Prof. Madya Datu Hj. Sanib bin Hj. Said
Felo Kanan Kursi Nusantara, Institut Pengajian Asia Timur
Universiti Malaysia
Sarawak, Kota Samarahan, Sarawak
©Sanib bin Said 2011
Pengenalan
Sejak membaca sumber bumiputera 36 tahun dahulu melihatkan
ketegasan tentang kesejarahan negeri bernama Sarawak, Samarahan, Sadong,
Kalaka, Saribas, Brunei, Kutei dan negeri-negeri lain sebelum 1400ES sentiasa
berlegar dalam benak sehingga saat ini.
Sifat kesejarahan Rankean itu masih menjadi pegangan utama walaupun
perubahan juga telah diterima, di samping terdapat desakan pasca-modenisme pada
masa sekarang. Begitu lama pencarian the
lost kingdoms and tribes dan berlumba dengan masa[1] tetapi penantian yang
lama, seperti melihat sejarah secara longue duree, telah membawa hasil yang
lumayan.
Dalam usaha merekonstruksi naratif sejarah awal Malaysia
berbagai masalah pensejarahan pasti akan bangkit dengan lebih rumit. Ini akan mencetuskan polemik seperti yang
diidamkan oleh Arkib Negara dalam merancang pembentangan ini. Periode sejarah
awal yang tandus dengan sumber primer dan sumber sekunder yang terpisah oleh
zaman menyukarkan rekonstruksi sebuah naratif. Pembacaan dan analisis sumber
yang sedikit untuk mencari makna dari kaca mata masa dan ruang sekarang mungkin
akan melontarkan fakta dan pentafsiran yang mungkin bersifat speklutaif
mengenai kerajaan awal di ruang wilayah yang telah berubah menjadi beberapa
negara-bangsa yang diangan-angankan itu.
Justeru itu untuk membina naratif sejarah awal dalam sebuah ruang baharu
yang telah dicipta sebagai Sarawak telah menyempitkan dan menyukarkan, boleh
juga menyelewengkan, pemahaman masa silamnya.
Masa silam pra-sejarah telah mendapat perhatian para arkeologis lebih
awal dan hasil kajian mereka, khususnya di Gua Niah yang tersohor itu, telah
menemukan tengokrak Wanita Niah yang besar kemungkinan hidup 40,000ES. Kewujudan manusia pra-sejarah, selanjutnya
mungkin telah mengakibatkan kemunculan kerajaan-kerajaan awal sebuah pulau
besar yang dikenali sebagai Borneo oleh
dunia dan sebagai Kalimantan oleh Indonesia pada masa sekarang sedangkan
nama-nama ini tidak wujud pada masa silam.
Nama Borneo itu pula diambil sempena Kerajaan Brunei yang mengungguli
kerajaan-kerajaan lain seperti Sawaku, Samarahan, Saribas, Kalaka dan Malanau
yang sekarang dalam ruang negeri Sarawak sementara Silam, Sugut, Tungku dan
Kinabatangan sekarang dalam ruang Negeri Sabah.
Adalah penting juga untuk memasukkan ruang pulau-pulau dalam ruang negara-bangsa
Filipina sekarang.
Masa dan Ruang: Asia
Tenggara dan the Malay Mediterranean
Mungkin ada manfaatnya jika perbincangan mengenai sejarah
awal negara-bangsa, Malaysia, dimulakan dengan beberapa konsep sejarah supaya
penghujahan dalam merekonstruksi naratif masa silam ini menjadi jelas.[2] Pendekatan seperti ini difikirkan sesuai
bukan sahaja untuk sejarah awal Sarawak tetapi untuk sejarah nasional secara
umumnya yang menjadi matlamat perbincangan ini.
Suatu konsep asas sejarah yang mantap ialah time and space (masa dan
ruang) di mana perubahan masa sering menyebabkan perubahan ruang. Sejarawan telah menggunakan konsep masa
dengan mencipta periodisasi seperti dalam maksud “zaman”; manakala konsep ruang
pula sejarawan menamakan wilayah dengan nama dan gelaran sama ada oleh penduduk
bumiputera atau orang luar. Dalam konteks masa sebelum 1400ES belum ada ruang
dengan nama negara-bangsa Malaysia seperti yang kita fahami sekarang yang
dibentuk dalam acuan negara-bangsa Barat.[3]
Oleh yang demikian mungkin kurang
manfaatnya dan kurang pemahaman yang boleh diperolehi jika pendekatan seperti
ini tidak diberi perhatian sewajarnya.
Pendekatan yang sesuai dan difikirkan akan memberikan
kefahamanan yang bermanfaat untuk masa sekarang ialah melihat masa dan ruang
tanpa sempadan negara-bangsa yang ada sekarang (mungkin juga akan tiada pada
masa depan). Sejarawan yang dianggap sarjana memperkenalkan pendekatan ini
ialah Fernand Braudel, seorang sejarawan aliran Annales dari Perancis, yang
menjadi terkenal kerana bukunya mengenai ruang Mediterranean dan ruang pesisir
Lautan Mediterranean sebelum didirikan berbagai negara-bangsa pada zaman
moden.[4] Beliau menggunakan banyak
konsep geografi yang dipelajarinya semasa menjadi siswa untuk penyelidikan
dalam bidang sejarah. Di samping pengaruh geografi dan sebagai ahli aliran
Annales yang merobah pendekatan pengajian dan penyelidikan sejarah, akhir
terkenal juga sebagai pemuka konsep total history is the only true history[5]
dan menolak pendekatan modenisme yang dijolok dengan gelaran Rankean.[6]
Pengikut Fernand Braudel dalam sejarah Asia Tenggara telah
cuba menggunakan konsep beliau dengan melihat raung ini mempunyai persamaan
dengan Mediterranean.[7] Sejarawan
Australia, Anthony Reid adalah yang pertama menggunakan pendekatan ini yang
terkandungan dalam dua buah buku yang mantap.[8] Beliau diikuti oleh sejarawan Perancis, Denys
Lombard[9]; K. Chaudhari dari India[10] dan akhir sekali seorang sejarawan R.
Wong pula mentafsir dari kaca mata China[11] yang cuba memperkenalkan jolokan
the Chinese Mediterranean untuk Lautan China Selatan yang mengandungi
Arkipelago Melayu. Bagaimanapun
persoalan lama mengenai masa dan ruang sebagai kajian wilayah bernama Southeast
Asia (Asia Tenggara) sentiasa menghantui walaupun menggunakan panduan Fernand
Braudel. Anthony Reid sendiri mengakui kerumitan menemui wilayah ini pada tahun
1993 apa bila menulis bab Introduction:
A Time and A Place:
As a region, Southeast Asia is crucial to the resolution of
the dilemmas of early modern history.
But is it a region at all? Unlike
Western Europe, India, the Arab world, China, or even ‘sinicized’ eastern Asia
as a whole, it has no common high religion, language, or classical culture ...
and has never been part of a single polity.[12]
Pada tahun 2005 beberapa orang sejarawan sejarah Asia
Tenggara yang diundang khusus membentangkan kertas kerja mereka dalam sebuah
kolokium anjuran National University of Singapore tetapi tidak disertai oleh
sejarawan dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina. Sarjana dari Thailand dan Vietnam menegaskan
bahawa mereka tidak pernah memikirkan kawasan atau negara-bangsa lain dan Asia
Tenggara tidak wujud dalam rangka pemikiran dan penyelidikan. Sementara itu seorang sarjana muda Amerika
menuduh Asia Tenggara sebagai area study di universiti di USA dan Eropah adalah
rekaan para sarjana sebagai periuk-nasi mereka.[13] Di antara sejarawan itu ialah Ruth McVey,
sarjana yang lebih tua dan dipandang tinggi, akhirnya merumuskan sehingga masa
sekarang mereka gagal lagi untuk menemukan Southeast Asia yang telah direka
oleh rakan sarjana mereka yang terdahulu:
“Having concluded this volume, readers may well feel that
instead of locating Southeast Asia they have discovered many Southeast Asias –
or none. Does this stem from some
characteristic of the region as a (non)entity, or from an insufficiency in our
understanding of place? .... Why then does it have an unnerving tendency, on
these pages, to dissolve.”[14]
Rumusan Anthony Reid dan McVey itu memang betul tentang masa
dan ruang Asia Tenggara yang cuba menyatukan daratan dan pantai dan pulau di
dua lautan besar yang mempunyai perbezaan ketara. Yang ada persamaan ialah di kalangan
masyarakat daratan dan begitu juga di kalangan masyarakat di pantai dan
pulau-pulau. Masa dan ruang di pesisir pantai dan pulau-pulau itu ialah zon
sosio-politikal Melayu yang telah lama digelar the Malay Archipelago, Nusantara dan Dunia Melayu. Dengan menggunakan takrif Anthony Reid
manusia di sini banyak persamaan
termasuklah unggul. Lynda Shaffer
merumuskan mungkin terlaku “Mediterranization” oleh tamadun China, India, Arab
dan Eropah. Mungkin juga boleh
dijolokkan gelaran “the Malay Mediterranean”.
Lynda Shaffer, sejarawan sejarah dunia, memberikan judul yang menarik
kepada bukunya yang kecil, Maritime Southeast Asia to 1500 mencuba sesuatu yang
lain termasuk tumpuan beliau terhadap orang Melayu.[15]
Setelah berkurun lamanya, kecelaruan dalam mencari masa dan
ruang yang sesuai dan difikirkan akan bermanfaat pada masa sekarang ialah kerana
mereka buta akan masyarakat yang utama di ruang ini. Mereka ialah masyarakat Melayu pada ruang dan
masa silam di mana semuanya bangsa dan bahasa yang besar di mana sekarang di
dalam negara-bangsa masing-masing ironinya etnisme sangat runcing. Pada masa sekarang ada orang Malaysia
memikirkan dan mengangankan ruang dan masa bangsa Melayu itu meliputi pesisir
tanah negara-bangsa sekarang, iaitu Vietnam, Kemboja, Siam dan seluruh
pulau-pulau dalam Indonesa dan Filipina.
Alfred Wallace, berdasarkan alam semula jadi termasuk manusianya
memberikan nama The Malay Archipelago seperti judul bukunya yang terbit pada
tahun 1869 mentakrifkan seperti ini:
“[I] consider the Malay Archipelago to include the Malay
Peninsula as far as Tenasserim, and the Nicobar Islands on the west, the
Philippines on the north, and the Solomon Islands beyond New Guinea, on the
east.” .[16]
Pada tahun 2004 pihak Arkib Negara Malaysia telah menjemput
Profesor Leonard Andaya membentangkan sebuah kertas kerja di mana beliau telah
mengetengahkan beberapa masalah untuk menrekonstruksi sejarah Malaysia. Masalah yang releven dengan perbincangan kita
pada hari ini ialah apa yang beliau katanya:
“Using such a framework may be appropriate to study to the
study of modern Malaysian history; however, it is not only inappropriate but
even misleading for the study of pre-nineteenth century history. Many of the present borders continue to be
porous, and the task of the historian is to identify where zones of human
interaction occurred in the past, and then to acquire the linguistic and
methodological skills to undertake the necessary research.”[17]
Sehubungan dengan itu masa dan ruang dalam sejarah awal
Malaysia ialah Arkipelago Melayu atau Kepulauan Melayu yang menjadi Dunia
Melayu.
Dalam masa silam yang menjadi zaman awal itu manusia Melayu
yang menjadi penghuninya telah berpindah-randah dan saling berhubung sehingga
mementuk pelbagai jaringan antara pulau Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu,
Pulau Jawa, Borneo, Manila, Sulu, Makassar dan banyak lagi dan mendirikan
banyak negeri-kerajaan awal Melayu-Hinduisme-Buddhisme dan kemudian
negeri-kerajaan Melayu-Islam yang pernah bersatu dalam Empayar Srivijaya,
Empayar Majapahit dan Empayar Melaka di sebelah barat. Manakala di sebelah timur pula negeri-kerajaan
Melayu itu disatukan dalam Empayar Brunei dan Kesultanan Sulu. Empayar-empayar yang patah tumbuh hilang
berganti; mereka muncul, berkembang,
runtuh dan pupus silih berganti untuk mencipta suatu rhythm in Malay
history.[18] Irama ini diteruskan oleh
dalam negara-bangsa yang baru Malaysia dan Indonesia yang mewarisi sejarah awal
Arkipelago Melayu.
Kerajaan Bo-ni (Brunei)
Negara-bangsa Brunei yang wujud pada masa sekarang yang
mempunyai sejarah yang panjang serta berterusan mungkin sejak abad ke-9 lagi dan
pernah berjaya membina empayar yang besar yang meliputi pulau Lesung di utara
dan keseluruhan bahagian utara dan timur pulau Borneo. Mungkin boleh dirumuskan bahawa Kerajaan
Brunei awal merupakan entiti unggul di sebelah timur zon politico-cultural Melayu. Kerajaan Brunei awal ini ditakdirkan terletak
tidak jauh dari Gua Niah yang telah diduduki manusia pra-sejarah
40,000ESS.[19] Walaupun terdapat
pantang-larang untuk bersepekulasi wujudnya sebarang kaitan masa dan ruang
pra-sejarah Gua Niah bersama Gadis Niah, tetapi mungkin dibolehkan sekadar
menyebutnya sahaja supaya kerajaan Brunei dalam sejarah awal bukan muncul di
utara Borneo ini dalam masa dan ruang silam yang kosong. Begitu juga halnya dengan petempatan
pra-sejarah lain di Palawan, Sabah dan Kalimantan. Malah spekulasi seperti ini diperkuatkan
bahawa negeri-kerajaan yang pasti lebih tua ialah Kutei, muncul pada sekitar
tahun 400ES, sebelum Srivijaya, betul-betul terletak di garis selatan dari Gua
Niah dan Brunei.
Historiografi Brunei agak lumayan, termasuk periode kerajaan
awal yang telah dikaji oleh Donald Brown, Robert Nicholl, Awang Muhamad Jamil
Al-Sufri dan juga Bilcher Bala.
Bagaimanapun adalah suatu yang lumrah dalam usaha merekonstruksi periode
awal di mana kekurangan sumber maka banyak naratif terganggu dengan unsur
spekulasi yang tebal dalam melakukan pentafsiran terhadap fakta yang sangat
terhad itu dalam sejarah awal Kerajaan Brunei.
Perbezaan pendapat sangat ketara dalam naratif asal-usul di antara mereka. Robert Nicholl mencadangkan bahawa berlaku
perpindahan Kerjaan Kamrun atau Ku-lun dari tanah daratan, sekarang mungkin di
Kemboja dan Vietnam, ke Borneo berdasarkan sumber China dan Arab.[20] Awang Muhamad Jamil Al-Sufri menceritakan
kemunculan seorang lelaki yang berkahwin dengan 14 orang wanita yang akhirnya
melahiran 14 orang saparadian berlandaskan sumber tradisi lisan dan memberi
nama negeri mereka “baru-nah”.[21]
Bilcher Bala akur dan memetik tulisan Tom Harrisson bahawa Brunei telah didirikan oleh seorang Kelabit
bernama Simaun yang menjadi raja pertama kerana terdapat tradisi lisan
mengatakan demikian dan kerana dalam bahasa Kelabit perkataan “maun” bererti
“tua” dan masyarakat Lun Bawang pula menamakan beliau sebagai “Semaring”.[22]
Bagaimanapun penduduk di Dunia Melayu, termasuk di Borneo, dalam sejarah awal
adalah berbangsa Melayu dan beragama Hinduisme atau animisme dan apa bila agama
Islam dianuti oleh semua kerajaan maka sebilang besar Melayu dan Melayu yang
tidak masuk Islam menjadi suku kaum lain yang hanya pada abad ke-19 dilabelkan
dengan berbagai nama, termasuk nama umum Dayak.[23]
Saya mengetengahkan pandangan mirip pendapat Awang Muhamad
Jami Al-Sufri berlandaskan sumber manuskrip Rangau dan Syair Awang Samacun
bukan sekadar sumber tradisi lisan.[24]
Manuskrip Rangau menceritakan kehadiran seorang lelaki itu di pantai
Teluk Brunei sedangkan Syair Awang Samacun mengisahkan adventure 14 orang
saparadian yang akhirnya bersetuju membina sebuah negeri di kuala sungai itu
yang “baru-nah” berkenan di hati mereka.
Yang tertua di kalangan mereka ialah Awang Alak Betatar yang kemudian
menjadi raja pertama dan Awang Samacun ialah nombor dua yang menjadi panglima
yang terhandal sehingga dijadikan judul syair ini. Kegagahan Awang Samacun dan peranan
beliau sebagai panglima memungkinkan nama ini diambil dari manuskrip Hikayat
Samacun yang disadur dari sebuah cerita Arab mengenai kehebatan seorang
panglima Nabi Muhammad SAW. Hikayat ini
agak terkenal di Arkipelago Melayu dan terdapat juga versi dalam Bahasa Sunda
di pulau Jawa.[25] Awang Samacun boleh
juga dilihat mempunyai perkataan Arab “macun” bererti “mendengar”.[26] Pembacaan yang teliti menunjukkan kesejarahan
syair ini mungkin meyakinkan apa bila laporan China tahun 977ES merakamkan tentang
pentadbiran Bo-ni,“[t]here are a total of fourteen prefectures with small
mountains.”[27] Persamaan angka 14 saparadian dan fourteen perfectures sangat
sempurna dan menakjubkan sehingga keinginan untuk membuat spekulasi sukar
dibendung bagi memutuskan bahawa syair ini karya sejarah dan Brunei merupakan
sebuah negeri-kerajaan yang besar dengan mempunyai 14 buah kawasan
takluknya. Laporan China pertama sekali
sekadar mencatat nama Bo-ni ialah pada tahun 860ES dan hanya dalam laporan
tahun 977ES.[28] Laporan China ada
menyebut beberapa orang nama raja seperti Hiangta (977ES), Si-li-ma-je
(1082ES), Ma-ho-mo-sa (1370ES), Ma-na-je-ka-na (1408ES) dan Hsiawang (1408ES).
Di bahagian awal silsilah raja-raja Brunei memberi gambaran
pan-Melayu Brunei yang merangkumi warisan dan pertalian erat dengan pusat Dunia
Melayu. Ini adalah kerana “turun temurun
yang mengambil mengambil pesaka nobat negara genta calamat” dari negeri Johor
dan Minangkabau.[29] Di samping itu,
“Maka Sultan itu dinuerahai oelh Yang Di Pertuan Johor nobat
negara dan gentacalamat dan negeri lima buah, iaitu Kalaka’ dan negeri Saribas
dan negeri Semarahan dan negeri Serawak dan Mukah.”[30]
Pada tahun 1940 H. R. Hughes-Hallet dalam sebuah artikel
turut menyatakan:
“according to
Javanese records a Javanese force expelled Sulu marauders from Brunei in 1368
and Brunei is mentioned as one of the countries conquered during the reign of
Angka Wijaya . . . .”[31]
Beliau tidak menyebut sumber Jawa yang dirujuk, mungkin
karya Prapanca,Negarakertagama di mana dicatatkan:
“Pupuh 14
Kandandangan, Landa, Samadong dan Tirem tak terlupakan Sedu,
Barune (ng), Kalka, Saludong, Solot dan juga Pasir, Barito, Sawaku, Tabalung,
ikut juga Tanjung Kutei Malano tetap yang terpenting di Pulau Tanjungpura”[32]
Santubong dan Negeri Sarawak
Kesejarahan Negeri Sarawak seperti berada di depan mata. Sumber bumiputera, arkeologi dan tarafnya
yang sentiasa penting dalam merentasi semua masa dan ruang sejarah silam hingga
sekarang tetapi gagal dilihat dengan cepat. Selepas menemui semula Syair
Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Abdul Kadir Negeri Saribas pada
tahun 2005 dan setelah mengkajinya beberapa tahun baharulah mata hati terlihat
Hikayat Datuk Merpati yang telahpun diterbitkan sebagai karya sejarah mengenai
Negeri Sarawak lama.[33] Datuk Merpati
dan saudaranya berasal dari sebuah gunung berapi di Pulau Jawa dan mengembara
ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu.
Pada suatu hari mereka membantu Datuk Kuli dan Datuk Kuali yang
terdampar di tanjung itu di mana mereka kemudian mengundang Datuk Merpati
pindah ke Sungai Sarawak. Bagaimanapun
dalam perjalanan itu Datuk Merpati mengubah fikiran:
Alkisah maka tersebutlah cerita Datuk Merpati membuka negeri
di Kuala Santubong. Tiada antara berapa lama sesudah dia diam di situ, Datuk
Permaisuri Kemala pun melahirkan seorang anak perempuan. Telah diberinya nama anak itu Dayang Seri
Bulan. Maka telah sukalah hati Datuk
Merpati kerana melihat anak perempuannya itu. Merpati Jepang juga suka melihat
adiknya. Bertambah sukalah ahli kaum
kerabat di dalam negeri itu.[34]
Pada suatu masa Datuk Merpati dan Datuk Permaisuri Kemala
telah menyelamatkan diri ke Brunei kerana diserang oleh Pego. Di Brunei Datuk Merpati bertemu dengan
Samacun. Setelah diuji kekuatannya telah
berjaya panglima dan ditugaskan menjaga anak Datuk Merpati, Dayang Seri Bulan
yang kemudian berkahwin dengan Sultan Bungsu dari Selangor.[35] Dalam pada itu anak lelaki Datuk Merpati,
Merpati Jepang telah dewasa dan mentadbir negeri Santubong ”beroleh pupu
kebanyakan” dan pandai membawa kaumnya.”[36]
Sejauh
manakah kesejarahan Hikayat Datuk Merpati?
Datuk Merpati yang dinukilkan berasal dari Jawa mungkin juga
melambangkan pengaruh Majapahit di
Sarawak seperti yang dibuktikan dalam Negarakertagama sebelum tahun 1365. Nama Merpati mungkin korupsi Parpatih dalam
Datuk Parpatih nan Sabatang dalam masyarakat di Dunia Melayu dan ”Merpatih”
dalam masyarakat Minangkabau. Mungkin
yang lebih dekat ialah nama tempat di Jawa pada masa kejatuhan Majapahit dan
kebangkitan Demak seperti dinyatakan, ”meletakkan Pangeran Benowo sebagai Raja
Jipang-panolan.”[37]
Salah sebuah kawasan di dalam wilayah kebudayaan Sarawak
yang terbukti pernah menjadi negeri ialah di Kuala Sungai Sarawak yang besar
yang dikenali sebagai Santubong. Malah di sini merupakan kawasan pertama
dilakukan kerja-kerja arkeologi bukan saja dalam konteks Sarawak baru dan lama
tetapi juga dalam konteks keseluruhan pulau Borneo yang besar ini. Tanda-tanda tentang peri pentingnya kawasan
Santubong sebenar dicetuskan oleh penemuan Nandi dan Yoni oleh James Brooke
tidak lama setelah menjadi “raja” Sarawak, sebelum berlakunya pemberontakan
China pada tahun 1857.[38] Selain daripada jumpaan batu besar ini James Brooke
juga mengumpulkan artifak-artifak emas.[39] Penemuan artifak yang diperbuat
dari emas ini menunjukkan bahawa kawasan ini menarik perhatian orang asing,
khususnya orang dari India pada peringkat awal.
Mungkin oleh kerana adanya emas, bukan saja di lembah Sungai Sarawak
tetapi juga di bahagian barat-daya Borneo, kawasan yang terbanyak mengandungi
emas daripada tempat-tempat lain di kepulauan Melayu, telah dikaitkan dengan
nama-tempat Survanabhumi (Bumi Emas) oleh orang India dan juga sebagai Iabadiou
oleh Ptolemy pada c.150ES.
Penemuan awal ini telah memberi perangsang
kepada Muzium Sarawak untuk melakukan kajian arkeologi. Pada tahun 1949, di
bawah pimpinan Tom Harrisson, telah berhasil mengumpulkan ribuan pecahan
tembikar China di Santubong.[40] Hasil dari kajian yang dilakukan ke atas
tembikar ini serta artifak-artifak keagamaan Hindu mereka berpendapat bahawa
Santubong sebagai politi sudah wujud sejak abad ke 7 lagi dan terus kekal
hingga abad ke-10[41] atau abad
ke-14.[42] Di samping itu adanya tahi besi (iron-slag yang dianggarkan sebanyak
40,000 tan[43] menguatkan pendapat bahawa kawasan Santubong ini merupakan
kota-pelabuhan yang besar dan penting.
Setelah dikaji oleh kedua orang pakar ini mereka berpendapat bahawa
industri ini wujud di antara tahun 900ES hingga 1350ES.[44] Bagaimanapun
mengikut O.W. Wolters, seorang sejarawan Asia Tenggara tua, China mungkin telah
mengetahui tahi besi ini sejak abad ke 3 lagi dengan mentafsirkan bahawa pulau
Tan-lan yang disebut dalam laporan China itu terletak di barat-daya Sarawak.[45]
Jika tafsiran sejarawan terkenal ini betul mungkin Tan-lan yang menghasilkan
besi ini ialah Pulau Talang-Talang tetapi ahli arkeologi, mahupun Muzium
Sarawak tidak pernah mengaitkan pulau ini dengan penemuan tahi besi di kawasan
Santubong walaupun pulau ini tidaklah begitu jauh dari tempat tersebut.[46]
Penemuan
bahan-bahan arkeologi di kawasan Santubong ini telah mencetuskan berbagai
pentafsiran dan pendapat. Ahli-ahli
arkeologi kecuali Jan Wisseman Christie berpendapat bahawa kawasan ini sudah
menjadi bandar-pelabuhan penting sejak abad ke-7 hingga abad ke-14. Jan Wisseman Christie sebaliknya berpendapat
bahawa Santubong muncul pada akhir abad ke-10 dan terus wujud hingga abad
ke-14.[47] Tentang kepentingan dan peranan kota-pelabuhan ini secara am
dipersetujui oleh penyelidik-penyelidik dan pentafsiran yang lebih jelas dan
terbaru ialah dari Jan Wisseman Christie:
“Santubong is a complex of port sites in the Sarawak river
delta which rivals in site and richness found in the Muda and Merbok valleys of
Kedah. It is undoubtedly the remains of
the port-capital of the state of Po-ni … The port was evidently founded in this
region in the later tenth century, when it comprised only of one residential
site, Sungei Jaong, and an associated burial ground nearby at Tanjong
Kubor.”[48]
Selepas itu terdapat pula pusat petempatan lain di sekitar
Santubong seperti di Bongkissam.
Bagaimanapun politi-politi ini kemudian dikuasai oleh Santubong yang
menjadi sebuah negeri di kawasan ini.
Dari kajian
yang dilakukan ke atas ribuan serpihan tembikar China negeri Santubong ini
terus wujud hingga ke abad ke 14.[49] Pendapat ini dikuatkan lagi dengan
tulisan China Nan-hai-chih yang menyenaraikan kerajaan-kerajaan tua di Borneo
pada tahun 1304.[50] Pada masa ini Brunei yang ditulis oleh China sebagai
Tung-yang Fo-ni jelas sekali menguasai keseluruhan utara Borneo. Di antara politi-politi yang berada di
bawahnya dan yang terkandung di dalam wilayah kebudayaan Sarawak ialah
Sha-hu-chung.[51] Carrie Brown mentafsirkan bahawa Sha-hu-chung ini mungkin
Saludung yang terletak di pantai timur Borneo.[52] Bagaimanapun penulis ini
berpendapat bahawa dari segi urutan tempat-tempat yang dikuasai oleh
Po-ni. Ini lebih sesuai ianya merujuk
kepada Santubong, di samping itu Saludung sehingga kini tidak mempunyai bahan
arkeologi seperti yang terdapat di Santubong. Sha hu chung dalam Mandarin,
bahasa rasmi dan tulisan orang China, bererti ”lautan batu karang” dan adalah
tidak betul jika sebutannya diubah kepada san choo bong, sebutan Melayu dalam
dialek Hakka yang bererti ”king of wild pig”.[53]
Sumber Jawa, Negarakartagama[54] yang ditulis pada tahun
1365 menunjukkan bahawa Brunei (Bo-ni) telah dikuasai pula oleh Majapahit. Permulaan perluasan Majapahit ini dipercayai
berlaku pada tahun 1350[55] dan ini menyebabkan perdagangan dengan China di
Santubong terhenti seperti yang terbukti dengan tembikar-tembikar yang dijumpai
tidak menunjukkan tembikar Ming.[56] Santubong sebagai nama politi juga turut
hilang dan digantikan oleh nama baru, iaitu Sawaku (Sarawak) di dalam
Negarakartagama.[57] Kehadiran Majapahit mungkin telah menyebabkan perpindahan
penduduk[58] negeri Santubong ini kepada politi-politi lain seperti Sadong dan
Gedong.
Negeri Samarahan dan Sadong
Adanya
penemuan tembikar China abad ke 14 dan 15 di dua buah tempat di lembah Sungai
Sadong menunjukkan terdapatnya kesinambungan politi di pantai dengan yang wujud
di pendalaman. Gedong yang terletak 40
batu dari Santubong dan 56 batu dari pantai.
Di sini terjumpa 79,754 pecahan tembikar dan ratus benda lain seperti
manik, duit siling dan emas.[59] Lucas Chin mencadangkan bahawa Gedong ini
merupakan tempat perkuburan tetapi tanpa menemui sebarang tulang manusia.
Terdapatnya pecahan tembikar dan benda-benda lain dengan begitu banyak besar
kemungkinan Gedong ini merupakan politi yang agak besar. Kajian yang dilakukan oleh Lucas Chin
menunjukkan bahawa jika Gedong merupakan sebuah politi maka ia wujud dari abad
ke-7 hingga ke-13[60], iaitu sezaman dengan Santubong.
Limabelas
batu ke pendalaman Gedong terdapat sebuah lagi politi di Bukit Sandong.[61] Di
sini terdapat 30,000 serpihan tembikar yang mempunyai asal dan ketuaan seperti
yang terdapat di Santubong dan Gedong.
Selain daripada itu yang membezakannya dengan tempat-tempat tadi ialah
adanya 143 serpihan tembikar Sawankhalok.
Mengikut Lucas Chin serpihan Sawankhalok dan ”blue and white sherds” ini
ditarikhkan pada abad ke-16 dan ke-17.
Walaupun sukar untuk menyatakan adanya perpindahan dari politi-politi
yang awal ke Bukit Sandong tetapi ia jelas menunjukkan kesinambungan politi
Sarawak. Dan walaupun politi Gedong dan
Bukit Sandong ini tidak tercatat dalam tulisan-tulisan China dan Jawa, namun
kewujudannya juga tidak dapat dinafikan.
Lucas Chin menyimpulkan,
“What is also considered significant is that with such large
quantities of ceramic wares excavated at such inland sites at Gedong and Bukit
Sandong, it indicates that trade was not necessarily confined to the coast as
previously believed. Trading boats could
have sailed as far inland as possible for trade.”[62]
Negeri Kalaka
Lembah
Sungai Kalaka, tidak jauh dari lembah Sungai Sadong, hanya 10 batu di sebelah
timur Santubong, merupakan juga tempat wujudnya politi tua di Sarawak. Terletak
di kuala Sungai Kalaka dan muara Batang Saribas ialah sebuah negeri bernama Kabong. Mengikut Lucas Chin terdapat tembikar yang
masih bulat yang diambil oleh orang ramai dan tidak sempat diambil oleh pihak
Muzium Sarawak.[63]Nanga Kalaka lebih bernasib baik kerana di sana ditemui
9,469 serpihan tembikar China termasuk jenis Sawankhalok dan “blue and white
ware”.[64] Kajian menunjukkan bahawa tembikar ini adalah tembikar abad ke-16
dan 17. Sebuah lagi tempat di lembah ini
ialah Tebing Tinggi. Di sini terdapat
41,762 serpihan tembikar termasuk jenis Sawankhalok jenis abad ke-16 dan 17.[65]
Daripada abad tembikar dibuat ini nampaknya politi di lembah Sungai Kalaka ini
tidak begitu tua seperti yang terdapat di Santubong dan lembah Sungai
Sadong. Bagaimanapun ini tidak memberi
maklumat yang lengkap kerana tembikar di Kabong tidak berjaya dikaji. Besar kemungkinan tembikar di Kabong ini
bertarikh lebih awal kerana Negarakartagama yang dikarang pada tahun 1365 ada
mencatatkan Kalka sebagai salah sebuah jajahan Majapahit.[66] Di samping itu
Kalaka juga sebut sebagai sebuah negeri yang dianugerahkan kepada Kerajaan
Brunei oleh Johor seperti yang dinukilkan dalam silsilah raja-raja Brunei serta
mendapat keutamaan dalam Kerajaan Brunei.
Syair
Tarsilah Cetera Dato’ Gudam dan Temenggong Kadir Negeri Saribas, judul pendek
mungkin Syair Tarsilah Negeri Saribas, mengandungi episod. Syiar ini menyebut Kalaka sebagai sebuah
negeri yang diperintah oleh dua orang wanita adik-beradik.
Terhenti dulu kisah itu
Tersebutlah pula habar suatu
Di Negeri Kalaka’ habarnya tentu
Dayang Hubu’ Dayangnya Ruku[67]
Negeri Saribas
Negeri
Saribas sebenar berkongsi muara Batang Saribas dengan ibu kota Negeri Kalaka
yang besar itu sedangkan pusatnya banyak di sekitar pertemuan Batang Saribas
dengan Sungai Rimbas di sebelah hulu menghampiri pertengahan hutan
belantara.disebut di dalam silsilah raja-raja Brunei dan mendapat tempat yang
banyak juga dalam manuskrip tersebut.
Negarakertagama tidak ada mencatatkan nama Negeri Saribas pada abad
ke-14 berbanding dengan jirannya, Negeri Kalaka. Ini mungkin disebabkan Negeri Saribas
didirikan pada awal atau pertengahan abad ke-17. Syair Tarsilah Negeri Saribas meriwayatkan
pelarian Pengiran Temenggong Abdul Kadir dari ibu kota Kerajaan Brunei di utara
kerana anak gadisnya, Dang Chi’ yang rupawan, telah diambil oleh sultan. Setelah sampai di muara Batang Saribas beliau
telah mendirikan sebuah negeri dengan ibu kotanya di Tandang Sari di tebing
Sungai Rimbas. Kemudian muncul pula seorang anak raja Pagaruyung, dikenali di
Saribas dan Brunei sebagai Dato’ Gudam, dari Sumatera yang juga merantau
membawa diri kerana gagal dalam ujian naik tahta sambil berdagang. Pada suatu hari Dato’ Gudam berlabuh di
Tandang Sari dan bertemu dengan Pengiran Temenggong Abdul Kadir dan isterinya
yang masih merindui anak gadis mereka.
Pengiran Temenggong Abdul Kadir berjaya memujuk Dato’ Gudam untuk
mengambil dan membawa pulang Dang Chi’ keluar dari istana. Beliau berjaya dan atas jasa itu telah
dikahwinkan dan Dato’ Gudam kemudian memegang teraju pemerintahan Negeri
Saribas yang menurunkan waris kepada keturunan Abang dan memegang
jawatan-gelaran Datu Patinggi, Datu Bandar, Aulaksamana, Datu Imam dan Datu
Hakim di lembah Batang Saribas. Kesejarahan
boleh dilihat dalam beberapa segi seperti kewujudan sebuah tempat Gudam di
Tanah Datar Minangkabau di mana istana Kerajaan Pagaruyung yang pertama adalah
di Gudam di samping bererti istana dalam Sanskrit. Stamford Raffles, setahun sebelum mengambil
Singapura, telah melawat Gudam untuk berjumpa Raja Pagaruyung pada tahun
1818. Keturunan Dato’ Gudam masih ingat
samar-samar tentang penubuhan negeri ini, tetapi mereka ingat tentang keturunan
yang memegang jawatan-gelaran seperti juga yang dicatat dalam silsislah
raja-raja Brunei. Pengisahan seorang
bernama Aulaksamana terdapat juga dalam karya Charles Brooke di mana beliau
merakamkan bahawu laksamana ini pada tahun 1860 berusia 90 tahun.[68]
Kuala Rajang dan Bintulu
Di samping
itu sebuah lagi politi yang mungkin terletak di Kuala Sungai Rejang, sungai
selepas Sungai Kalaka, bernama Malano.[69] Di kuala sungai ini juga seorang
sejarawan terkenal, J.L. Moens berpendapat kerajaan Melayu awal, Srivijaya
dipercayai berpusat.[70] Setakat ini belum dijumpai benda-benda arkeologi di
kuala Sungai Rejang. Nan-hai-chih ada
menyebut Achen (Igan) Wentuling (Bintulu).[71]
Kewujudan
politi-politi awal di wilayah kebudayaan Sarawak versus wilayah kebudayaan
Brunei sukar untuk ditolak dan dipisahkan daripada masa silam Sarawak Lama
ataupun Sarawak Baru. Penemuan
benda-benda arkeologi di tiga lembah merupakan bukti kuat tentang kewujudan
politi-politi Sarawak dan bukan Brunei. Sumber-sumber bertulis dari China dan
Jawa menguatkan lagi politi-politi ini walaupun pada suatu ketika mereka jatuh
di bawah ketuanan Brunei (Bo-ni) dan Majapahit. Keraguan yang timbul setakat
ini adalah mengenai politi di kuala Sungai Rejang. Sumber bertulis yang telah
disebutkan di atas mencatatkan beberapa buah politi tetapi artifak-artifak
arkeologi belum lagi ditemui.[72] Bagaimanapun ketuaan politi-politi Sarawak
ini tidak dapat dinafikan sebagai sebahagian daripada masa silam Sarawak Lama
dan Baru.
Perkembangan Terkemudian
Politi-politi tua Sarawak tidak lenyap ditelan zaman seperti
yang digambarkan oleh ketiadaan benda-benda arkeologi. Penyelidikan arkeologi dan sumber-sumber
China dan Jawa hanya dapat membuktikan kewujudan politi-politi ini dari abad ke
7 hingga ke 14. Bagaimanapun
sumber-sumber lain sedikit sebanyak memberi maklumat untuk menunjukkan kesinambungan
dan kepentingan politi-politi ini. De
Barros yang menulis pada tahun 1530 mencatatkan kepentingan kota-pelabuhan
Sarawak:
“In Borneo, Lave, Tanjapura, Cerava, the principal ports of
this island there are many wealthy merchants who trade to Malacca, Sumatra,
Siam, China and other ports, to which they export diamonds, camphor, agala wood
…. “[73]
Petikan ini jelas menunjukkan bahawa nama Santubong telah
tidak digunakan lagi dan digantikan oleh Sarawak. Lebih penting lagi Sarawak pada masa itu dengan
jelas dibezakan dengan Brunei yang ditulis sebagai Borneo dan jika tidak Brunei
tidak disebut langsung sebagai pelabuhan penting. Peta-peta Eropah abad ke-16
dan 17 menamakan Sarawak (bukan Kuching) sebagai Cereua (1537) dan Cereuwa
(1550); Belanos (Melano), Sedang (Sadong), Calca (Kalaka) dan River de Burulu
(Bintulu).[74]Kepentingan Sarawak pada abad ke-16 juga boleh dilihat dari
cadangan raja Brunei, Sultan Saiful Rijal untuk pindah ke Sarawak setelah
Sepanyol menduduki bandar Brunei pada tahun 1578.[75]
Silsilah
Raja-Raja Brunei[76] yang ditulis pada abad ke-17 mengandungi banyak maklumat
mengenai pentadbiran kesultanan ini di wilayah kebudayaan Sarawak seolah-olah
wilayah ini mempunyai tempat yang sangat penting. Manuskrip B pula menunjukkan kedudukan
wilayah kebudayaan Sarawak sebagai istimewa kerana ia merupakan anugerah
daripada Kesultanan Johor dan bukan diserang dan dijajah oleh Brunei:
“Maka sultan itu dianugerahi oleh Yang Di Pertuan Johor
nobat negara dan genta alamat negeri lima buah, iaitu negeri Kalaka dan negeri
Saribas dan negeri Semarahan dan negeri Serawak dan Mukah."[77]
Jelas kepada kita bahawa yang disebut negeri di sini tidak
banyak berbeza dengan wilayah kebudayaan Sarawak yang cuba dicadangkan oleh
kertas kerja ini. Manuskrip A tidak ada
mengandungi ayat ini dan oleh yang demikian timbul suatu persoalan sama ada
penyalin Manuskrip B ini berat sebelah kerana beliau berasal dari Sarawak,
namanya Haj Abdul Gaffar bin Abdul Mumin Serawak.[78] Bagaimanapun kedua-dua
manuskrip ini tetap memberikan maklumat yang terperinci mengenai pentadbiran di
tempat-tempat yang dinyatakan.
Keistimewaan negeri-negeri ini, khususnya Sarawak terserlah lagi apabila
raja Brunei, Sultan Muhuiddin telah menganugerahkan Sarawak (lama) ini kepada
adindanya Raja Tengah untuk dijadikan negeri dan beliau sendiri menjadi raja
kerana Raja Tengah sentiasa menggugat kedudukan sultan.
“Maka
tiadalah dipanjangkan riwayatnya lagi, telah itu dipanggillah oleh Sultan
Muhiuddin Raja Tengah itu. Bagindapun
lalu mengeluarkan titah kepada saudaranya Raja Tengah, katanya, “Ya adinda
sekarang sudah nasib kakanda di dalam Berunai jadi demikian ini. Akan adinda pun pada pikiran kakaanda jadikan
raja di dalam negeri Sarawak sebab pun sama2 juga kita anak Marhum. …. Maka telah selesailah sudah bermeshuarat
apa2 yang dimemuafakatan, maka Raja Tengah pun suroh oleh baginda Sultan
Muihiuddin berangkat ke Sarawak berserta diberinya rayaat banyaknya seribu
orang akan kawannya Raja Tengah.
Kemudian telah sampailah Raja Tengah di Serawak, maka raja pun
menitahkan segala rayat sekalian itu melainkan semuanya dengan kerana tiada
berhenti lagi hingga sudah istana dan kota dan kampong dan mana sahaja kehendak
Raja Tengah semuanya dikerjakan oranglah … “[79]
Tidak lama selepas Raja Tengah tidak lama selepas itu telah
belayar ke Johor dan dalam pelayaran pulang singgah di Matan dan di mana
baginda diangkat menjadi sultan Sambas.[80]
Pada awal
abad ke-17 terdapat juga sumber-sumber mengenai beberapa politi-politi
Sarawak. Blommart pernah melaporkan
bahawa “Sadong were one of the best place for trade comparable to
Lauwe.”57 Laporan Belanda bertarikh 1609
satu pemberontakan menentang Kesultanan Brunei:
“1609. News received
(in Bantam) that the tribes north of Sambas, living in Calca, Saribas and
Melanoege had defected from the king of Borneo and united themselves with the
King of DJohor.”[81]
Kalaka terus menjadi politi penting sehingga abad ke 19
walaupun dijajah oleh Kesultanan Brunei.
Seorang pegawai Inggeris bernama John Hunt yang pernah melawatnya pada
tahun 1812 menulis:
“ … it is the
principal port of trade south of the capital, and the mart of Sadong
country: here much grain is produced,
one hundred pikuls of black birds’ nest, two hundred pikuls of wax, some gold,
pepper, camphor, but the tin mines, before mentioned, are utterly neglected.”
[82]
R. Logan yang menulis pada awal abad yang sama mengatakan
bahawa Kalaka juga menjual mutiara.[83]
Rumusan
Sejak abad ke-7 sudah muncul beberapa negeri-negeri
kota-pelabuhan di dalam apa yang dicadangkan sebagai kawasan kebudayaan
Sarawak. Negeri-negeri ini terus wujud
dan penting walaupun pernah dijajah oleh Brunei dan Majapahit. Penjajahan Brunei yang begitu lama tidak
boleh dinafikan tetapi pengaruh Brunei itu tidak merobah kesemua aspek
kehidupan dan tidak juga menjadi sebahagian daripada kebudayaan Brunei. Negeri ini tetap menjadi politi yang
tersendiri dan mempunyai aspirasi tersendiri walaupun memancarkan ketamadunan
Melayu dalam keupayaan mendirikan negeri dan mentadbir negeri mengikut panduan
kitab-kitab Melayu utama seperti Tajul al-Muluk dan Taj al-Salatin sehigga
memungkinkan wujudnya the Malay Mediterranean.
Source: Hadif Tareh
No comments:
Post a Comment