di dalam hutan.
Tiba-tiba kedengaran riuh rendah di bawah bukit oleh
tingkahan dan bunyi loceng dan gendang perang. Lamugong yang sudah hampir ke
hutan, berpatah balik ke rumah yang terbakar untuk melihat apa yang berlaku.
Para pengikutnya mengikuti Lamugong dari belakang dan
bersorak riang apabila melihat kumpulan Sagai itu lagi bertempiaran dikejar
oleh orang Irranun yang tinggal berhampiran sungai Tungku.
Bunyi loceng pada 'Kampilan' (tombak berloceng) dan gendang
perang yang dibawa orang Irranun menakutkan kumpulan Sagai. Ramai Sagai mati dibunuh
oleh orang Irranun yang diketuai oleh Datu Kabugatan dan dibantu oleh Datu
Kasilan.
Lamugong memeluk Datu Kabugatan dan Datu Kasilan lalu
bersumpah dan mengakui persaudaraan dengan orang Irranun di atas pertolongan
mereka yang menyelamatkan Lamugong dan pengikutnya yang hampir menjadi mangsa
Sagai. Sejak daripada itu, tidak ada lagi kumpulan Sagai yang berani datang ke
Tungku kerana takutkan orang Irranun dan bunyi 'Kampilan' yang membingitkan
telinga besar mereka yang berlubang digantung subang berat.
Source : Ceita Lagenda & Mitos
No comments:
Post a Comment