Monday, 29 December 2014

LEGENDA EMPAT MATA


ADA suatu ketika dahulu sebelum Sabah bernama Sabah dan sebelum manusia mengenal kemajuan, tinggal dua beradik, Empat Mata dan Tunggal Mata di  Bukit  Garam berdekatan sebatang sungai yang sentiasa keruh airnya kerana berbuaya (Sungai Kinabatangan).

Dua beradik ini bukan sebarangan manusia kerana Empat Mata bermata empat iaitu dua di hadapan dan dua di belakang kepala sehingga boleh melihat 360 darjah. Manakala Tunggal Mata hanya mempunyai sebutir biji mata di tengah-tengah dahi seperti Dajjal yang digambarkan akan hadir di akhir zaman atau jin mata satu yang menjadi watak komik seram.

Empat Mata dan Tunggal mata menjadi pemimpin setempat yang begitu berpengaruh kerana mempunyai kuasa yang luar biasa dan tidak mempunyai sifat tolak ansur dan peri kemanusiaan terhadap pengikutnya.

Sungai yang menjadi laluan utama ke beberapa penempatan di ulu sungai telah dibenteng dengan manusia sehingga tidak ada perahu yang boleh melepasi hadangan manusia yang berbaris di dalam air dan berpegangan tangan antara satu sama lain kelihatan seperti tembok konkrit. Hanya yang membayar cukai sahaja dibenarkan melalui sungai berkenaan, manakala yang cuba melawan akan menemui maut.

Kekejaman Empat Mata dan Tunggal Mata begitu merisaukan para penduduk sekitar kerana mereka mengarahkan penduduk kampung menuai padi dengan memetik sebutir demi sebutir padi tanpa menjatuhkannya ke tanah dan tidak boleh menggunakan pengetam padi. Jika mereka gagal memetik butir demi butir alamatnya mereka akan kehilangan sebelah telinga sebagai huku-man dan andai ada yang enggan mematuhi arahan akan menemui ajal di tangan Empat Mata sehingga para penduduk hidup dalam ketakutan yang amat sangat.

Walaupun kejam, namun Empat Mata merupakan seorang pengukir yang handal. Pada suatu hari Empat Mata telah membina sebuah keranda dan mengukir bahagian luar keranda tersebut dengan rekabentuk ukiran yang menarik dan menakjubkan. Apabila keranda tersebut telah siap, Empat Mata meletakkannya di atas para-para bagi mengelakkan dimakan anai-anai.

"Wah! Cantiknya, mana kau dapat katil ini?" ujar Tunggal Mata berseloroh ketika melawat abangnya yang sering menghindar daripada menemuinya yang sibuk mengawasi penduduk kampung menuai padi dengan jari.

"Aku bikinlah," getus Empat Mata dengan bangga sambil melirikkan senyuman sehingga kumisnya terjueh ke atas.

Tunggal Mata begitu kagum dengan reka bentuk dan kehalusan seni ukiran abangnya lalu hatinya berdetak ingin memiliki keranda tersebut.

"Kasi sayalah, boleh saya pakai nanti. Abang bikin lainlah..," rayu Tunggal Mata memujuk abangnya yang kelihatan mendenguskan nafas seakan marah kerana penat lelah belum hilang, tiba-tiba Tunggal Mata meminta keranda yang dibuatnya.

Namun Empat Mata enggan menyerahkan keranda tersebut kerana dia menyediakan keranda tersebut untuk dirinya agar  selamat sampai ke akhirat kelak dan akan dipandang mulia di sana kerana memiliki keranda berukir.

"Kasilah..!."

"Tidak boleh, kalau mau bikinlah sendiri," balas Empat Mata.

Keadaan ini kemudiannya mencetus perbalahan lisan sesama mereka sehingga hampir mencetuskan pergaduhan. Tunggal Mata berazam untuk melenyapkan abangnya dari muka bumi kerana beranggapan tidak boleh ada ular dua kepala.

Apatah lagi abangnya selalu membuli dirinya yang selalu mengalah, tetapi kali ini dia akan pastikan Empat Mata tumpas di tangannya sendiri.

"Kalau abang terlampau sayang sama keranda ini, kenapa abang tidak cuba. Muatkah tidak sama abang? Kalau tidak muat, kasilah sama saya?" ujar Tunggal Mata ibarat memasang umpan di mata kail yang tidak terlihat oleh Empat Mata.

Pertelingkahan mereka menarik minat para pengikutnya untuk datang melihat dari dekat dua ekor singa yang sedang galak mau menyerang antara satu sama lain.

Pengikut Tunggal Mata semakin ramai datang mengerumuni kawasan tersebut sehingga  Empat Mata merasa tercabar mahu membuktikan kepada para pengikutnya bahawa keranda itu miliknya dan boleh memuatkan batang tubuhnya.

"Baiklah aku masuk, tapi janji kalau ngam sama aku kau jangan minta lagi," kata Empat Mata mempersetujui cadangan adiknya tanpa mengesyaki muslihat Tunggal Mata.

Sebaik sahaja Empat Mata membaringkan dirinya di dalam keranda, Tunggal Mata memasang penutup keranda lalu mengisyaratkan para pengikutnya yang berkerumun membelit keranda tersebut dengan rotan beberapa kali sehingga yakin Empat Mata tidak dapat terlepas dari keranda tersebut.

"Hoi, buka!" tempik Empat Mata yang meronta-ronta di dalam keranda, namun oleh kerana dibuat dari kayu belian maka Empat Mata gagal melepaskan diri daripada keranda tersebut, apatah lagi dililit dengan bergulung rotan sehingga gajahpun tidak akan terlepas.

"Abang bilang abang punya keranda, abang bukalah sendiri, saya mana tau buka," teriak Tunggal mata sambil tersengih memanjang.

"Tidak boleh buka, macam kena ikat?tolonglah, nanti aku bagi sama kau," pinta Empat Mata lagi menagih simpati kerana nafasnya semakin sesak dan suasana di dalam keranda begitu kelam, tanpa sekilas cahaya.

"Ha!Haaa! Inilah orang bilang senjata makan tuan. Tidak apalah, abang jangan takut. Oleh kerana abang sudah masuk ke dalam, anggap sahajalah abang sudah mati?Jangan bimbang, kami tolong hantar abang ke kuburan. Tidurlah," jerit Tunggal Mata dan diiringi gelak tawa pengikutnya dan para penduduk yang bersorak gembira kerana Empat Mata sedang berjuang dengan maut di dalam keranda yang dibuat dengan tangannya sendiri.

"Celaka kau, pengkhianat?nahas kau nanti kalau aku sudah keluar," bentak Empat Mata.

"Silakanlah keluar wahai kekandaku Empat Mata, maut menunggu di hadapan mata," kata Tunggal Mata mengejek.

Kedengaran Empat Mata meronta dari dalam keranda sehingga bergolek ke kiri dan ke kanan, seketika kemudian semakin perlahan dan selepas itu kaku. Tidak lama kemudian suara Empat Mata tidak kedengaran lagi dari dalam keranda berkenaan, namun Tunggal Mata yakin abangnya belum mati dan hanya pengsan seketika kerana kekurangan udara.

Tunggal Mata kemudiannya mengarahkan pengikutnya mem-bawa keranda yang mengandungi batang tubuh Empat Mata yang entahkan hidup atau mati ke Gua Gomantong lalu digantungkan terawang-awang di bumbung gua dengan rotan.

Masih kedengaran suara lemah Empat Mata di dalam keranda berukir berkenaan, tetapi tidak ada sesiapa yang mempedulikan rayuannya kerana mereka begitu taat kepada Tunggal Mata.

Setelah selesai mengikat kuat keranda tersebut di perabung awang-awangan gua Gomantong, semua mereka pulang ke Bukit Garam. Namun tidak lama kemudian ramai penduduk yang miskin mendatangi Gua Gomantong untuk meminta restu daripada keranda Empat Mata yang mungkin telah meninggal dunia pada waktu itu. Hanya mereka yang benar-benar miskin, terutama mereka yang tidak mempunyai sebarang peralatan dapur sehingga terpaksa makan di dalam tempurung kelapa yang mendapat kesenangan selepas menziarahi keranda Empat Mata.

Kematian Empat Mata telah membolehkan Tunggal Mata memerintah Bukit Garam dengan aman dan damai sehingga rakyat tidak lagi gusar kerana Tunggal Mata tidak sekejam abangnya, tambahan pula Tunggal Mata amat penyayang kepada kanak-kanak dan mudah mesra dengan seluruh penduduk di bawah jajahan takluknya.

Namun pemerintahan Tunggal Mata tidak lama kerana dia jatuh sakit, lalu meninggal dunia mungkin akibat ketulahan membunuh abangnya sendiri atau terkena sumpahan Empat Mata menjelang saat kematiannya di keranda berukir di Gua Gomantong. Tidak lama kemudian, isteri Tunggal Mata pula menyusul.

Tunggal Mata mempunyai dua orang anak iaitu Sitettak dan Darupak. Sitettak membesar sebagai seorang pahlawan perkasa hasil asuhan bapanya telah mengambil alih tugas Tunggal Mata sebagai pemerintah Bukit Garam, manakala Darupak semakin jelita dan menjadi rebutan ramai lelaki, namun Sitettak menentang setiap hubungan Darupak dengan lelaki kerana tiada siapa tahu apa yang tersirat di hatinya, ingin menjadikan adik kandungnya sebagai isterinya sendiri.

Pada suatu hari, Sitettak telah pergi ke Sungai Segama untuk berperang dengan suku kaum Dusun. Semasa ketiadaannya, Darupak telah ke Sungai Kinabatangan berdekatan rumah mereka di Bukit Garam untuk mandi kerana ketika itu musim kemarau dan perigi mereka kering kontang.

Ketika sedang leka berendam dan berenang di tepian tebing sungai yang keruh itu, sepasang mata sedang memerhati keindahan tubuhnya dari bawah air, semakin lama semakin hampir.

Tiba-tiba Darupak merasa tubuhnya tertarik ke bawah dan tercungap-cungap menggapai tangan memohon pertolongan, seketika kemudian hilang di tengah pusaran air lalu lemas dan tidak sedarkan diri lagi.

Buaya itu, Torongarek menggonggong tubuh Darupak di mulutnya yang berbaris gigi tajam berenang timbul tenggelam menghilir ke kuala Sungai Kinabatangan sehingga ke Batu Puteh lalu terserempak dengan Sitettak yang baru pulang dari Sungai Segama. Sitettak memang mengenali Torongarek berdasarkan hembusan nafas di air dan pergerakan Torongarek yang kelihatan riang gembira kerana memperoleh hasil buruan.

"Kenapa kau terlalu gembira?," tanya Sitettak.

"Aku dapat perawan, namanya Darupak," kata Torongarek yang boleh bercakap seperti manusia tanpa mengetahui bahawa Darupak adalah adik Sitettak atau bakal isteri Sitettak yang dibelai penuh kasih sayang sejak ayah dan ibu mereka meninggal dunia.

Sitettak tersintak kerana harapannya untuk memperisterikan adiknya sendiri musnah kerana adiknya kini telah mati tersengkang di rahang Torongarek.

"Cuba aku tengok macam mana cantiknya," pujuk Sitettak menahan debar di dada yang penuh muslihat untuk membunuh Torongarek yang tidak menyangka apa-apa.

"Janganlah kau tengok. Sudah mati bah dia. Aku mau kasi makan anak bini aku bah," kata Torongarek berdalih kerana curiga dengan permintaan Sitettak.

"Apa kau mau malu. Aku bukan mau ambil kau punya makanan. Aku mau tengok macam mana cantiknya perawan yang kau dapat tangkap. Wah hebatlah kau, nanti aku kasi tau kawan-kawan kau," umpan Sitettak sehingga keegoan Torongarek terjolok lalu merapati tebing sungai tempat Sitettak berdiri.

Sitettak tergamam, namun menguatkan semangatnya agar muslihatnya tidak dapat dibaca oleh Torongarek. Wajah adiknya masih ayu walaupun tersengkang di celah rahang Torongarek. Sitettak dipagut penyesalan kerana meninggalkan adiknya, apatah lagi apabila mendapati tubuh adiknya yang gebu dan bertelanjang bulat tidak bernyawa lagi di mulut Torongarek.

"Nah ambil kau, sial," getus Sitettak sambil merejamkan lembing sepantas kilat ke kepala Torongarek sehingga tubuh Darupak terlepas dari rahang Torongarek yang meraung kesakitan. Torongarek segera menyelam ke dasar sungai bersama lembing yang terlekat di kepalanya.

Sitettak segera mengambil tubuh Darupak yang terkulai layu dan dipenuhi bekas gigi Torongarek dan darah yang masih mem-buak dari dada Darupak. Sitettak menangis semahunya lalu mendakap erat tubuh Darupak.

Hatinya kesal kerana menyimpan hasrat untuk memperisterikan adik kandungnya sendiri. Mungkin inilah balasan Dewata kerana ingin mengelak mala petaka yang lebih besar jika Sitettak meneruskan hasratnya untuk menjadikan adiknya sebagai isteri. Sitettak menutup tubuh Darupak dengan baju dan kain yang dipakainya lalu mendukung Darupak pulang ke rumahnya.

Sebuah keranda yang hampir sama dengan keranda Empat Mata telah dibuat untuk menyimpan mayat Darupak. Kemudian keranda yang mengandungi tubuh Darupak tersebut dibawa ke Batu Puteh dan digantung di perabung gua Batu Puteh agar roh Darupak segera sampai ke syurga.

Ada yang mengatakan keranda tersebut adalah keranda yang dibuat oleh bapa saudaranya, Empat Mata. Sitettak pernah melawat Gua Gomantong bersama bapanya ketika mereka berburu lalu Sitettak diberitahu cerita sebenar di sebalik keranda misteri yang tergantung di Gua Gomantong.

Ramai yang sangsi dakwaan Sitettak kononnya dia membuat keranda tersebut semalaman ketika orang lain tidur lena, sedangkan tiga puluh orang pengikut setianya telah diarah membawa keranda berukir dari Gua Gomantong dan membuang tulang belulang Empat Mata ke dalam sungai. Ketika Empat Mata membuat keranda tersebut, ia mengambil masa selama hampir satu purnama

Sitettak kembali ke Bukit Garam untuk meneruskan pemerintahannya, namun tidak lama kemudian kehilangan pengaruh apabila ramai pengikutnya berhijrah ke tempat lain seperti ke Batu Supu, Batu Puteh, Sabangan dan kawasan berdekatan kerana Bukit Garam tidak lagi selamat didiami berikutan serangan musuh dan bencana alam.

Manakala Torongarek yang cedera parah berjaya balik ke sa-rangnya bersama lembing yang tertancap di sebelah kiri kepalanya. Hulu lembing Sitettak berjaya dipatahkan, namun mata lembing terbenam di kepala Torongarek, mujur tidak tembus ke otak.

Torongarek meminta anaknya mencari dukun manusia yang boleh mengubat luka di kepalanya kerana merasa kesakitan yang amat sangat dan semakin tidak tertahan bisanya.

Anak Torongarek berjaya menemui seorang dukun wanita bernama Sabulig Buling lalu membawa wanita tua itu ke tempat penginapan Torongarek. Mula-mula wanita tua itu enggan kerana bimbangkan keselamatannya, namun anak Torongarek memberi jaminan keselamatannya, maka Sabulig menutup mata, menahan nafas lalu duduk di atas belakang buaya itu. Seketika sahaja sudah sampai ke sarang tempat  Torongarek merengek kesakitan.

Atas usaha Sabulig, Torongarek telah sembuh dari lukanya dan mata lembing yang tertancap di kepala Torongarek berjaya dikeluarkan. Sebagai imbalannya, Torongarek berjanji akan men-jalinkan hubungan yang baik dengan anak cucu Sabulig dan bersumpah bahawa keturunan Torongarek dan suku sakat buaya di Sungai Kinabatangan tidak akan mengganggu Sabulig dan suku sakatnya.

Kini, setelah berabad lamanya, gua Batu Tulug di Batu Puteh yang terjadi pada akhir zaman Oligacene dan awal zaman Miocene iaitu kira-kira 20 hingga 25 juta tahun lalu mempunyai lebih 127 buah keranda yang kebanyakannya berukir dan satu daripadanya agak ganjil kerana ukiran tersebut tidak pernah ditemui di mana-mana kesan arkeologi selain daripada Gua Batu Tu-lug yang menjadi tempat Sitettak menyimpan keranda adiknya, Darupak di suatu zaman silam yang tidak diketahui usianya.

Walaupun ada pihak yang mengaitkan keranda tersebut milik orang China di zaman kegemilangan Dinasti Ming (1369-1644) berdasarkan penempatan awal, Ong Sum Ping, namun tidak ada bukti yang relevan boleh mengaitkan budaya, tradisi dan seni ukir China dengan keranda kepala kerbau yang mempunyai ukiran agak ganjil.

Tambah menghairankan lagi tidak terdapat walau seketul tulang di dalam semua keranda berkenaan. Kehilangan ini agak menghairankan walaupun Batu Tulug kini dijadikan Muzium Arkeologi. Batu Tulug terletak kira-kira 800 meter daripada tebing Sungai Kinabatangan atau 41 kilometer daripada Kota Kinabatangan.

Mungkinkah keranda tersebut milik Empat Mata atau Darupak yang diukir Sitettak atau Empat Mata sendiri? Ataupun milik penduduk tempatan yang berketurunan China berdasarkan nama Sungai Kinabatangan yang bererti Sungai China.


Misteri keghaiban tulang belulang daripada keranda tersebut membuatkan pakar arkeologi tidak dapat menjalankan ujian radiokarbon untuk mengetahui usia tengkorak dan pemilik sebenar keranda tersebut yang merupakan satu-satunya keranda berukir dengan motif tersendiri di Asia Tenggara.

1 comment:

  1. Raja Empat Mata itu Raja dr Dusun Sukang. Dalam bahasa Dusun Sukang kena panggil "Raja Apat Mato". Anak Raja Apat Mato kena jaga oleh uncle dia bernama Sinsila Mato atau Satu Mata. Raja terakhir nama dia Raja Sidadak. Dusun Sukang ni ada banyak suku di dalam dia seperti suku Dusun Sukang, Dumpas, Mangkaak, Purazou dan Kunatong. Dorang punya kerajaan wujud sekitar tahun 1300-1400 masihi di Kinabatangan, empayar dia dari Karamuak sampai ke Butong di dekat Bukit Garam Kinabatangan. Keranda-keranda di Gua Gomontong berasal dr suku Dusun Sukang, keranda raja dan rakyat biasa. Ada raja dorang yg kena kubur di Pulau Berhala, Sandakan. Pemerintahan dorang sekejap saja, sekitar 3 raja, lepas tu kerajaan dorang hilang. Dorang mula tingglkan Butong, entah ke mana mereka pergi selepas itu. Mungkin pindah ke Hulu Kinabatangan.

    ReplyDelete