RAJA APOI bersemayam di sebuah istana yang diperbuat
daripada kayu merbau dan belian. Istana tersebut terletak di atas sebuah bukit
di Bu-lud Temil atau Bukit Sejuk (kini Kota Kinabalu) bagi memudahkan Raja Apoi
mengawasi perjalanan keluar masuk kapal ke dermaga dan memantau pergerakan
lanun.
Pada suatu hari Permaisuri Sulid Liud Langi mengidam dan
terlalu ingin makan hati rusa lalu menyampaikan hasratnya kepada Raja Apoi.
Memandangkan permaisurinya sedang mengandung anak sulung, maka Raja Apoi
menyiapkan angkatan perburuan yang besar untuk mendapatkan rusa yang terbaik.
Namun Permaisuri Sulid Liud Langi meminta Raja Apoi berburu
sendiri kerana bimbang keselamatan negeri mereka daripada ancaman bajak laut
atau lanun jika semua pembesar mengiringi Raja Apoi berburu, apatah lagi
permaisuri sedang sarat mengandung.
Para pembesar negeri gusar kerana Raja Apoi bersendirian
berburu, namun tidak berani membantah kehendak permaisuri dan merasakan
pendapat permasuri ada kebenarannya. Lagipun Raja Apoi diiringi oleh seekor
anjing pemburu yang gagah, Siud Rapod.
Keesokan paginya ketika matahari memancar terang, seluruh
rakyat Bulud Temil berkumpul di hadapan istana untuk mengucapkan selamat
berangkat kepada raja yang mereka sanjung dan sayangi, Raja Apoi, berburu di
rimba raya. Raja Apoi memberi nasihat kepada permaisuri agak menjaga
kesihatannya dan berjanji akan lekas balik sebaik sahaja berjaya mendapatkan
hati rusa yang diidamkan permaisurinya. Semasa ketiadaan Raja Apoi, adiknya
Tengku Lenom akan memangku tugas Raja Apoi atas nasihat Permaisuri Sulid Liud
Langi. Semua pembesar negeri menjunjung titah untuk taat setia kepada
permaisuri dan pemangku raja.
Raja Apoi kelihatan gagah melangkah menuruni istana Bulud
Temil dengan diikuti oleh Siud Rapod dan lambaian seluruh rakyat yang di bawah
kuasa takluknya. Ada yang menangis dan ada yang memberikan kata-kata semangat
kerana sepanjang pemerintahan Raja Apoi terlalu adil dan sentiasa mengutamakan
kesejahteraan rakyat dan negerinya.
Setelah sehari suntuk berburu, Raja Apoi belum menemui walau
seekor rusa sedangkan tapak rusa berpeta di tanah yang becak kerana dibasahi
embun dan hujan.
Raja Apoi berhenti rehat di tebing sungai dan menjamah
makanan yang dibekalkan permaisurinya. Siud Rapod juga turut mengisi perut dengan
bekalan berasingan yang dibawa bersama.
Raja Apoi bersandar pada banir merbau yang menongkat langit.
Lembingnya diasah lagi. Busur dan panahnya turut diperiksa rapi, manakala
sundang di pinggangnya dicabut dan digosok dengan daun mempelas agar kelihatan
berkilat.
Tiba-tiba Raja Apoi terdengar salakan Siud Rapod yang
nyaring di sebalik sebuah busut jantan berdekatan pokok merbau tempatnya
bersandar. Raja Apoi bingkas bangun dan meluru ke arah Siud Rapod yang begitu
berani menghampiri seekor rusa yang berbulu emas yang cuba menyerang Siud
Rapod.
Raja Apoi cuba memanah rusa berbulu emas itu, namun
menyedari dirinya dalam bahaya, rusa itu segera menghindar dan menyelinap di
dalam hutan tebal. Anak panah yang dilepaskan terkena busut jantan.
Siud Rapod segera mengejar rusa tersebut dengan pantas. Raja
Apoi menuruti dari belakang dan berpandukan suara salakan Siud Rapod yang
semakin lama semakin jauh namun Raja Apoi merapatkan jarak kerana biasa berlari
pantas memburu di dalam hutan.
Beberapa kali rusa emas itu hampir tumbang terkena tujahan
lembing Raja Apoi, namun rusa itu masih gagah terus berlari. Pada perkiraannya
rusa yang sudah luka itu tidak akan berlari jauh dan akan tumbang apabila
kehabisan darah. Namun sudah hampir dua hari mengikut jejak, rusa itu masih
mampu berlari dan dikejar rapat oleh Siud Rapod yang begitu gagah memburu dan
mengesan jejak.
Raja Apoi agak terkejut kerana rusa tersebut semakin pantas
berlari dan hanya berhenti sebentar di sebuah gua, Agup Gadong (Gomantong) yang
dipenuhi sarang burung layang-layang putih dan hitam.
Seketika kemudian rusa emas itu berlari lagi dan menyelinap
masuk ke Agup Batu Timbang sebelum berlari laju dan hilang di dalam kegelapan
Agup Tapadong. Setelah lama menunggu di pintu gua akhirnya rusa emas itu
dikejar oleh Siud Rapod sehingga ke Agup Bilo (Baturong).
Dari Agup Bilo, rusa emas semakin pantas berlari walaupun
darah semakin banyak keluar. Ketika tiba di Agup Tegarung rusa tersebut sudah
tercungap-cungap dan hampir rebah ketika Siud Rapod dapat menggigit kaki
hadapannya.
Namun rusa emas itu bertambah pantas sehinggalah sampai ke
Agup Madai. Ketika Raja Apoi tiba, rusa emas sedang tercungap-cungap meminum
air sungai Madai sementara Siud Rapod terjelepuk keletihan.
Raja Apoi terus merejamkan lembing ke arah rusa emas namun
tidak mengenai kerana cuaca agak gelap, apatah lagi Raja Apoi terlalu keletihan
setelah memburu tanpa henti selama lebih dua minggu. Lembing itu tertancap ke
lantai gua berhampiran rusa emas.
Raja Apoi segera mencapai anak panah dan ketika mahu
melepas-kan anak panah tersebut tiba-tiba rusa emas itu bersuara;
"Janganlah bunuh saya. Kita bersaudara. Nama saya Payau
Mas. Sebagai balasannya, saya tinggalkan harta yang tidak habis dimakan di
setiap gua yang saya berhenti."
Terpinga-pinga Raja Apoi mendengar suara Payau Mas yang
pandai berkata-kata sebelum hilang di dalam kegelapan gua. Siud Rapod tidak
lagi mengejar, mungkin kerana terkejut mendengar suara rusa tersebut.
Raja Apoi kecewa kerana gagal membunuh Payau Mas setelah
menghabiskan banyak masa dan tenaga memburu rusa tersebut.
Namun agak gembira kerana semua gua yang dilaluinya kini
menjadi miliknya sebagai galang ganti nyawa Payau Mas. Raja Apoi lebih
menggemari Gua Madai kerana mengalir di dalamnya anak sungai yang jernih dan
gua yang besar.
Apatah lagi banyak sarang burung di dalam gua tersebut
berbanding gua-gua sebelumnya. Gua Agup Gadong juga banyak sarang tetapi tidak
mempunyai sumber air yang mencukupi dan agak gelap.
Setelah melepaskan penat dan memakan daging babi yang
dibunuhnya, Raja Apoi memulakan perjalanan pulang ke Bulud Temil kerana bimbang
permaisuri akan mengarahkan rakyat menyusulnya. Lazimnya Raja Apoi akan keluar
berburu selama beberapa hari sahaja tetapi kini hampir sepekan (minggu)
berlalu.
Dalam perjalanan pulang tersebut, Siud Rapod dapat menghidu
se-ekor rusa yang terjerut tanduknya di akar kayu yang berjuntaian. Raja Apoi
tidak membuang masa lalu menikam rusa jantan itu dengan sundang dan melapah
perut rusa itu untuk mengambil hatinya.
Jantung rusa itu diberikan kepada Siud Rapod yang mula
kebuluran setelah hati babi yang dimakan di Gua Madai telah dihadamkan. Raja
Apoi memotong sedikit daging rusa untuk bekalannya.
Raja Apoi berlari pantas mengikut jejak kakinya ketika
datang dengan bantuan Siud Rapod kerana bimbang hati rusa akan rosak jika tidak
segera dimasak, apatah lagi bimbang permaisurinya akan kecewa dan kempunan.
Kepulangan Raja Apoi disambut gembira oleh seluruh rakyatnya. Pada malam itu
Kerajaan Bulud Temil mengadakan pesta sempena meraikan kepulangan Raja Apoi
dari berburu.
Dalam titahnya yang serba ringkas, Raja Apoi mencadangkan
agar mereka berpindah ke Gua Madai, gua terakhir yang menjadi tempat hilangnya
Payau Mas dan merasakan tempat baru begitu selamat untuk didiami berbanding
negeri mereka sekarang yang sering dilanda kemarau dan hujan ribut sehingga
semua tanaman tidak menjadi. Raja Apoi mencadangkan agar mereka menternak babi
dan menanam ubi kayu kerana banyak sarang burung di dalam gua tersebut yang
menjadi makanan kegemaran babi dan tidak perlu membuat rumah disebabkan gua
tersebut cukup luas untuk seluruh rakyatnya.
Sejak daripada itu pusat pemerintahan Kerajaan Bulud Temil
berpindah ke Gua Madai dan ada beberapa orang rakyat Raja Apoi diarahkan
menetap di Bulud Temil bagi memastikan tidak ada orang lain yang menceroboh
istana raja dan mengkhabarkan kepada orang luar bahawa Kesultanan Bulud Temil
masih berdaulat.
Mereka kemudiannya menamakan Bulud Temil sebagai Api-Api
sempena bekas kaki Raja Apoi pada batu pejal (kini di dalam kawasan istana
sekarang).
Hiduplah Raja Apoi dan rakyatnya dengan aman damai di dalam
Gua Madai sehinggalah Permaisuri Sulid Liud Langgi melahirkan Putera Munai
Silong yang elok paras rupa dan bijaksana, mewarisi sifat Raja Apoi dan
menggelarkan kerajaannya sebagai Kesultanan Madai.
Tidak lama kemudian, Raja Apoi mangkat dan putera Munai
Silong yang muda belia ditabalkan menjadi Raja Idahan II. Selepas Raja Munai
Silong mangkat, anaknya Raja Melapas menaiki takhta. Kerajaan Idahan semakin
kukuh dengan pertabalan Raja Abau dan seterusnya Raja Abdullah.
Raja Abdullah telah memeluk Islam dengan seorang makhdum di
Luk Suban (Silam) yang terletak di bawah jajahan takluknya pada tahun 1408 dan
menamakan kerajaannya sebagai Kesultanan Idahan.
Kemangkatan Raja Abdullah membolehkan puteranya, Raja
Gemerang meneruskan pemerintahan. Pemerintahan Raja Gemerang tidak lama apabila
digantikan dengan Raja Gabag.
Raja Gabag telah menukarkan nama kerajaannya daripada
Kesultanan Madai atau Kesultanan Idahan kepada Kesultanan Sabah sempena na-ma
sebuah teluk, Luk Sabahan yang kaya dengan ikan dan batu karang beraneka warna.
Kesultanan Sabah mula masyhur dan digahkan lagi dengan
peribadi Raja Gabag yang tinggi ilmu batinnya sehingga menggerunkan kerajaan
negara luar dan memerintah Sabah selama beberapa abad kerana usia Raja Gabag
terlalu panjang disebabkan tidak pernah sakit. Raja Gabag jarang mandi dan
kalau ia mandi tujuh hari sungai akan banjir.
Memandangkan perniagaan sarang burung tidak begitu
menguntungkan kerana sering diserang bajak laut atau lanun ketika dihantar ke
China dan Kepulauan Sulu, maka Raja Gabag mengambil keputusan untuk memindahkan
istananya ke Sungai Merendung (Silabukan) dan mengarahkan rakyatnya bertanam
padi sawah dan huma.
Lokasi yang dipilih Raja Gabag amat strategik kerana dasar
sungai tersebut dalam sehingga kapal besar boleh memudeki sungai se-hingga ke
dermaga dan mula muncul sebagai pusat perdagangan terkemuka terutama di rantau
Nusantara sehingga pernah disinggahi oleh pedagang China dan India.
Kemasyhuran Kesultanan Sabah yang pusat pemerintahannya
terletak di Tag Bangi, persimpangan tiga sungai iaitu Sengayun, Matamba dan
Merendung. Pekan kecil berkembang dan tumbuh bagai cendawan yang bermula dengan
Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.
Semua pedagang mesti tinggal di dalam perahu dan hanya naik
ke darat untuk berniaga. Selepas habis barang mereka mesti pulang. Pelabuhan
Tag Bangi menjadi pusat perdagangan tukar barang terkemuka meliputi beras,
padi, damar, sarang burung (hitam dan putih), gula, madu, gading gajah dan
sumbu badak. Manakala pedagang luar menawarkan gong, kulintangan, tambur, emas
suluk, kancing baju, keris, bujak dan pelbagai barangan seramik dan logam yang
amat diminati oleh penduduk sekitar.
Sultan Sulu, Sultan Amil Umrah turut berlabuh di dermaga Tag
Bangi dan menjalinkan hubungan dagang dengan Kesultanan Sabah. Namun Raja Gabag
begitu tegas enggan membenarkan Sultan Amil Umrah mendirikan pondok tempat
tinggal dan gudang untuk menyimpan barang dagangan di tepi Sungai Merendung
sementara mereka berniaga.
Walaupun agak kecewa dengan layanan Raja Gabag yang enggan
membenarkan angkatannya mendirikan pondok, namun Sultan Amil Umrah
menganugerahkan gelaran 'Panglima' kepada Raja Gabag sebagai tanda perhargaan
perhubungan dagang dua hala yang terjalin.
Raja Gabag agak kecewa dan menganggap Sultan Amil Umrah
me-rendahkan martabatnya sebagai raja dengan memberi gelaran 'Panglima' namun
tetap menjalinkan hubungan baik demi memelihara kepentingan dagang.
Raja Gabag bersikap pasif apabila enggan membenarkan
pedagang dari Johor, Awang Alak Betatar, pedagang dari Johor yang cuba berlabuh
di Pelabuhan Tag Bangi tanpa izinnya, apatah lagi Awang Alak Betatar enggan
membenarkan perahunya diperiksa Syahbandar.
Armada perang Raja
Gabag mengejar perahu Awang Alak Betatar sehingga ke Pulau Sidungul (Semporna).
Merasakan keselamatannya terancam, Awang Alak Betatar
belayar ke Kepulauan Sulu dan mendapatkan perlindungan di Istana Sultan Sulu.
Awang Alak Betatar bertemu jodoh dengan saudara perempuan Sultan Sulu.
Tidak lama kemudian meneruskan pelayaran dan menemui sebuah
kawasan strategik dan mendirikan kerajaan di sana, Kesultanan Brunei dan
menggelarkan dirinya Sultan Mohammad 1 pada tahun 1472 sebelum seorang mubaligh
Islam, Syarif Ali dari Taif menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Berkat.
Dendam Awang Alak Betatar yang dihalau oleh Raja Gabag dari
berlabuh di Tag Bangi diwariskan kepada keturunannya yang mendirikan Kesultanan
Brunei. Dendam tersebut semakin memuncak apabila berlaku perang saudara di
antara Sultan Mubin dengan keluarga Sultan Mahyudin di antara tahun 1661 hingga
1704 dan Sabah yang tidak pernah terletak di bawah jajahan takluk Kesultanan
Brunei telah diserahkan kepada Sultan Sulu sebagai membalas jasa Betara Suluk
yang meleraikan perang saudara itu.
Raja Gabag amat marah mendengar berita itu, namun enggan
mengiktiraf penyerahan wilayah tersebut yang menjadi jajahan takluknya, namun
tidak meneruskan niatnya untuk menghancurkan Kesultanan Sulu dan menghapuskan
cucu cicit Awang Alak Betatar yang dianggapnya sebagai lanun.
Apatah lagi ketika itu baginda terlalu sibuk mendalami ilmu
kebatinan dan memerintah Tag Bangi yang semakin terkenal sebagai pelabuhan
terkemuka sehingga hampir menjadi pelabuhan persinggahan pedagang China dan
Timur Jauh.
Perlantikan Joseph W Torrey sebagai 'Maharaja Borneo' oleh
Sultan Abdul Meumin (Sultan Brunei ke 24) tidak langsung menarik minat Raja
Gabag kerana merasakan perlantikan tersebut seperti kanak-kanak kecil bermain
'Pengantin-pengantin' kerana mereka tidak ada hak untuk melantik seseorang dan
mencampuri urusan dalaman Kesultanan Sabah.
Apatah lagi Raja Gabag tidak mengiktiraf Kesultanan Brunei
dan Kesultanan Sulu yang diasaskan oleh para lanun dan hukum rimba. Sultan
Brunei dan Sulu yang menyimpan dendam kerana tidak berpuas hati dengan layanan
Raja Gabag mencari pelbagai helah untuk menarik perhatian Raja Gabag ke kancah
peperangan kerana segala perlakuan mereka selama ini hanya dipandang sebelah
mata oleh Raja Gabag.
Tag Bangi yang selama ini aman damai tiba-tiba gempar oleh
sekumpulan lanun yang mengganas merompak padi para petani di Ulu Sungai
Merendung. Semua tujuh perahu lanun sarat dengan muatan padi yang baru dituai.
Para petani bertempiaran lari menyelamat diri daripada dibunuh oleh lanun yang
kejam. Beberapa orang segera ke istana melaporkan peristiwa ini kepada Raja
Gabag.
"Biarlah. Kamu baliklah dulu," kata Raja Gabag
ringkas kepada wakil petani yang menjadi mangsa lanun.
Raja Gabag lalu turun ke Sungai Merendung dan membawa rotan
saga di dalam perahunya lalu membentangkan rotan saga tersebut di antara Tag
Bangi dan Lung Maniud merentas Sungai Merendung. Raja Gabag memasang 'Pantang
Marau' dan selepas itu balik ke istana untuk berehat.
Lanun-lanun tersebut hilang akal kerana sudah tujuh kali
hilir mudek Sungai Merendung, namun tidak menjumpai jalan keluar, lalu ketua
mereka merasa bagai dipanggil menghadap Raja Gabag di istana.
"Kenapa kamu mau jumpa saya", tanya Raja Gabag
yang sudah mengetahui tujuan kedatangan ketua lanun tersebut.
"Tuanku, kami minta tolong, mau pulang tidak dapat.
Sudah banyak kali mundar mandir tapi tidak jumpa jalan," ujar ketua lanun
itu cuba berselindung.
"Saya tahu masalah kamu. Hantar balik barang yang kamu
rampas kepada tuan punya, kemudian boleh pulang. Kali ini saya bebaskan kamu,
tapi jangan buat lagi, " sindir Raja Gabag sehingga membuatkan ketua lanun
itu ketakutan dan terkencing di dalam seluar.
Setelah pasti semua padi telah dikembalikan kepada
pemiliknya, Raja Gabag membuka ikatan rotan yang merentas Sungai Meren-dung,
lalu kesemua lanun yang diupah oleh Sultan Brunei dan Sultan Sulu segera
berkayuh laju meninggalkan para petani yang bersorak girang kerana mendapat
balik hasil padi mereka yang dirompak lanun ganas tersebut.
Kegagalan lanun tersebut membuatkan Sultan Brunei dan Sultan
Sulu mati akal kerana merasakan sukar untuk menumpaskan dan menakluki
Kesultanan Sabah kerana Raja Gabag memiliki ilmu kebatinan dan firasat yang
tinggi.
Beberapa serangan dan helah mereka telah dapat dipatah
dengan mudah oleh Raja Gabag tanpa menitiskan walau setitik darah rakyatnya.
Selain ilmu 'Pantang Marau' Raja Gabag turut mewarisi ilmu
'Sumpak Tumbaga' bagi mengawal keamanan dan memastikan kerajaannya ditakuti
lawan kerana kehebatan ilmu batinnya. Raja Gabag tidak boleh menggunakan jari
telunjuk sebarangan kerana ilmu 'Sumpak Tumbaga' akan membuatkan makhluk yang
ditunjuk mati serta merta.
Jika burung terbang, Raja Gabag hanya perlu menudingkan jari
telunjuknya ke arah burung berkenaan, serta-merta burung tersebut jatuh dan
terus mati.
Raja Gabag terpaksa mengorbankan anaknya, Itin, sebagai
pemantap ilmunya. Anak tunggal yang amat disayanginya terpaksa dikorbankan
dengan menunjukkan anak kecil yang baru pandai bertatih dengan jari telunjuknya
sebagai syarat pengijazahan ilmu jurus maut tersebut. Bagi mengekalkan ilmu
tersebut di dalam tubuhnya, Raja Gabag terpaksa memakan sedikit kepala tahinya
dan tujuh ekor anak tikus yang masih merah.
Raja Gabag turut mengamalkan ilmu 'Gerudom' iaitu ilmu
kebal, kuat dan boleh hidup dua alam; ilmu 'Surui Barang' yang menggunakan
mengkarung untuk menghantar penyakit atau sihir; Umpod; Bilik; Gapun dan Antak
Sekali yang menjadikannya hebat, kebal, panjang usia dan ditakuti lawan.
Walaupun Raja Gabag beragama Islam, tetapi hanya
bersembahyang dua kali setahun iaitu sunat Aidilfitri dan Aidil Adha, namun
tidak pernah meninggalkan puasa.
Agak malang bagi Raja Gabag kerana ketinggian ilmu batinnya
tidak dapat menjamin kebahagiaan di akhirat apabila mayatnya tidak diterima
bumi ketika disemadikan di tanah perkuburan Islam Tag Bangi setelah memerintah
Tag Bangi selama beberapa abad, hampir menandingi tempoh pemerintahan Firaun
selama 400 tahun.
Jasad Raja Gabag yang tidak diterima bumi menjadi batu hitam
dan anehnya batu tersebut boleh bergerak dan 'Pandai mandi' di Sungai
Merendung. Setiap kali batu tersebut turun ke sungai, tidak ada orang yang
berani mandi di hilir sungai kerana akan mendapat penyakit yang membawa maut.
Air sungai akan menjadi seperti air 'Kopi O' yang hanya hilang dan diikuti oleh
banjir besar selama tujuh hari.
Batu Hitam Lembaga tubuh Raja Gabag yang bertapa di Ulu
Sungai Silabukan setelah mayatnya tidak diterima bumi dan sering berpindah
randah. Hanya suku sakatnya sahaja yang berpeluang menemui batu tersebut atau
seseorang yang tidak mempunyai niat sering terserempak dengan batu tersebut
yang akan bergerak memasuki air sungai jika ada yang menegurnya. Kalaulah Raja
Gabag masih hidup kempunanlah orang luar
mahu bertapak di Sabah!
Hanya sepupunya, Siti Rahimin dan Siti Jalailan yang boleh
memegang batu hitam lembaga Raja Gabag. Jika orang lain yang menyen-tuh batu
hitam tersebut akan mati serta merta. Kini batu hitam tersebut berpindah sendirinya
ke hulu Sungai Silabukan dan sudah jarang ditemui. Namun jika orang Idahan
berhasrat untuk ke tempat batu tersebut 'bertapa' sungai berkenaan akan banjir
sehingga batu itu ditenggelami air dan tidak lagi kelihatan.
Kemangkatan Raja Gabag mengakhiri Kesultanan Sabah kerana
tidak ada waris yang ditinggalkan untuk meneruskan kerajaan tersebut. Rakyatnya
mengambil keputusan berpindah ke Luk Penok (Tabanak), Sapagaya, Bikang,
Binuang, Segangan dan Terusan.
Kemunculan Pelabuhan Bikang turut menarik pedagang menukar
haluan dagang daripada Sungai Merendung ke Sungai Longuap di Bikang. Ketika itu
Lahad Datu hanyalah sebuah kampung nelayan yang dinamakan sebagai KERUGAU
kerana terdapat batu karang dan tersorok oleh pulau dan berpaya bakau yang
berlumpur. Kebanyakan orang Idahan mula kembali ke Madai untuk mengutip sarang
burung kerana permintaan barangan berkenaan terlalu tinggi dari negara China
dan Filipina.
Dua tahun selepas kemangkatan Raja Sabah yang terakhir, Raja
Gabag, Sabah telah menjadi tanah jajahan Inggeris pada 28 Januari 1878 kerana
Sultan Sulu, Sultan Jamalul Alam, yang tidak tahu malu dan bermuka
penyangak telah 'Menggadaikan' Sabah
kepada British North Borneo Company yang diwakili oleh Alfred Dent dan Baron
Gustave Von Overback tanpa sebarang tentangan daripada orang Idahan dan waris
terdekat Raja Gabag yang ketika itu sibuk dengan sarang burung di Gua Madai.
Berita kemangkatan Raja Gabag telah tersebar luas, sehingga
menarik ramai peniaga luar datang ke Sabah terutama ke Semenanjung Silam dan
Kinabatangan. Orang China, Hong Kong, Taiwan dan Jerman mula memasuki Sabah
secara meluas kerana selama ini Raja Gabag mengamalkan 'Dasar Pintu Tertutup'
untuk bangsa asing, melainkan untuk berdagang atau singgah mengambil bekalan
air.
Maka bermulalah era penghijrahan secara besar-besaran oleh
orang asing ke Sabah. Terbuktilah ketokohan Raja Gabag yang selama ini amat
ditakuti oleh orang asing kerana selepas kemangkatannya, Sabah terus dibolosi
dan didatangi penjajah sehingga negeri yang dahulunya bertuan kelihatan seperti
sebuah pulau tanpa penghuni dan dibahagikan sesuka hati sesama mereka.
Pedagang Jerman, Tuan Ringgit membawa masuk orang Dusun
(Kadazan) dari Kalimantan (Indonesia) untuk penanaman tembakau di Sungai Melian
(Kinabatangan) yang kemudiannya berpindah ke Sungai Tapadong (Segama) apabila
berlaku banjir besar di Sungai Melian sebelum bertebaran ke seluruh pelusuk
Sabah.
Manakala orang Brunei yang berasal dari Johor belayar dari
Brunei ke Sabah dengan perahu layar dan mendarat di Karambunai sebelum mendiami
kawasan pesisir pantai Papar sehingga ke Labuan. Kedatangan dua orang bajau,
Empat Mata dan Kiat Kulug di Pulau Sidungul (Semporna) dari Filipina disertai
kemudiannya oleh beberapa orang Suluk dan Irranun. Ini diikuti oleh seorang Tidung,
Betaur, yang kemudiannya berkahwin dengan Jin Sabah di Sungai Sibuku.
Terakhir sekali kedatangan orang Kokos dari Cocos Island
(Australia) yang dibawa oleh Tuan Ross (British) untuk industri membuat jut dan
Manila hem. Pulau Kokos dipindahkan pentadbirannya daripada Kerajaan Ceylon
kepada Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka & Singapura) pada tahun
1886 yang diikuti oleh Labuan pada tahun 1887. Kokos terletak di bawah
pentadbiran Singapura, namun pada tahun 1955, pentadbiran Pulau Kokos
diserahkan kepada Kerajaan Australia.
Penemuan beberapa barang purba di Rancangan Seberang,
berdekatan Sungai Silabukan pada sekitar tahun 1996 membuktikan kewujudan
Kerajaan Tag Bangi, terutama keris bersarung emas tulen dan rentaka serta
barang lain yang bernilai.
Namun pembukaan kawasan Tag Bangi sebagai ladang kelapa
sawit oleh Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah pada sekitar tahun 1976 oleh
Kerajaan Berjaya telah banyak merosakkan artifak dan peninggalan sejarah
melainkan barangan purba yang tertanam di perut bumi.
Kini masyarakat Idahan merupakan masyarakat minoriti yang
tersepit dan dipinggirkan di celah kepesatan gelombang penghijrahan orang asing
seperti nasib Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang tenggelam di
tengah-tengah kelompok 'Melayu Pendatang' daripada luar.
Terdapat satu jalinan rapat di antara Kesultanan Sulu dengan
kaum Idahan yang terjalin sejak Raja Abdullah memeluk Islam sehinggalah kini,
walaupun agak hambar di era pemerintahan Raja Gabag. Sesetengah pengkaji
sejarah berpendapat tanpa hubungan dengan Kesultanan Sulu mungkin orang Idahan
masih belum beragama sehingga kini.
Sejak itu orang Idahan tidak boleh dipisahkan dengan orang
daripada Kepulauan Sulu berketurunan Suluk atau Tau-Sug. Berlakulah perkahwinan
campur yang memindahkan keturunan Suluk kepada Idahan yang bergelar Datu,
gelaran Kepahlawan Kesultanan Sulu.
Belum ada perangkaan rasmi bilangan kaum Idahan tulen yang
juga digelar Buludupie, Sabahan, Iraqan, Eraan dan Orang Sungei yang membawa
maksud pagan atau tidak beragama oleh generasi ter-dahulu dan masyarakat
nusantara. Tetapi apabila Raja Abdullah memeluk Islam mereka digelar Idahan.
Manakala yang masih kekal pagan dinamakan Begahak, Subpan dan Sungei.
Bagaimanapun bancian rambang yang dibuat oleh beberapa pihak
berdasarkan isi rumah yang belum dapat disahkan, jumlah kaum Idahan kini tidak
sampai 3,000 orang lagi. Perkahwinan campur sedikit sebanyak mengikis
perlahan-lahan suku bangsa yang pernah memerintah Sabah.
Bagaimanapun jurai keturunan kahwin campur berkenaan terus
diasimilasikan dan diiktiraf sebagai
pewaris yang sah walaupun tidak dapat dikenalpasti faktor darah ataupun DNA.
Taburan penduduk kaum Idahan dan sekutunya (hasil kahwin
campur) berceretek di sepanjang Kampung Sapagaya, Kampung Tabanak, Kampung
Binuang, Kampung Segangan, Kampung Bikang, Kampung Terusan, Kampung Dewata dan
Kampung Segama Batu 8 di Lahad Datu.
Hikayat Raja Sabah saya mengenepikan Teori asal usul
Kadazan-dusun yang selama ini dianggap sebagai penduduk asal atau anak jati
Sabah. Oleh kerana itu, etnik Idahan (Begahak, Suppan, Buludupie, Sungei) tidak
wajar lagi dikategorikan sebagai etnik Kadazan-dusun.
Walauun ia hanya karya Sastera Sejarah, namun mempunyai
nilai estetika dan menjadi kata kunci kenapa Anak Negeri Sabah tidak ada di
dalam Perlembagaan sedangkan Sarawak ditata rias dengan baik dan diiktiraf
Perlembagaan Persekutuan.
Source : Cerita Lagenda & Mitos
penulis tu org semenanjung, dia inda tau ba tu,
ReplyDeletesangat menarik
ReplyDeleteMenurut cerita nenek nenek begak dulu, memang tingkayu Madai adalah tempat tinggal Begak..Mungkin juga benar Raja mereka adalah Raja Apoi. Raja orang Idaan, Subpan, Begak dan Sungai..
ReplyDelete.....Oleh kerana itu, etnik Idahan (Begahak, Suppan, Buludupie, Sungei) tidak wajar lagi dikategorikan sebagai etnik Kadazan-dusun.... Inilah pendapat penulis di atas.
ReplyDeleteLagenda cuma cerita lama dan bukan kajian saintifik yang boleh dijadikan asas untuk membuat klasifikasi sesuatu etnik di zaman moden. Perlu ada sokongan fakta sains seperti penemuan klasifikasi haplogroup genetik (DNA).
Menarik cerita ini untuk dibaca namun elok juga disokong dengan fakta dan rujukan dari sumber yang konkrik.
ReplyDeletesalasilah tiada dengan dia
ReplyDelete