Monday, 29 December 2014

Misteri Telaga Tujuh Kunak



MITOS dan lagenda Telaga Tujuh sudah lama dilupakan oleh masyarakat di sekitar Kunak melainkan palitan kenangan yang bernostalgia di kalangan kanak-kanak yang kini telah tua dan ada yang telah bersemadi di pusara dan menjadi sebahagian daripada sejarah.
Telaga Tujuh, 4 kilometer daripada Pekan Kunak masih terpencil sehingga kini dan semakin dilupakan oleh generasi multimedia yang sibuk menghamilkan kehidupan yang semakin sukar oleh kegawatan ekonomi. Cerita misteri yang meniti dari bibir ke bibir telah diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi adalah kisah paling tragis untuk dihayati oleh masyarakat yang tinggal berdekatan Telaga Tujuh.
Mitos Telaga Tujuh yang merangkai hati generasi tua di kampung berdekatan Sungai Atas, Kunak, antara lain mengisahkan tujuh orang puteri jelita dari kayangan turun bermandi manda di Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengekalkan kejelitaan mereka.Ketujuh puteri jelita tersebut adalah puteri kesayangan Maharaja Awan Gemawan yang memerintah cakerawala. Mereka akan turun bersiram di bumi setiap kali bulan purnama penuh.
Menurut cerita orang tua-tua, tujuh buah perigi tersebut terletak di atas cerun yang tinggi dan digali oleh seorang Bota (raksasa) atas arahan Maharaja Awan Gemawan. Bota tersebut dikhabarkan setinggi Gunung Kinabalu kembali semula ke kayangan selepas membina tujuh buah perigi di permukaan batu pejal Sungai Permanis Dara dengan menaiki burung Jentayu yang sayapnya merentasi tiga benua.
Pada satu malam, ketika bulan purnama penuh, ketujuh-tujuh puteri jelita turun untuk bermandi-manda. Ketika puteri sulung, Kencana Jingga, adik-adiknya Purnama Baiduri, Pesona Rimba, Puspa Segara, Ma-nis Muka, Nilam Gurauan dan Kesuma Madukara sedang girang usik mengusik menyimbah air daripada telaga atau kolam masing-masing tanpa seurat benang membalut tubuh.
Di sebalik kegirangan yang tidak bertepi, sepasang mata nakal sedang meratah tubuh gebu mereka dengan penuh berahi. Seorang anak raja daripada Alam Buana, Badang Perkasa, segera menerpa untuk mengambil pakaian ketujuh puteri jelita tersebut yang tersangkut di dahan pohon Lembayung Senja dengan harapan mereka tidak boleh kembali ke langit ketujuh lagi.Badang Perkasa terlalu ingin untuk memiliki ketujuh puteri tersebut yang separas rupa, walaupun pada hakikatnya telah mempunyai lima isteri yang rupawan, seorang daripadanya Puteri Lindungan Bulan yang berasal dari Kayangan Ketiga.
Badang Perkasa, anak kepada Lang Rimba, yang suka berburu merentasi rimba raya gemar menelan buah mata kucing bersama bijinya. Buah mata kucing tersebut sering dihadiahkan oleh Maharaja China kepada ayahandanya yang memerintah Alam Buana.Kegelojohan Badang Perkasa yang dirantai nafsu jantan yang bergejolak tanpa tertahan telah mencelakakan dirinya. Sebaik sahaja Badang Perkasa menyentuh pakaian ketujuh puteri kayangan itu, pakaian tersebut terbakar dan tubuh Badang Perkasa yang gagah turut disambar api dan kemudian satu letupan kuat kedengaran membunuh kegirangan yang bercanda. Tubuh Badang Perkasa berkecai dan biji mata kucing yang ditelannya bertebaran di tebing Sungai Permanis Dara.
Ketujuh puteri jelita begitu takut dan bimbang kerana tanpa pakaian khas itu, Sutera Angkasa, mereka tidak mungkin kembali lagi ke kayangan ketujuh, tempat bersemayamnya Maharaja Awan Gemawan.
Puteri bungsu, Kesuma Madukara yang belum pernah berpisah terlalu lama dengan bondanya, Kirana Tantamala, menangis teresak-esak. Kegirangan mereka bermandi-manda direnggut oleh bunyi letupan yang amat kuat.
Kesemua mereka berkumpul di kolam Kencana Jingga yang besar sehingga kesejukan dan menggigil. Mereka berpelukan di antara satu sama lain bagi menghangatkan tubuh. Hendak naik ke darat takut ternampak oleh orang.
Maharaja Awan Gemawan yang sedang terlena di buaian masa terkejut oleh letupan tersebut telah mengarahkan seorang bota kepercayaannya untuk turun ke bumi melihat keadaan ketujuh-tujuh puterinya. Alangkah terkejutnya bota kerana ke semua puteri tidak mempunyai sebarang pakaian yang membalut tubuh dan selendang Sutera Angkasa yang turut dilahirkan bersama mereka telah hangus terbakar. Bota meninggalkan selubung Bayu Samudera bagi membolehkan ketujuh puteri tersebut menjadi halimunan (agar tidak kelihatan) sementara beliau kembali ke kayangan memberitahu Maharaja Awan Gemawan.
Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala merasa tersangat sugul dan berduka nestapa kerana terpaksa berpisah dengan ketujuh puteri mereka buat selamanya.
Sumpah ahli sihir yang selama ini menghantui hidup Kirana Tantama-la akhirnya terjadi juga. Peristiwa tersebut sengaja dirancang oleh ahli sihir, Dewana Dejayengge, dengan menabur debu Asmara Pancatirana ke selendang tujuh puteri. Apabila selendang tersebut tersentuh oleh lelaki ia akan terbakar dan lelaki yang menyentuhnya akan berkecai bersama selendang Sutera Angkasa. Bagi memastikan keselamatan ketujuh puterinya di Sungai Permanis Dara,Maharaja Awan Gemawan mengarahkan seorang bota bernama Buragas untuk menjadi pengawal.Buragas telah dikasi (vasectomy dan dibuang kemaluannya) agar tidak lagi mempunyai nafsu terhadap wanita. Pakaian sutera yang dikirimkan oleh Permaisuri Kirana Tantamala untuk dipakai oleh ketujuh puterinya umpama rumah kepada mereka.
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan menjangkau tahun. Tahun berganti dekad. Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala telah mangkat. Ketujuh-tujuh puteri semakin jelita, namun terpaksa tinggal di dunia dengan ditemani Buragas. Pohon mata kucing (daripada biji yang ditelan oleh Badang Perkasa) tumbuh berceracak di tebing Sungai Permanis Dara. Sejak daripada itu, kawasan Sungai Permanis Dara dikunjungi oleh para penduduk kampung sekitar yang mencari rotan dan menyusuri jeram Sungai Permanis Dara. Mengikut cerita lisan orang tua-tua, kononnya beberapa orang tertentu yang bernasib baik akan dapat melihat ketujuh puteri kayangan itu bermandi-manda di dalam kolam tanpa dibaluti walau oleh seurat benang.
Tetapi bagi lelaki bertuah yang dapat melihat ketujuh puteri tersebut tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Diceritakan beberapa insiden tragis berlaku apabila lelaki yang melihat ketujuh puteri sedang bermandi manda didapati terbakar tubuh badannya seperti terkena api apabila dia menceritakan kisah tersebut kepada adik lelakinya. Manakala adiknya turut mati ditimpa kayu setelah menyampaikan cerita tersebut kepada rakannya. Beberapa orang penduduk yang sering mendatangi Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengambil buah mata kucing sering terdengar pelbagai bunyi aneh dan ada kalanya seperti bunyi orang menangis.
 Beberapa pemuda menceritakan pernah terdengar paluan gong bersilih ganti dengan tawa ria dan deburan air seperti ketujuh puteri tersebut sedang bersiram. Bagaimanapun kisah Buragas lenyap begitu sahaja melainkan kesan tapak kaki Buragas masih terdapat di atas batu yang ditenggelami air sungai. Namun kelihatan jelas pada waktu kemarau.
Kesan tapak kaki Buragas selebar satu meter dan sepanjang dua se-tengah meter hanya boleh dilihat oleh orang tertentu terutama oleh pemuda yang masih suci dan sesiapa sahaja yang berjaya sampai ke hulu sungai tempat Buragas beradu.
Kawasan Telaga Tujuh sering dikunjungi oleh mereka yang bernazar untuk mendapatkan sesuatu hajat dan membawa pulang air sungai daripada ketujuh-tujuh kolam tersebut. Setelah bermalam selama tiga hari di tebing sungai tersebut, jika mendapat mimpi yang baik akan menemui ketujuh puteri dan jika tidak bernasib baik akan dikacau oleh makhluk halus dan kehilangan enam pemuda masih menjadi misteri sehingga ke hari ini, bermakna puteri bungsu, Kesuma Madukara masih belum bersuami dan tidak hairanlah masih ramai pemuda yang mencuba nasib untuk bermalam agar dipinang oleh puteri bungsu tersebut dan hidup di alam bunian.
Telaga besar masih menyimpan misteri yang belum terungkap. Ada orang tua-tua yang beranggapan bahawa telaga paling dalam dan besar tersebut mempunyai gua di bawah air yang tidak pernah kering dan merupakan tempat persembunyian ketujuh puteri dan mungkin bersama enam pemuda yang hilang itu. Ramai anak muda tidak berani menyelam di telaga tersebut untuk menerokai gua bawah air yang masih menjadi tandatanya. Ianya telaga kecil yang sering menjadi sasaran untuk anak-anak muda bermandi manda terutama di hujung minggu.

Penulis sendiri telah bermalam di kawasan telaga tujuh dengan mendirikan khemah. Malam pertama tidak ada sebarang kejadian. Malam kedua berlalu lancar. Namun pada malam ketiga, gangguan demi gangguan bersilih ganti sehingga penulis gagal dalam ujian terakhir apabila khemah (tent) penulis diterbangkan angin ke dalam telaga puteri sulung dan hampir lemas sekiranya tidak terjaga daripada tidur.-

No comments:

Post a Comment